Konsert 4G's Black, Hazama, Tomok, Akim! Mungkin akhir tahun
Published byTENAGA, pengaruh dan kuasa muzik mereka tidak pernah hilang getar di hati peminat. Dari awal kemunculan hinggalah membina portfolio sebagai penerus legasi seni yang menunjang kemas dalam gelanggang muzik tanah air, empat penyanyi lelaki generasi masa kini: Black, Hazama, Tomok dan Akim bersedia untuk menerjang emosi peminat dengan melodi kecintaan mereka menerusi sebuah konsert berskala mega. : KItaReporters
Julung kali disatukan, tidak cukup dengan Anugerah Terindah, Mana Mungkin dan Sofea Jane daripada Black; Cinta Teragung, Malaikat dan Penglipur Lara (Hazama); atau Sejarah Mungkin Berulang oleh Tomok bersama seleksi Bagaikan Bidadari dan Arjunanya, Akim pula bersama Bengang, Mewangi dan Rampas, konsert tersebut menyandarkan melodi lagu-lagu terindah dari era muzik yang membesarkan dan memberi inspirasi terhadap pertumbuhan empat penyanyi itu sehingga kini sebagai konsep pengisian.
Dinamakan sebagai Konsert 4G’s: Black, Hazama,Tomok & Akim, paduan suara dengan tagline ‘Gabungan Melodi Terindah’ itu juga boleh disifatkan sebagai quartet terhebat yang pertama kali dipersembahkan dalam sebuah konsert di Malaysia, di Istana Budaya, Kuala Lumpur khususnya.
Biarpun masing-masing memiliki lagu-lagu popular yang pastinya jadi siulan peminat, namun untuk 4G’s, mereka juga tidak cenderung dipersembahkan sebagai penyanyi solo, sebaliknya sebagai sebuah kombinasi yang akan saling berpadu suara dalam setiap lagu dendangan.
Dengan kata lain, mereka akan ‘dilahirkan’ sebagai sebuah grup daripada generasi masa lalu dan generasi masa kini.
“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam sesebuah konsert memang tidak asing, tetapi repertoirnya masih fokus terhadap persembahan solo setiap artis, cuma ada segmen duet beramai-ramai. Itu pun tidak banyak.
“Untuk 4G’s, konsepnya lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, semacam quartet dengan keunikan karakter pada setiap penyanyi.
"Persembahan solo tetap ada, tetapi dalam segmen awal sahaja,” kata Fandy Alias, Ketua Eksekutif Belbis Sdn. Bhd. selaku syarikat penganjur dan penerbit Konsert 4G’s – Gabungan Melodi Terindah.
“Susunan Muzik Konsert 4G’s ini pula akan diperhebatkan dan diindahkan lagi oleh pengarah muzik hebat tanah air iaitu Saudara Aubrey Suwito yang sangat berpengalaman lebih 30 tahun dalam pengarahan muzik untuk konsert-konsert artis tersohor tempatan dan antarabangsa seperti siri konsert Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Krisdayanti, Anugerah Juara Lagu, Anugerah AIM serta banyak lagi juga berpengalaman luas dalam persembahan luar negara bersama artis antarabangsa seperti David Foster dan ramai lagi.
"Berpengalaman menganjur dan menerbitkan beberapa konsert terdahulu antaranya seperti Concert Romansa Kris Dayanti, M. Nasir Sang Pencinta dan beberapa artis lain lagi, pihak Belbis yakin pemilihan Black, Hazama, Tomok dan Akim sebagai 4G’s untuk dua malam persembahan akan menjanjikan konsert yang amat berbaloi dengan harga tiket yang dibayar penonton.
“Mereka ada banyak lagu popular dan setiap orang ada kelebihan vokal serta identiti muzik tersendiri.
“Secara puratanya, gabungan empat penyanyi ini mempunyai lebih enam juta pengikut dalam laman sosial mereka.
"Dari angka tersebut, nampaknya mereka mendapat sokongan ramai peminat muzik tanah air dan pihak-pihak lain. Penganjur juga sangat mengalu-alukan semua pihak-pihak terutama syarikat korporat dan lain-lain yang berminat untuk mengambil bahagian sebagai penaja konsert dengan menghubungi kami,” tambah penganjur.
Sebagai penambahan yang dijangka menyuntik kesegaran bahkan menambahkan aura empat sekawan 4G’s, Black, Hazama, Tomok dan Akim kini dalam proses menghasilkan sebuah single baharu.
Sesuatu yang jarang berlaku, single yang pertama kali menyatukan empat suara anak jantan dan lebih istimewa menjadi hiburan bonus khas buat penonton Konsert 4G’s nanti.
Bagaimanapun segala perancangan rapi yang telah dibuat khas untuk peminat dan penonton Konsert 4G’s telah tertangguh dan tidak dapat berlangsung seperti tarikh yang sepatutnya iaitu pada 17 dan 18 April 2020 disebabkan oleh negara dan seluruh dunia telah dilanda pendemik Covid-19 yang telah menjejaskan pelbagai aktiviti harian kehidupan, ekonomi dan sebagainya di negara kita serta seluruh dunia juga turut terjejas.
Lebih 3 bulan kita semua telah menjalani kehidupan norma baru serta mempraktikan segala bentuk SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penyularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.
Seperti yang diketahui akibat wabak Covid-19 ini, konsert 4G’s yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 lalu, telah ditunda kepada satu tarikh yang baru yang sedang dikenal pasti.
Sekiranya keadaan diumumkan pulih oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat, kemungkinan besar konsert 4G’s akan dapat diadakan pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun pihak pengurusan Belbis masih menunggu kata putus dari pihak Istana Budaya dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan (MOTAC) yang sedang menguruskan persediaan yang perlu untuk semua pengunjung dan penonton sesuai dengan syarat dan prosedur (SOP) yang ditentukan oleh kerajaan.
Satu pengumuman rasmi akan dibuat berkenaan tarikh baru Konsert 4G’s setelah mendapat lampu hijau dari pihak berkuasa.
Penganjur juga ingin memaklumkan kepada semua peminat yang telah membeli tiket, ia masih tetap sah dan boleh digunakan pada tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
Pihak penganjur dan semua artis 4G’s dengan rendah hati memohon maaf serta terima kasih kepada semua peminat, penaja dan semua pihak terbabit yang telah bersabar dan terus menyokong Konsert 4G’s ini.
Diharapkan dengan doa dan sokongan berterusan dari peminat dan semua pihak, segala perancangan yang sedang diatur akan dipermudahkan dan berjalan lancar dalam waktu terdekat. - KitaReporters