DSV sedia taja semula Gegar Vaganza! Mahu lebih kebebasan!
Published byMalah, jutawan kosmetik itu 'bermurah' hati untuk kembali menaja rancangan hiburan popular itu sekiranya ditawarkan oleh produksi program berkenaan.
Memetik laporan portal PerakGazette, Vida berkata, pihaknya berbesar hati untuk menaja Gegar Vaganza musim akan datang setelah 'berehat' pada dua musim rancangan itu sebelum ini.
Bagaimanapun beliau berkata, penajaan yang diberikan itu bersyarat di mana pihak produksi memberi kelonggaran kepadanya dari segi kemunculan dalam program itu.
"Empat tahun saya menaja Gegar Vaganza iaitu dari musim pertama sehingga musim keempat.
"Daripada konsert dibuat secara rakaman sehinggalah ke siaran langsung.
"Tahun ini, kalau ada (Gegar Vaganza) musim baharu dan saya adalah penajanya, saya harap boleh buat satu kelainan dan diberikan kebebasan untuk berkarya.
"Bukan sekadar duduk di kerusi dan curi mikrofon," katanya.
Tambah Vida, beliau tidak kisah dengan reaksi penonton atau sesetengah pihak yang kurang senang dengan aksi 'kepoh'nya dalam rancangan tersebut kerana menyifatkan itu adalah dirinya sebagai seorang usahawan.
Katanya, sebagai seorang usahawan sekali gus penaja, beliau perlu menonjolkan diri agar dikenali dan menjadi sebutan ramai.
"Mungkin akan ada orang cakap serabutlah, meluatlah tengok muka saya.
"Jangan jadi kacang lupakan kulit. Penonton hanya bayar bil untuk melanggan Astro dan menonton Gegar Vaganza tetapi saya melabur berjuta-juta untuk program itu.
"Saya bukan mahu buat apa, bukan mahu merosakkan rancangan orang.
"Saya hanya mahu berkarya lebih sikit, bukan sekadar berniaga dan menaja sahaja," katanya.
Beliau menambah, sekiranya berpeluang menjadi penaja program tersebut, beliau akan menampilkan idea-idea baharu yang lebih segar dan sisi lain beliau sebagai penaja utama.
"Saya mahu kelainan, saya tidak mahu benda yang sama dan penonton juga mahu tengok benda lain.
"Jika ia dapat dipenuhi, saya sedia menaja Gegar Vaganza.
"Kali ini juga saya akan lebih bersedia. Sebelum ini saya tidak tahu semasa saya menaja Gegar Vaganza, saya sebenarnya popular.
"Bila dah tubik (keluar) Gegar Vaganza baharu saya tahu popular dan saya tidak menggunakan populariti saya pada masa itu," ujar beliau.
Gegar Vaganza ialah program realiti terbitan Astro yang menyaksikan 12 penyanyi professional lama atau berpengalaman dalam industri muzik di Malaysia bersaing dalam satu pertandingan nyanyian. - KitaReporters