BAGAIKAN sebuah drama aksi seperti Gerak Khas, seorang pengusaha bot pelancong mengejar empat suspek yang mencuri sebuah motorsikalnya sejauh lima kilometer sebelum tiga daripada empat suspek itu berjaya ditangkap oleh orang awam di Kampung Saujana, Setiu, Terengganu pada kira-kira 9.30 pagi, Selasa, 14 Jun 2022.

Manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri di dalam semak di kampung tersebut.


Lagi cerita-cerita jenayah berkaitan kes-kes kecurian

TIGA suspek berjaya ditangkap oleh penduduk kampung selepas cuba melarikan diri di dalam semak di Kampung Saujana, Setiu,Terengganu pada 14 Jun 2022. - Kredit foto: Media Sosial


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi, 14 Jun 2022 itu keempat-empat suspek terbabit yang berusia 19 hingga 40 tahun berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu dikatakan datang dengan sebuah kereta jenis Proton Inspira ke rumah mangsa  di Kampung Penarik, Setiu.

Selepas itu, salah seorang suspek keluar dari keretanya menuju ke sebuah motosikal yang ketika itu enjinnya sedang hidup terletak di halaman rumah mangsa dan menunggang motosikal mangsa.

Mangsa menghidupkan motosikalnya jenis Yamaha Y15ZR untuk memanaskan enjin kenderaan berkenaan kerana mangsa mahu pergi ke kedai untuk membeli barang keperluan pagi itu. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Affandi Hussin berkata, menyedari kejadian kecurian motosikalnya lalu mangsa yang berusia 44 tahun bertindak mengejar suspek terbabit dengan sebuah keretanya jenis Mitsubsihi Triton.

Menurut beliau, suspek terus memecut motosikal yang dicuri itu selepas menyedari mangsa sedang mengejarnya dari belakang.


KERETA yang dinaiki suspek terbabit 


Namun, katanya, dalam kejadian mengejar itu mangsa berjaya berjumpa suspek di Kampung Saujana sebelum mangsa mengarahkan suspek terbabit supaya berhenti.

‘’Tetapi suspek tidak berhenti sebaliknya dia memecut motosikal itu dengan laju yang akhirnya suspek terlanggar kenderaan mangsa menyebabkan suspek terjatuh bersama motosikal itu di tepi jalan.

‘’Selepas itu, mangsa berpatah balik untuk mencari kereta Proton Inspira yang dinaiki suspek tadi kemudian mangsa terjumpa kereta suspek juga di Kampung Saujana dan mangsa mengarahkan  suspek supaya berhenti tetapi mereka tidak berhenti lalu kereta suspek bergesal dengan kereta mangsa sebelum kenderaan suspek terbabas di bahu jalan,’’ katanya ketika dihubungi malam tadi, 14 Jun 2022.

Apabila Proton Inspira terbabas, ketiga-tiga yang berada di dalam kenderaan itu keluar untuk melarikan diri ke dalam semak. 

Bagaimanapun, tindakan mereka gagal apabila beberapa orang awam yang kebetulan berada berhampiran dengan kejadian itu telah bertindak menangkap ketiga-tiga suspek terbabit.


 

Motosikal yang dicuri suspek terbabit. - kredit foto : PDRM Setiu


Affandi berkata, hasil ujian urin (air kencing) mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan positif dadah jenis Methamphethamine.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka mempunyai 17 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta dua rekod yang dikehendaki polis atas kesalahan pecah rumah dan dadah. 

‘’Seorang lagi suspek mempunyai 15 rekod lampau yang berkaitan jenayah dan dadah, manakala  suspek yang ketiga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,’’ kata Affandi. 

Sebelum kejadian itu, beliau berkata, keempat-empat suspek berkenaan telah dipercayai memecah sebuah kedai runcit Agro Bazar di Kampung Bari Besar, Setiu dan mereka mencuri wang serta pewangi kereta. 

Tahanan reman ke atas tiga suspek itu akan dibuat di Mahkamah Setiu pada hari ini, Rabu, 15 Jun 2022 serta suspek yang berjaya melarikan diri itu sedang diburu polis. - KitaReporters




Tiga suspek dalam kes mencuri motosikal. - Kredit foto: PDRM Setiu

12
16
0
16
1

Copy Link: