Video| Ejen Ali The Movie cipta sejarah! Dialih suara dan ditayangkan di pawagam di Uzbekistan!
Published byTarikh 15 Februari 2022 lalau mencatatkan satu sejarah buah filem animasi pecah panggung Malaysia, Ejen Ali The Movie, apabila ia mula ditayangkan di Republik Uzbekistan,
Buat julung kalinya, filem fenomena animasi Malaysia ini sekali gus mencipta sejarah menjadi filem cereka Malaysia yang pertama dialih suara dan dilokalkan di Uzbekistan dengan tayangan di lebih 25 pawagam di tujuh bandar di seluruh negara itu,
Tayangan Ejen Ali The Movie di pawagam Uzbekistan dimeterai dengan kerjasama Amex Media selaku rakan strategik di Commonwealth of Independent States (CIS) dan wilayah Rusia, juga dengan usaha sama dengan World Pictures selaku pengedar filem tempatan di Uzbekistan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan animasi
“Sejak pandemik pada tahun 2020, ia sememangnya memberi impak yang hebat kepada dunia hiburan termasuklah industri pawagam. Dengan kerjasama ini, kami amat teruja Ejen Ali The Movie melebarkan sayapnya ke pawagam antarabangsa,” ujar Dato’ Khairul Anwar Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios (gambar atas) ketika mengumumkan mengenai perkembangan terbaharu filem terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation itu.
Menurut Khairul, dengan matlamat untuk sentiasa mempromosikan kandungan program Malaysia yang hebat kepada penonton di peringkat antarabangsa, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada Amex Media dan World Pictures di atas peluang yang diberikan,
“Dengan menggunakan bahasa tempatan, dapatlah majoriti penonton menikmati filem animasi berkualiti ini tanpa halangan dari segi bahasa. Sokongan daripada peminat di seluruh dunia sememangnya memberi semangat kepada kami dan tidak sabar untuk melihat reaksi semua yang bakal menonton penggembaraan Ali seterusnya dalam Ejen Ali Musim 3, yang akan datang pada 2022 ini,” tambah Khairul.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation selaku Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin (gambar atas) turut melahirkan kegembiraannya terhadap sokongan yang diberikan oleh Amex Media dan World Pictures terhadap filemnya itu.
“Kami tidak menyangka Ejen Ali akan berada di pawagam antarabangsa dan ia sememangnya di luar daripada imaginasi kami,” tambah Usamah sambil berharap filem itu dapat menambat hati penonton di pawagam Uzbekistan dan tidak sabar untuk mengumpul peminat-peminat baharu dari sana bagi menyertai misi pengembaraan Ali sebagai perisik dalam siri TV musim ketiga yang akan datang.
Malah bagi Ketua Pegawai Eksekutif World Pictures, Pavel Nelin pula berpendapat dalam usahanya menghasilkan dan menerbitkan versi alih suara yang berkualiti untuk Ejen Ali The Movie, ia merupakan projek Malaysia pertama menggunakan bahasa tempatan.
"Kami juga sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Amex Media, Primeworks Studios dan WAU Animation, " tambah Pavel.
Teaser trailer pertama Ejen Ali Musim 3. Pra-jualan untuk Ejen Ali Musim 3 kini boleh didapati dalam pelbagai platform dan di beberapa wilayah di seluruh dunia.
Untuk rekod, Ejen Ali kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih daripada 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih 3 juta pengikut dalam laman rasmi YouTube.
Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada tahun 2016, animasi ini telah menarik minat beberapa stesen media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara, termasuk di rangkaian Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Filem fenomena animasi ini juga telah berjaya meraih kutipan RM30 juta (USD$8 juta) dan menduduki carta teratas filem pecah panggung pada tahun 2019 dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia. - KitaReporters