Video| Joe Flizzow, Bunga, Hullera 'Kena Check'! Saran periksa diri setiap hari untuk berjaya!
Published byDALAM menjalani kehidupan ini, segala langkah yang diambil perlu berhati-hati bahkan selalu kena 'check’, lebih-lebih lagi pada situasi pandamik COVID-19 ini ya tak?
“Periksa diri anda setiap hari, pastikan semuanya teratur dan tepat agar anda dapat memulakan hari anda dengan betul.
"Rancang dengan teliti, matlamat dapat dicapai dengan mudah jika anda berusaha keras, jadi 'kena check' dari semasa ke semasa, ini sangat penting untuk anda berkembang dan berjaya,” ujar penyanyi hip hop, Joe Flizzow apabila bercakap mengenai lagu ciptaan terbaharunya, ‘Kena Check’.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Joe Flizzow
Menariknya, lagu berkenaan menyaksikan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL) itu bekerjasama dengan rapper berhijab dan berbaju kurung, Bunga Isme atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari serta seorang lagi rapper muda, Hullera yang kedua-duanya diperkenalkan oleh Joe dalam showcasenya, ’16 Baris’.
Kolaborasi buat kali pertama ketiga-tiga rapper ini tercetus dalam usaha Joe menghasilkan lagu khas untuk jenama teknologi yang mengkhusus dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berteknologi tinggi dengan moto ‘Dare-to-Leap’ iaitu realme.
Tiffany Teh. - Kredit foto: maxit.my
“Kami gembira bekerjasama dengan mereka kerana mereka memiliki semangat 'Dare to Be You’ (‘Berani Menjadi Diri Sendiri') baik dalam pekerjaan atau kehidupan peribadi sesuai dengan tema kami tahun ini. Kami berharap peminat realme akan suka dan boleh menerima lagu ini,” kata Tiffany Teh, Pengarah Jenama realme Malaysia.
Lagu yang turut dicipta sempena sambutan Festival Realme Fan 2021 yang berlangsung pada akhir Ogos 2021 lalu, sekali gus menyaksikan ketiga-tiga rapper lama dan muda ini dilantik sebagai Duta realme 5G.
“Ini kerana mereka memiliki semangat berani untuk melangkah ke hadapan lantas menjadikan mereka sebagai pilihan ideal sebagai Duta 5G realme malahan membuka ruang untuk mereka terus maju dalam industri ini,” jelas Tiffany.
Menurut beliau, langkah memperkenalkan lagu berkenaan timbul selepas lagu “Haa Tepok’ remix bersama gandingan Meerfly, MK & Kidd Santhe pada bulan Januari tahun 2020 lalu berjaya menarik perhatian ramai apabila video rasmi dalam YouTube mencapai sehingga 1.4 juta tontonan.
Dan terciptanya ‘Kena Check’ untuk memberi inspirasi kepada peminat dalam mencipta gaya tersendiri mereka, juga untuk melangkah maju dalam hidup tanpa batasan.
"Pada masa di mana kita dikelilingi peranti digital kini, teknologi telah menjadi sangat canggih. Untuk dapat bekerja dengan bijak dan pantas, kita harus terus mempelajari dan menguasai sesuatu yang baru setiap hari.
"Oleh kerana itu, saya sedar setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya dan kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan kerana kita hanya hidup sekali,” kata Joe Flizzow berhubung bagaimana tercetusnya inspirasi dalam penciptaan lagunya itu.
Joe kemudian mengulas, bekerja dengan Hullera dan Bunga menyeronokkan apatah lagi dalam masa sukar ini.
“Kami bertiga dapat bekerjasama dan menghasilkan lagu yang luar biasa untuk kempen besar seperti Festival realme Fan 2021 ini. Ia juga merupakan peluang untuk menunjukkan bakat rapper generasi baru Malaysia,” tambah Joe Flizzow.
Manakala bagi Bunga Isme, berpeluang kolaborasi dengan ‘sifu’nya itu dalam sebuah lagu umpama mimpi menjadi realiti.
"Kebetulan salah satu impian saya adalah menghasilkan trek bersama Joe Flizzow dan Hullera. Kolaborasi ini mengajar saya bahawa jika saya menyerah kalah, perjalanan saya dalam industri ini akan menjadi sia-sia,” ulas Bunga sambil bersyukur diberi peluang oleh realme Malaysia.
Melontarkan pandangan sama, rapper Hullera turut berbangga terpilih sebagai Duta realme 5G, lebih-lebih lagi dapat bersatu dengan idolanya Joe Flizzow yang diminatinya sejak di bangku sekolah menengah.
“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan realme Malaysia memandangkan semangat 'Dare to Be You' sangat kena dengan diri saya dan saya berpendapat semua orang harus berasa selesa dan bangga menjadi diri mereka sendiri dalam era moden ini,” kata Hullera.
Apakah anda juga memiliki semangat ‘Dare To Be You’ atau sebagaimana moto realme, ’Dare To Leap’ (Berani Melompat) ke arah norma baharu yang kini perlu diterapkan sebati dalam diri masing-masing waima wabak itu akan menjadi endemik pada abad ke-21 ini?
Jom dengar apa mesej yang terselit di sebalik lagu ‘Kena Check’ ini. - KitaReporters