MODEL ibu pejabat baharu FAM di Presint 5, Putrajaya. - Kredit foto: FAM


BERMULA di Jalan Birch, Kuala Lumpur, pangkalan operasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudian berpindah ke Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor mulai 1980 dan tanggal 17 Januari 2022, tercatat satu lagi sejarah besar dalam penubuhan badan induk kebangsaan itu.

Ibu pejabat baharu FAM setinggi lima tingkat bakal tersergam di Presint 5, Putrajaya di tapak seluas 1.21 hektar apabila Majlis Pecah Tanahnya dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan disaksikan Presiden persatuan, Datuk Hamidin Mohd. Amin.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)


HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) memantau gimik gerakan jengkaut pecah tanah tapak ibu pejabat baharu FAM oleh Ismail Sabri Yaakob (tengah). - Kredit foto: FAM 



Terletak bersebelahan ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), mercu tanda baharu bola sepak negara ini turut bertentangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan bakal dilengkapi kemudahan yang moden, seperti mana yang dimiliki badan-badan induk antarabangsa.

Ibu pejabat FAM yang bakal dinamakan Kompleks Sultan Ahmad Shah ini dianggarkan menelan kos antara RM30 hingga RM33 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025 atau paling cepat, dua tahun empat atau enam bulan dari sekarang, 17 Januari 2022, kata Hamidin.

“Bersesuaian dengan tuntutan bola sepak moden, ibu pejabat baharu ini akan menyediakan kemudahan seperti auditorium, bilik seminar, bilik mesyuarat, bilik video bantuan pengadil (VAR), dewan kemasyhuran, gelanggang futsal dan kedai cenderamata,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena majlis itu. 


WISMA FAM di Kelana Jaya, Selangor.


Namun Wisma FAM, Kelana Jaya tidak akan dijual FAM sebaliknya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan berpindah masuk ke situ selain menempatkan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) serta persatuan pengadil.

Pada 1961, ibu pejabat FAM setinggi tujuh tingkat di Birch Road (kini Jalan Maharajalela) di Kuala Lumpur dibina dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada 7 Disember tahun tersebut oleh Tunku Abdul Rahman Putra  (Almarhum) yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama.

Pada 1980, FAM berpindah ke bangunan baharu Wisma FAM yang berharga RM1.87 juta di Sungai Way-Subang yang kini dikenali sebagai Kelana Jaya.

Tidak jauh dari Presint 5, Putrajaya itu juga bakal terbina Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di tapak seluas 5 hektar yang khusus bagi memenuhi keperluan skuad utama negara – Harimau Malaya dan pasukan-pasukan bawah umur kebangsaan dengan dijangka mula dibina pada pertengahan 2022.


IBU pejabat baharu FAM dibangunkan di tapak seluas 1.21 hektar bakal dilengkapi aneka kemudahan terkini. - Kredit foto: FAM



“Pembinaan ibu pejabat ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar, mantan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014 yang ketika itu turut menerajui AFF dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Baginda juga mahu melihat satu pusat pentadbiran bola sepak yang bersepadu dibangunkan di Putrajaya, membabitkan ketiga-tiga organisasi ini.

“Selaku seorang pemimpin yang berjiwa besar yang berpaksikan sikap nasionalis yang cukup hebat, Almarhum Tuanku bahkan memasang wawasan menjadikan Malaysia sebagai hab kekal bola sepak Asia.

“Apabila saya diberi peluang untuk memikul amanat selaku Setiausaha Agung FAM pada 2013, saya berkesempatan untuk menyelami idea ini dan setahun kemudian, mengusulkan idea ini kepada persatuan untuk membeli tapaknya.

“Saya malah semakin mengerti akan ungkapan cendekiawan yang melambangkan ketokohan Almarhum - sebelum anda menjadi seorang pemimpin, kejayaan ialah mengenai mematangkan diri anda. 

"Apabila anda menjadinya, kejayaan ialah mengenai orang lain.” katanya.


ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) menerima cenderamata model ibu pejabat baharu FAM daripada Hamidin Mohd. Amin. - Kredit foto: FAM


Pembangunan ibu pejabat ini katanya, dijalankan di tanah seluas 2.42 hektar yang dibahagi dua bagi memenuhi kaedah tukar tanah dengan pemaju, One Lagoon Development Sdn. Bhd. bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membangunkan projek kondomonium atau apartmen servis.

“FAM sebagai sebuah pertubuhan bukan keuntungan, beranggapan bahawa kaedah ini adalah yang terbaik kerana kos pembinaan ibu pejabat ini tidak akan memberi bebanan kewangan.

“Kami hanya akan mengeluarkan kos melalui pembiayaan di bawah Program Maju Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi kerja-kerja tambahan seperti hiasan dalaman dan sebagainya,” ujar Hamidin.


ISMAIL Sabri Yaakob dan Hamidin Mohd. Amin (dua dan tiga dari kiri) serta pegawai kanan pemaju selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus di depan model ibu pejabat baharu FAM. - Kredit foto: FAM  


Ismail dalam ucapan terdahulu, berkata, “majlis pecah tanah ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM tanpa melupakan keutamaan kepada pembangunan perisian iaitu kecemerlangan modal insan.

“Bola sepak ialah sukan yang paling popular atau nombor satu negara. Keluarga Malaysia ‘makan bola, tidur bola, tengah kerja pun bola’. Saya juga peminat sukan bola sepak dan sentiasa mengikuti perkembangan Harimau Malaya.

“Pasukan negara juga mempunyai peminat yang ramai dan setia iaitu Ultras Malaya yang sentiasa dahaga akan kejayaan skuad negara. Menjadi harapan mereka agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan kemudahan bagi meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

WISMA FAM di Kelana Jaya bakal diduduki MFL dan segelintir persatuan ahli gabungan FAM. - Kredit foto: FAM


IBU pejabat asal FAM di Jalan Birch (kini Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur. - Kredit foto: theearlymalaydoctors.blogspot.com


Beliau juga merujuk contoh kejayaan pembangunan bola sepak kelab Liga Perdana England, Chelsea yang memiliki ekosistem bakat belia daripada usia seawal sembilan tahun hingga 23 tahun yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.

“Selain kemampuan teknikal meningkat, The Blues juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain-pemainnya. 

"Begitu juga pasukan Vietnam. Pada 2006, mereka di ranking ke-172 dunia. Kini mereka satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang masih merebut tiket pusingan akhir Piala Dunia 2022.

“Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya, pembangunan bola sepak pada peringkat awal iaitu Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalin kerjasama dengan pasukan Arsenal dan Akademi Bola Sepak JMG, Perancis dan sokongan konglomerat Vietnam,” katanya. - KitaReporters


HAMIDIN Mohd. Amin (kiri) menyampaikan cenderamata jersi utama Harimau Malaya yang bertandatangan para pemainnya dan bernombor 15 kegemaran Ismail Sabri Yaakob. - Kredit foto: FAM

10
13
0
8
0

Copy Link: