Roti canai terbang! Sambutan Bulan Kemerdekaan bertukar riuh
Published byROTI canai terbang menggamatkan suasana majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-63 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor. Aksi yang menjadi tumpuan warga emas, tetamu dan beberapa ahli persatuan sukaralewan yang hadir bagi memeriahkan majlis itu ditunjukkan oleh penasihat pusat jagaan berkenaan, Mohiadin Bahado yang mempunyai kepakaran membuat dan menebar roti canai. : KitaReporters
Mohiadin mempunyai kepakaran membuat dan menebar roti canai.
Lagi cerita-cerita berkaitan Pusat Jagaan Mahmudah:
https://kitareporters.com/search?search=Mahmudah
Aksi beliau itu sememangnya dinanti-nantikan mereka yang hadir selepas diuar-uarkan dalam group WhatsApp dijemput menghadiri majlis berkenaan sebagai salah satu gimik memeriahkan sambutan bulan Kemerdekaan bersama-sama penghuni pusat jagaan itu.
Gaya
tersendiri Mohiadin menebar, mengoreng serta melambung roti canai itu ke udara
seperti piring terbang dan disambut beliau sebelum menepuk beberapa kali
mendapat tepukan gemuruh tetamu.
Mohiadin menunjukkan beberapa aksi menarik roti canai terbang walaupun tidak sehebat ketika remaja dahulu.
Beliau juga
berjaya menunjukkan aksi membaling roti canai itu seperti piring terbang di
udara kemudian jatuh tepat ke dalam pinggan yang dipegang tetamu menambahkan
lagi suasana riuh rendah majlis berkenaan.
Menurut
Mohiadin, ketika remaja dahulu dia terpaksa mencari wang saku sendiri dan
bekerja di restoran menyediakan menu roti canai yang secara tidak langsung
memberi peluang kepadanya mempelajari cara membuat makanan itu.
Mohiadin menunjukkan cara menerbangkan roti canai ke dalam pinggan pelanggan.
Katanya, selepas mendapat kepercayaan pemilik restoran itu, dia menjadi penebar roti canai dan mula membuat pelbagai aksi menebar dan melemparkan ke udara seperti piring terbang sebagai daya tarikan kepada pelanggan.
“Aksi itu mendapat tepukan dan sorakan daripada
pelanggan yang berkunjung ke restoran tempat saya bekerja sebelum berhenti
untuk menumpukan perhatian kepada kerja di agensi kerajaan selepas menamatkan
pengajian di universiti.
“Bagaimanapun
saya akan menunjukkan kemahiran itu
apabila diminta menjadikannya salah satu gimik bagi memeriahkan majlis yang
diadakan termasuk di agensi kerajaan tempat saya bertugas sebelum bersara
beberapa tahun lalu,” katanya.
Beberapa penghuni memulakan majlis sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menyampaikan lagu Negaraku.
Sementara itu majlis sambutan berkenaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku oleh beberapa penghuni pusat jagaan itu yang kemudiannya disusuli beberapa lagu patriotik yang mendapat bimbingan daripada sukarelawan paramedik Pathama Vathy Arumugan.
Pada majlis
itu juga, warga emas Alias Othman, 64, dipilih untuk menerima Anugerah Penghuni
Terbaik 2020 manakala Abu Talib Borhan, 66, menerima Anugerah Terbaik Fisio
dengan Rehabilitasi.
Alias (dua dari kanan) dan Abu Talib menerima anugerah daripada Roslan.
Pathma Vathy berkata, kedua-dua warga emas berkenaan walaupun tersisih di pusat jagaan itu sejak beberapa tahun lalu dan mengalami masalah kesihatan tetapi mereka tetap aktif serta rajin membantu rakan-rakan menjalankan aktiviti di situ.
Pengerusi
pusat jagaan itu, Roslan Saidin, berkata sambutan bulan Kemerdekaan sering
dianjurkan di pusat berkenaan sebagai salah satu aktiviti memupuk semangat patriotik
dalam kalangan penghuni supaya mereka tidak berasa tersisih.
Hamidah Osman (kanan) dan Siti Khalijah Saat bersemangat memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Katanya, aksi roti canai terbang itu sebagai gimik untuk menghiburkan hati penghuni pusat jagaan berkenaan, di samping menunjukkan sikap ambil peduli pelbagai pihak khusus sukarelawan yang hadir bagi bersama-sama mereka meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Negara.
Majlis itu dihadiri lebih 50 sukarelawan dari Hospital Kajang, Hospital Ampang, Mama Yati Harimau Malaya dari Sungai Buluh, Green Charity Nilai, Negeri Sembilan, Pasukan RnT Entertainment dan penduduk sekitar. - KitaReporters