Keluarga Malaysia utamakan alam sekitar! Mr DIY sokong #DIY4Sungai! Bersih dan pulihkan sungai!
Published byAzlam Shah Alias (empat dari kanan, bertopi merah) bersama para sukarelawan dari Mr DIY dan Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka sebelum aktiviti pembersihan Sg. Melaka. - Kredit foto-foto: Mr DIY
Rakyat Malaysia dan pelancong dari seluruh dunia kini boleh bergembira kerana sempadan akan dibuka dan semua orang boleh mengembara semula.
Bagi memberikan sokongan yang amat diperlukan oleh industri pelancongan negara dalam konteks aspirasi Keluarga Malaysia, Mr DIY Group (M) Berhad (Mr DIY) baru-baru ini melancarkan sebuah inisiatif di bawah program mendekati komunitinya yang dikenali sebagai #DIY4Sungai.
Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan dan dipulihkan sebagai persiapan untuk kembali menerima kunjungan pelancong.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sungai-sungai
Lebih 1,000kg sampah telah dikutip dan dilupuskan dengan cara yang bertanggungjawab oleh para sukarelawan dari Mr DIY dan Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka.
Menurut satu kenyataan media, fokus peruncit perkakas rumah tempatan pada 30 Mac 2022 ini adalah hab pelancongan Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Bersejarah Melaka.
Dalam aktiviti sepanjang 2 jam yang melibatkan 40 sukarelawan, pasukan MR DIY mengetuai usaha pembersihan dan pemulihan kecantikan semula jadi kawasan hadapan sungai.
Para sukarelawan terlibat terdiri daripada kakitangan Mr DIY serta Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka. Lebih 1,000kg sampah telah dikutip dan dilupuskan dengan cara yang bertanggungjawab.
Mengulas tentang inisiatif tersebut, Pengerusi Kumpulan Mr DIY, Dato’ Azlam Shah Alias berkata, “sebagai jenama kelahiran Malaysia, Mr DIY ingin memberi sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang bertujuan untuk mengekalkan, melindungi, serta memulihkan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik dan indah di Malaysia.
"Pelancongan adalah industri yang penting untuk negara dan memandangkan rakyat Malaysia boleh mengembara semula dan sempadan akan mula dibuka, kami ingin menyokong usaha-usaha untuk memulihkan kembali industri pelancongan negara kita. Ini adalah salah satu cara kami membawa nilai kepada negara dan rakyat Malaysia.”
Azlam mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan atas usaha mereka yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan program tersebut.
“Kami telah menjalankan beberapa inisiatif seperti ini, dan yang terkini sebelum ini adalah bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), di mana kami membersihkan Sungai Kedondong dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas kemudahan di kawasan rekreasi tersebut. Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama seperti ini pada masa akan datang,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
#DIY4Sungai adalah salah satu inisiatif yang dilancarkan oleh Mr DIY sebagai sebahagian daripada usaha kelestariannya.
Antara inisiatif lain termasuklah DIY Made Simple, sebuah pertandingan yang direka khas untuk mempromosikan budaya do-it-yourself (buat sendiri) dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia dan #DIY4UM, sebuah program dengan kerjasama Universiti Malaya untuk membantu lebih 12,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik. - KitaReporters
Inisiatif #DIY4Sungai bertujuan memastikan kawasan tarikan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air dibersihkan dan dipulihkan, sebagai persiapan untuk menerima semula kunjungan pelancong. - Kredit foto-foto: MR DIY