KONFLIK gajah dengan manusia kerap diperkatakan berikutan banyak kawasan hutan rimba sudah diteroka untuk tujuan pembalakan mahupun ditebus guna bagi pembangunan sektor perladangan. Konflik berkenaan didapati semakin memuncak bukan sahaja membabitkan gajah malahan haiwan liar spesies lain pun turut mengalami fenomena yang sama. : KitaReporters

Kawanan gajah liar merayau-rayau mencari makanan berdekatan Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang. - Kredit foto: FB Zako fz


Lagi cerita-cerita dari Pahang:

https://kitareporters.com/search?search=pahang


Keadaan ini berlaku apabila impak penerokaan hutan bagi tujuan pembalakan dan pembangunan tertentu turut mengganggu kawasan habitat fauna berkenaan. Hal ini menyebabkan haiwan liar tersebut khususnya gajah liar kerap dilaporkan menceroboh kawasan kampung dan kebun pertanian termasuk tanaman sawit untuk mendapatkan makanan.

Di daerah Jerantut, antara lokasi perkampungan dan kawasan pertanian (kebun) berdekatan dengan hutan tropika Taman Negara dan hutan rizab kerajaan Hulu Tembeling kerap 'dilawati' oleh haiwan liar seperti gajah, tapir, beruang matahari dan beberapa spesies lain semata-mata untuk memperoleh makanan.

Senario berkenaan cukup membimbangkan apabila penerokaan tidak terkawal sejak dahulu lagi menyebabkan habitat haiwan liar terancam dan penyudahnya fauna ini tanpa 'rasa takut' terpaksa migrasi ke kawasan kampung dan kebun pertanian

Kemusnahan tanaman sawit di Kampung Batu Balak, Jerantut akibat pencerobohan kawanan yang terdiri daripada 24 ekor gajah liar pada 12 Ogos 2020. - Kredit foto: FB Mohd Zakhwan 


Pencerobohan kawanan gajah liar di kawasan kebun sawit Kampung Batu Balak, Jerantut malam semalam, Rabu 12 Ogos 2020 antara kejadian terbaharu yang dihadapi penduduk berkenaan. 

Kejadian itu bertepatan dengan sambutan Hari Gajah Sedunia semalam, 12 Ogos 2020 di mana kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengajak komitmen rakyat di negara ini membantu kerajaan memperhebatkan usaha konservasi haiwan tersebut demi kelangsungan biodiversiti.  


Batang, pelepah dan daun pokok sawit musnah diganyang oleh gajah liar untuk mendapatkan makanan di Kampung Batu Balak, Jerantut pada 12 Ogos 2020.  - Kredit foto: FB Mohd Zakhwan 


 Kejadian pencerobohan gajah liar di kebun sawit melibatkan kawanan sebanyak 24 ekor gajah antara senario yang membimbangkan penduduk kerana kehadiran fauna itu dalam jumlah yang besar telah menyebabkan kerosakan besar ke atas tanaman sehingga menanggung kerugian yang banyak.

Penduduk berdepan dengan dilema, belum pun selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kini mereka pula diganggu oleh gajah liar lebih lagi dalam usaha kembali bekerja di ladang sawit dan memulihkan pendapatan selepas menjalani tempoh kesusahan akibat hilang mata pencarian dalam tempoh penguatkuasaan PKP.

Dua orang pekebun sawit menceritakan kejadian pencerobohan gajah liar empat hari berturut-turut kepada wakil pejabat DUN Tahan (tengah). - Kredit foto: FB Mohd Zakhwan


Dalam kejadian pada pukul 10 malam malam semalam dan tiga hari berturut-turut sebelum ini, kawanan gajah liar yang terdiri daripada 24  ekor telah 'menyerang' dan memusnahkan 350 batang pokok sawit di kawasan seluas 8.9 hektar (22.3 ekar) milik dua orang pekebun di kampung tersebut.

Kawanan gajah itu dipercayai merayau-rayau di sekitar perkampungan pesisir Sungai Tembeling kawasan Kuala Tembeling dan Tembeling Tengah dan kerap memasuki kawasan tanaman sawit dan buah-buahan untuk mendapatkan makanan, sekali gus membimbangkan penduduk berkenaan mengenai keselamatan mereka.

Difahamkan kawanan gajah liar itu sebelum ini telah beberapa hari merayau di situ setelah bergerak daripada hutan kawasan Pulau Tawar, dekat sini berasaskan pengenalan pada 'kolar satelit' dipasang pada tubuh haiwan liar tersebut.

Berikutan kejadian pencerobohan kawanan gajah liar sejak 8 Ogos sehingga malam semalam, 12 Ogos 2020 itu ia telah menakutkan penduduk Batu Balak sambil berharap kerajaan negeri menerusi (Perhilitan) dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk mengelakkan berlaku lebih banyak kerugian memandangkan pekebun kehilangan pendapatan hasil sawit.

Pekebun sawit Kampung Batu Balak, Mohd Rozin Abdullah berkata, sebanyak 150 batang sawit di kawasan tanaman seluas 2.52 hektar (6.3 ekar) telah rosak dimusnahkan oleh kawanan gajah liar untuk memperoleh makanan dalam kejadian empat malam berturut-turut.

"Kerugian dianggarkan bernilai RM40,000 dan saya terpaksa mengambil masa empat atau lima tahun lagi untuk memperoleh semula hasil sekiranya tanaman (benih) baharu dilakukan di tapak ini. Saya cuma hanya cuma bergantung pendapatan dari hasil jualan sawit ini selepas lama tidak bekerja akibat penularan wabak COVID-19 dan penguatkusaan PKP empat bulan lalu dan kejadian ini menyebabkan saya kehilangan pendapatan semula," katanya.

Seorang lagi pekebun, Mustafa Ibrahim berkata, sejumlah 200 batang pokok sawit di kawasan 6.4 hektar (16 ekar) dirosakkan oleh gajah liar dalam tempoh yang sama.

"Kerugian akibat kejadian ini sebanyak RM60,000 dan mengambil masa yang lama untuk tempoh menanam serta mengeluarkan hasilnya. Kita bimbang kejadian ini akan berulang lagi melibatkan tanaman pekebun lain dan berharap kerajaan dapat memberikan bantuan bagi pemulihan projek tanaman ini," katanya.

MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, petugas Perhilitan sudah memantau pergerakan dan haiwan liar itu supaya masuk semula ke dalam hutan semula.    

"Berasaskan laporan penduduk, pada tahun lalu sebanyak 50 kali gajah liar menceroboh kampung, kebun sawit dan buah-buahan, manakala sudah lebih lima kali kejadian yang sama dalam tempoh ancaman COVID-19 dan penguatkuasaan PKP sejak empat bulan lalu di kawasan penempatan pesisir Sungai Tembeling, Mukim Tembeling Tengah dan Mukim Kuala Tembeling," katanya.

Beliau memberitahu, akibat pencerobohan sejak awal tahun ini dan tempoh penguatkuasaan PKP, kemusnahan bukan sahaja tanaman sawit musnah, malahan pisang, nangka madu dan buah-buahan juga rosak melibatkan kerugian dalam kalangan pekebun di Mukim Kuala Tembeling dan Mukim Tembeling Tengah, daerah ini terpaksa menanggung kerugian dan mengambil masa untuk menanam semula.

Gambar kejadian pada 28 Mei 2020... Gajah liar juga menghampiri kawasan kediaman dan turut merosakkan tanaman kelapa di Kampung Gol, Tembeling Tengah, Jerantut. - Kredit foto:  FB Abu Jamil Awang Mahmud


"Pejabat DUN Tahan telah pun memaklumkan kejadian itu kepada  kerajaan negeri sambil mengharapkan penyelesaian yang terbaik khususnya bagi keselesaan penduduk keluar bekerja serta kegiatan harian mereka tinggal di perkampungan pesisir Sungai Tembeling daerah ini," katanya.

Mohd Zakhwan berkata, beliau dan penduduk Mukim Kuala Tembeling dan Tembeling Tengah juga berterima kasih kepada Perhilitan yang telah bertungkus lumus tanpa mengira siang dan malam dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk membendung atau mengurangkan ancaman gajah liar di kampung tersebut pada masa akan datang.

Kredit foto: FB Perhilitan Malaysia 


Sementara itu, menerusi siaran media laman sosial Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia melaporkan satu operasi menangkap gajah betina telah dilakukan di Kampung Gol, Tembeling Tengah semalam, Rabu 12 Ogos 2020.

Penangkapan gajah betina itu susulan laporan yang telah dibuat oleh pejabat DUN Tahan dan penduduk berikutan haiwan liar itu menceroboh kerap masuk ke kampung tersebut dan merosakkan tanaman sawit dan buah-buahan di situ pada 28 Mei 2020 lalu dan berulang selepas tarikh tersebut.

Operasi itu dilaksanakan di bawah Unit Tangkapan Gajah (UTG) negeri dan Taman Negara Pahang telah memindahkan gajah berkenaan ke habitat asalnya. - KitaReporters

Gambar kejadian pada 1 Jun 2020... Benih pokok sawit turut dimusnahkan oleh kawanan gajah liar termasuk meninggalkan najis di tapak semaian Stesen Penyelidikan Malaysia Palm Oil Board (MPOB) berdekatan Kampung Gol, Jerantut. - Kredit foto: Abu Jamil Awang Mahmud

0
0
0
0
0

Copy Link: