Jika anda adalah salah seorang rakyat Keluarga Malaysia yang mengambil berat tentang golongan kurang berkemampuan yang telah terjejas akibat pandemik COVID-19, marilah #SamaSamaSapot dengan menderma pakaian atau barangan kerja yang terpakai bagi membantu mereka dalam usaha mencari peluang pekerjaan

Carousell Malaysia, sebahagian daripada Carousell Group, kumpulan jual beli dalam talian terkemuka di Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, berganding bahu dengan organisasi masyarakat tempatan Yellow House KL, melancarkan kempen #SamaSamaSapot, suatu usaha untuk merapatkan jurang antara mereka yang kurang mampu dengan golongan yang boleh menawarkan bantuan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan kurang berkemampuan


“Carousell teruja dapat bergandingan dengan Yellow House KL menerusi kempen #SamaSamaSapot untuk membolehkan para pengguna Carousell memberi bantuan dari segi barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik kepada golongan rentan yang mencari peluang pekerjaan baharu

"Ramai rakyat Malaysia masih bergelut untuk pulih daripada kesan pandemik ke atas mata pencarian mereka. Ini adalah masa yang sesuai untuk mereka yang terlibat melengkapkan diri sebagai persediaan bagi peluang pekerjaan yang akan datang sementara negara kita beralih ke fasa endemik,” kata Tang Siew Wai, Pengurus Negara (Malaysia), Carousell dalam satu kenyataan media pada 26 April 2022.



Yellow House KL telah mengenal pasti senarai penuh barangan kerja yang berguna untuk komuniti yang memerlukan. Ia terbahagi kepada tiga kategori utama yang terdiri daripada: 

  • barangan gajet seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet, pengecas, wayar USB dan mesin pencetak
  • pakaian kerja untuk lelaki seperti baju lengan panjang, tali pinggang, seluar panjang, kasut pejabat dan beg 
  • pakaian kerja untuk perempuan seperti baju kurung, kasut bertutup, seluar panjang, beg dan pakaian lain yang sesuai untuk bekerja.

Justeru, bermula dari sekarang hingga 20 Mei 2022, penyumbang yang berminat boleh senaraikan barangan dalam kategori-kategori tersebut dalam platform Carousell disertakan tanda pagar #SamaSamaSapot sebagai tajuk senarai

Pihak Yellow House KL akan menghubungi penderma barangan yang terpilih untuk membuat temu janji bagi proses penghantaran. 

Penderma juga boleh memberi bantuan dari segi kewangan melalui aplikasi Carousell juga atau hubungi pihak Yellow House KL jika ingin meluangkan masa untuk sama-sama menjayakan usaha ini.



Sebagai sokongan tambahan kepada kumpulan pencari kerja, siri bengkel bersama jurulatih profesional akan diadakan bagi memberi peluang peserta belajar dengan lebih mendalam kaedah menulis CV profesional untuk permohonan kerja, memilih pakaian yang sesuai untuk menghadiri temu duga, cara menangani situasi sukar di tempat kerja dan sebagainya.  

“Di Yellow House KL, kami berhasrat menyediakan intervensi mata pencarian yang mampan untuk komuniti terpinggir kerana kami amat percaya mereka berpeluang untuk berdikari, belajar kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran itu bagi mencapai kedudukan sosioekonomi yang stabil. 

"Ini amat penting khususnya sekarang untuk membina semula kehidupan supaya mereka boleh menjadi anggota masyarakat yang produktif. 

"Inisiatif  #SamaSamaSapot ini tidak sekadar meliputi soal penampilan yang betul dan melalui bengkel yang diadakan, kami berharap peserta juga akan menjadi lebih yakin dengan kemampuan mereka dan berasa bangga kerana dapat menyara diri sendiri serta orang tersayang,” kata Shyam Priah, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yellow House KL, dalam kenyataan yang sama.

“Sempena meraikan sedekad penubuhan Carousell sejak tahun 2012, dengan misi untuk menggalakkan setiap orang untuk menjadikan barangan terpakai sebagai pilihan pertama, kerana ia memanjangkan kitaran hayat barangan melalui ekonomi pekeliling. 

"Carousell bukan sekadar platform jual beli sahaja; ia memperkasakan situasi menang-menang untuk pengguna dalam setiap transaksi, sama ada melalui pemberian, penjualan, atau pembelian – dan kami amat teruja bahawa kempen #SamaSamaSapot ini sememangnya mampu meneruskan legasi yang memperkasakan ini,” kata Tang. - KitaReporters


13
10
0
14
0

Copy Link: