Malang tidak berbau. Walau di mana pun kita berada keselamatan diri perlu senantiasa diutamakan. 

Andai berlaku sesuatu di luar jangkauan, kita jangan mudah panik sebaliknya perlu dapatkan bantuan secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih serius. 

Contohi APM yang menubuhkan pasukan keselamatan mereka, Nature Lifeguard di Kuala Tahan, Jerantut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kawasan taman negara

Sh. Mohamed Puzi Sh Ali (empat dari kanan) dan Che Adam A Rahman (kiri) bergambar kenangan dengan anggota Nature Lifeguard selepas majlis pelancaran pasukan berkenaan di Kuala Tahan.


Kewujudan Nature Lifeguard (Penyelamat Alam Semula Jadi) di Taman Negara, Kuala Tahan amat dialu-alukan dan disifatkan sebagai langkah proaktif dalam mengawasi keselamatan pengunjung ke destinasi tumpuan pelancong itu.

Justeru, seramai 20 orang terdiri daripada ahli sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan termasuk penduduk Orang Asli etnik Bateq terpilih menganggotai pasukan pertama yang ditubuhkan di negara ini demi kepentingan menjaga keselamatan pelancong yang melawat di pusat peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun itu.



Ti
mbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali berkata, pasukan Nature Lifeguard yang diselenggara oleh APM Pahang itu merupakan nilai tambah terhadap pembangunan industri pelancongan Taman Negara dan negeri ini khususnya bagi menangani aspek keselamatan darat dan air sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Katanya, penubuhan Nature Lifeguard APM ini adalah usaha terbaik dilaksanakan oleh APM Pahang dalam merintis jalan bagi penubuhannya di lokasi tertentu di seluruh negara.


Sh. Mohamed Puzi Sh Ali (dua dari kanan) dan Che Adam A Rahman (kiri) bergambar kenangan dengan 'anggota' Nature Lifeguard selepas majlis pelancaran pasukan berkenaan di Kuala Tahan.


Menurutnya, anggota pasukan itu dilatih dengan kemahiran asas pertolongan cemas, berenang, menyelamat di air dan daratan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kemahiran mengendalikan bot.

“Kewujudan pasukan ini secara tidak langsung turut meningkatkan lagi keyakinan pelancong mengenai keselamatan mereka ketika berada di sini (Taman Negara).

“Kita sedar berasaskan pengalaman banjir 2014 termasuk kejadian banjir tahun berikutnya serta malapetaka  yang berlaku di darat (hutan) menyebabkan APM meningkatkan kesiapsiagaan untuk tugas menyelamat dengan menubuhkan pasukan ini,” katanya selepas melancarkan pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan, Jerantut  pada Sabtu, 11 Jun 2022.

Turut hadir, Pengarah APM negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan APM, Yoon Boon Chew dan Setiausaha Agung MAPIM,  Zulhanis Zainol.


Ahli pasukan Nature Lifeguard Taman Negara yang terdiri daripada Orang Asli etnik Bateq sedang mengadakan simulasi kerja menyelamat mangsa lemas di Sungai Tembeling berdekatan jeti Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.


Sementara itu, Che Adam berkata, penubuhan pasukan Nature Lifeguard itu dianggotai mereka yang telah dilatih dan dilengkapkan dengan peralatan menyelamat serta kemahiran menolong seperti Asas Pertolongan Cemas, Asas Renang, Asas Menyelamat Di Air, Mencari dan Menyelamat atau Search And Rescue (SAR) serta berkemahiran mengendalikan bot.

“Insya-Allah, kita akan perluaskan ke lokasi-lokasi lain dari semasa ke semasa. Setakat ini kita ada pasukan penyelamat pantai di Teluk Cempedak, Batu Hitam, Pulau Tioman dan tidak lama lagi di Pantai Hiburan, Kuala Rompin,“ katanya.


Gimik penyelamatan di mana anggota APM memberi bantuan awal kepada 'mangsa' lemas di Sungai Tembeling.


Sempena majlis pelancaran itu, Sh Mohamed Puzi turut menyampaikan sebuah enjin dan perahu sumbangan Malaysian Consultative Council of Islamic Organisation Malaysia (MAPIM) kepada pasukan Nature Lifeguard dan sukarelawan APM Kuala Tahan untuk kegunaan kerja menyelamat dan menghantar bantuan.

“Sekiranya pasukan Nature Lifeguard berada berdekatan tempat kejadian, tindakan menyelamat dapat dipercepatkan, sekali gus pengurangan masa untuk tindak balas kecemasan serta risiko kecederaan dan bahaya tertentu kepada mangsa dapat dikurangkan.

“Ini cukup memberikan manfaat kepada pelancong luar serta pelawat domestik yang saban hari menunjukkan peningkatan singgah di Taman Negara malahan lebih meyakinkan mereka untuk menjalani aktiviti riadah khususya ekstrem di air dan darat,” katanya.


Seorang daripada 20 ahli Nature APM Lifeguard (kanan) menerima cenderahati daripada Sh Mohamed Fuzi (tiga dari kanan) sempena majlis pelancaran Nature Lifeguard.


Kata Sh Mohamed Puzi, pasukan Nature Lifeguard sudahpun dominan di negara Barat yang mempunyai banyak pusat pelancongan serta dikunjungi ramai pelawat untuk melakukan aktiviti bercorak ekstrem dan Pahang mengambil langkah yang proaktif untuk memperkemaskan aspek keselamatan dan penyelamatan.

“Tourism Pahang berharap kerajaan negeri dan APM akan menambah kelengkapan dan logistik seperti bot serta peralatan menyelamat dari masa ke semasa serta melatih ramai ahli sukarelawan untuk menyertai pasukan Nature Lifeguard pada masa akan datang.

“Kita juga mencadangkan sebuah pusat logistik dan pentabiran dibuka di Kuala Tahan untuk menempatkan peralatan menyelamat, tempat latihan, penerangan dan maklumat daripada kerajaan negeri dan Pejabat Daerah,“ katanya.

Menerusi sumber portal Tourism Pahang, statistik ketibaan pelancong di Kuala Tahan merekodkan lebih kurang 89,000 orang (2017), 83,000 orang(2018) dan 77,000 orang (2019) dan tiada kedatangan direkodkan ketika penularan wabak COVID-19. 

Keselamatan pelancong, tambahnya, amat dititikberatkan oleh semua pihak berwajib dan dengan mewujudkan pasukan keselamatan pastinya akan memberi kesan yang positif dan memberi keyakinan kepada pelancong untuk berkunjung ke destinasi pilihan. - KitaReporters


Sh. Mohamed Puzi Sh Ali (tiga dari kanan) dan Che Adam A Rahman (dua dari kanan) di majlis pelancaran pasukan Nature Lifeguard APM di Kuala Tahan.

14
7
0
10
0

Copy Link: