Jijoe belum tua, kata Josiah! Shah berbakat besar! Buru emas Olimpik 2024 pula! Venir à Paris!
Published byJOSIAH Ng (kiri) berlumba demonstrasi dengan Mohd. Azizulhasni Awang sempena perasmian Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada 2017. - Kredit foto: MSN
SIAPA lagi selain ketua jurulatih negara, John Beasley yang cukup mengenali sejauh mana kemampuan Datuk Mohd. Azizulhasni Awang di arena berbasikal trek?
Tidak lain ialah Josiah Ng, bekas pelumba negara yang dianggap merintis kehadiran Malaysia di peta keirin berbasikal dunia khususnya Sukan Olimpik sejak di Athens pada 2004.
Lagi cerita-cerita menarik basikal
JOSIAH (kiri) pernah bersaing dengan Jijoe sambil bangga menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik Beijing 2008 selain Sukan Asia dan Komanwel. - Kredit foto: MSN
JOSIAH (kanan), Rosman Alwi, Azizulhasni dan M. Kumaresan serta Datuk Ng Joo Ngan (empat dari kiri) ketika gimik perasmian Velodrom Nasional Malaysia di Nilai. - Kredit foto: MSN
Olahragawan Kebangsaan 2004 itu juga sepasukan dengan anak jati Dungun, Terengganu ini dalam kontinjen negara pada dua lagi Olimpik, Beijing 2008 dan London 2012.
Josiah jugalah yang melatih pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit menyambar pingat emas keirin Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sekali gus mengecewakan Azizulhasni untuk sekadar beroleh gangsa.
Jijoe, 33, mara sebagai pemenang pingat gangsa keirin Rio 2016 malah meningkat ke podium perak di Velodrom Izu, Tokyo pada hari terakhir Olimpik Ke-32 itu tanggal 8 Ogos 2021.
JIJOE menggigit pingat perak Sukan Olimpik Tokyo selepas majlis penyampaian di Velodrom Izu. - Kredit foto: MSN
Jika tampil pada Olimpik Paris 2024, Azizulhasni bakal menginjak 36 tahun. Mampukah kayuhan ‘Si Roket Saku’ (The Pocket Rocketman) disaksikan lagi ketika itu?
Josiah, 41, berkata pada laman Instagramnya: “Saya tahu satu hal tentang Azizul - jangan sesekali tidakkan kemampuannya!”
“Dia masih mampu berada pada tahap terbaiknya ketika itu (2024). Saya tidak boleh menjawab sama ada dia yang akan terasa (terlalu tua untuk berkayuh dalam acara keirin mahupun pecut Olimpik).
“Momen emas (Malaysia dalam Olimpik) belum (berlaku) lagi. Jadi kita masih terpaksa bersabar dan menanti tiga tahun lagi,” kata Josiah, kelahiran Manila, Filipina.
JOSIAH (kiri) turut pernah membimbing pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit menewaskan Jijoe dalam Sukan Asia 2018. - Kredit foto: MSN
Josiah memiliki pencapaian terbaik dengan tempat keenam keirin Olimpik Athens 2004 dan mengalungkan Malaysia, pingat emas Sukan Komanwel Delhi 2010 malah mengumpul sebutir pingat perak dan dua pingat gangsa Piala Dunia UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) 2006 dan 2009.
Kini melatih Sarawak, dia turut mengikuti siaran langsung TV perlumbaan keirin Olimpik Tokyo 2020 (2021) yang dimenangi pelumba Great Britain, Jason Kenny manakala pingat gangsa menjadi milik Harrie Levreysen dari Belanda.
AZIZULHASNI mengangkat tangan selepas menamatkan perlumbaan pusingan akhir keirin Olimpik Tokyo. - Kredit foto: MSN
"Satu persembahan keirin Olimpik yang hebat dan menakjubkan. Yang terbaik pernah saya saksikan dalam hidup saya,” katanya.
Bagaimana dengan taktik luar dugaan Kenny, pengumpul tujuh pingat emas Olimpik termasuk hatrik di Rio (pecut, pecut berpasukan dan keirin) yang memecut awal untuk meninggalkan jauh lima pencabarnya pada tiga pusingan terakhir sekali gus mengejutkan mereka termasuk Jijoe?
AZIZULHASNI (dua dari kiri) bersaing dalam pusingan akhir keirin. - Kredit foto: MSN
“Dalam perlumbaan keirin, anda perlu membuat keputusan secepat sesaat sahaja. Kadangkala taktik yang dirancang menjadi dan kebanyakannya tidak.
“Jason telah membuat keputusan yang tepat dalam masa sesingkat itu,” kata Josiah yang menduduki tempat kesembilan diikuti Jijoe, ke-10 dalam perlumbaan keirin Olimpik Beijing 2008 di Velodrom Laoshan.
AZIZULHASNI (kiri) agak terkilan kerana terlepas pingat emas pada penampilan Olimpik keempatnya sejak 2008 setelah ditinggalkan jauh oleh Jason Kenny (tiga dari kanan). - Kredit foto: MSN
Josiah turut tertarik untuk mengulas kemunculan pelapis keirin dan pecut berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam Olimpik Tokyo.
Shah, 26, mempamerkan semangat juang tinggi dan pantang menyerah untuk mara ke suku akhir keirin biarpun terjatuh di trek malah tercedera badan akibat dihimpit oleh rakan sepasukan Kenny, Jack Carlin pada 7 Ogos 2021.
“Dia ada kemampuan fizikal. Kita tidak boleh membandingkannya dengan Azizulhasni yang dalam tahap yang berbeza (sedangkan) Shah kurang kreativiti dalam perlumbaan,” katanya. - KitaReporters
MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom (kiri) bersemangat tinggi, berbakat besar dan harapan cerah pingat Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024, bersama Jack Carlin dari Great Britain. - Kredit foto: MSN