Sukan Olimpik: Ada tuduh juri bias, berat sebelah! Tapi Dhabitah tetap ‘pemenang’! Tahniah Bitah!
Published byNur Dhabitah Sabri menduduki tempat keempat acara terjun 3 meter papan anjal individu Sukan Olimpik 2020, Tokyo. Kredit foto: Kamarul Akhir / MSN
SEJAK Ahad, 1 Ogos, 2021, nama Nur Dhabitah Sabri, 22, antara yang trending dalam kalangan pengguna media sosial negara ini ekoran prestasi cemerlangnya menduduki tempat keempat acara 3 meter papan anjal individu Sukan Olimpik 2020, Tokyo.
Walaupun tidak membawa pulang pingat namun kemampuan Nur Dhabitah memberi saingan sengit kepada atlet terjun dunia dari China dan Amerika Syarikat sesuatu yang amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Rata-rata memberi komen positif.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik
Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri.
Pada aksi final
itu, Dhabitah mengumpul 326.15 mata, hanya dipisahkan 17.6 mata
dengan pemenang gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer yang
mendapat 343.75 mata.
Dua peserta China mengungguli pingat emas dan perak dengan Shi Tingmao mengulangi kejuaraan di Sukan Olimpik 2016, Rio de Janeiro (383.50 mata) sementara rakan sepasukan, Wang Han mengumpul 348.75 mata untuk perak.
Pada penampilan sulungnya di Olimpik 2016, Rio de Janeiro, lima tahun lalu, Dhabitah menduduki tangga ke-9 acara 10m platform individu. Pencapaian kali ini jelas menunjukkan satu peningkatan buat gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.
Terjunan yang sempurna. - Kredit foto: Kamarul Akhir / MSN
Saya baca, ada netizen yang tuduh juri bias, berat sebelah kepada penerjun US (Amerika Syarikat), saya tak berani komen
Bagi ayah Dhabitah, Sabri Hashim, walaupun mengaku sedikit kecewa namun tetap berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu. Tambah melegakan apabila membaca komen-komen positif daripada rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, tak ada yang kutuk-kutuk sebaliknya semua mengucapkan tahniah dan memberi kata-kata positif.
“Saya baca, ada netizen yang tuduh juri bias, berat sebelah kepada penerjun US (Amerika Syarikat), saya tak berani komen. Dalam sukan sebegini, memang sukar mendapat keputusan yang menepati selera semua orang kerana juri menilai banyak faktor. Ia bergantung sepenuhnya pada ‘mata’ juri,” katanya.
Secara bergurau Sabri berkata penerjun Amerika Syarikat, Palmer patut memberi laluan kepada Dhabitah memenangi pingat.
“Amerika dah menang banyak pingat, bagi la chance Malaysia menang satu pingat,” katanya ketawa.
“Memang kalau boleh kita nak menang sekurang-kurangnya gangsa tapi ia bukan rezeki Bitah. Apa pun sebagai ayah, saya berbangga dengan pencapaiannya. Malah, saya difahamkan atlet China yang muncul juara dan naib juara itu pun memuji prestasi Bitah,” ujar Sabri.
Dhabitah sentiasa mendapat sokongan ibu bapanya, Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar. - Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri
Bercakap mengenai Nur Dhabitah selepas saingan itu, Shi Tingmoa berkata: “Saya rasa semua peserta sudah memberikan yang terbaik di sini tetapi atlet yang bagus memerlukan cabaran sengit daripada lawan. Tidak kisah pada kedudukan mana anda berakhir, setiap kedudukan itu pasti ada nilainya.”
Sementara itu Wang Han yang memenangi perak menambah: “Saya memang berkawan baik dengan penerjun Malaysia itu (Nur Dhabitah) kerana kami boleh berbahasa yang sama. Saya percaya dia sudah memberikan yang terbaik. Untuk layak ke Sukan Olimpik juga sudah dianggap satu pencapaian yang besar.”
Menurut Sabri, mereka sekeluarga turut berasa sedih apabila melihat Nur Dhabitah menangis selepas menamatkan pertandingan.
“Kami memahami perasaannya, sudah tentu dia kecewa. Kami bimbang jika dia terbawa-bawa dengan kekecewaannya itu. Tapi, saya lega apabila Bitah menyatakan dia menangis bukan kerana tak menang (pingat) sebaliknya kerana berbangga dengan pencapaianya di Olimpik kali ini.
“Apabila dia menghubungi kami melalui panggilan video selepas itu, Bitah sudah calm down (tenang) dan ceria bercerita. Saya tahu dia seorang gadis yang kuat semangat,” kata Sabri.
Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri.
Memang sejak kecil Bitah seorang yang lasak, mengalahkan lasak budak lelaki. Pada umur enam tahun, dia dah berani naik roller coaster
Sabri berharap pencapaian Dhabitah di Olimpik kali ini akan membuka mata banyak pihak untuk tampil membantu anak gadisnya itu mempertingkatkan prestasi.
“Bitah sentiasa bekerja keras dan dengan sokongan banyak pihak terutama penaja, saya yakin dia mampu lakukan lebih baik pada masa akan datang,” kata Sabri.
Dalam pada itu, Sabri berkata keputusannya menukar minat Dhabitah daripada renang kepada sukan terjun ternyata keputusan yang tepat.
“Memang sejak kecil Bitah seorang yang lasak, mengalahkan lasak budak lelaki. Pada umur enam tahun, dia dah berani naik roller coaster pada hal selalunya pada umur begitu budak-budak takut tempat tinggi apatah lagi naik roller coaster. Tapi dia selamba saja.
“Begitu juga bila saya bawa dia ke padang permainan. Dia suka bergayut dari satu palang besi ke satu palang besi. Saya hanya memerhati walaupun bimbang juga jika dia terlepas pegangan dan jatuh.
“Saya juga mendedahkan anak-anak saya dengan sukan renang termasuk Bitah. Malah, saya dan isteri (Fazidah Jaafar) menyimpan impian mahu menjadikan mereka perenang negara.
Dhabitah (kiri) berbakat sejak kanak-kanak. - Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri.
“Saya nampak Bitah cepat belajar dan berbakat dalam sukan renang lalu saya mendaftarkan dia dengan Kelab Air Shah Alam dan diajar oleh jurulatih profesional,” cerita Sabri.
Namun, menurut Sabri, beliau kemudian menyedari anak gadisnya yang bertubuh kecil itu tidak sesuai untuk menjadi perenang menyebabkan beliau mengambil keputusan mengalih minat anaknya ke sukan terjun.
"Bitah sukakan sukan berkaitan air dan saya fikir sukan terjun sangat sesuai untuknya. Selain dapat terus dekat dengan air, saya teringat keberaniannya naik roller coaster yang menunjukkan dia tidak takut dengan tempat tinggi. Malah sukan ini tidak bergantung pada saiz fizikal kerana ia lebih mengutamakan teknik," jelas Sabri.
Ternyata Sabri membuat pilihan yang tepat.
Hari ini, dengan ketinggian 1.53m, Nur Dhabitah Sabri tetap mampu berdiri sama tinggi di sisi penerjun-penerjun dunia! Tahniah! - KitaReporters
Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri.
Biodata:
Nama: Nur Dhabitah Sabri
Lahir: 12 Julai, 1999 (22 tahun)
Asal: Kuala Lumpur
Tinggi: 1.53m
Sukan: Terjun.
Acara: 3m, 3m seirama, 10m, 10m seirama.
Pencapaian:
Sukan Komanwel: 2014- Gangsa (10m platform seirama), 2018-
Gangsa (3m papan anjal seirama), Gangsa (10m platform seirama).
Sukan Asia: 2018- Perak (3m papan anjal seirama), Gangsa
(3m papan anjal), Gangsa (10 m platform seirama).
Sukan SEA: 2013- Emas (10m platform seirama), 2015- Emas (3m papan anjal seirama), 2017- Emas (3 m papan anjal), 2019- Emas (3 m papan anjal seirama)d