Rumah Klasik Kuantan! Galeri rakyat bagi mengimbau nostalgia
Published bySETIAP individu mempunyai cara dan cita rasa berbeza dalam menyimpan barang lama. Ada yang menjadikannya sebagai hiasan di ruang tamu atau sekadar menyimpannya dalam stor sahaja. Malah ada juga yang menjualnya kerana tidak berminat untuk dijadikan koleksi atau tiada tempat untuk diletakkan. Sepertinya tidak pandai menghargai khazanah zaman silam. : KitaReporters
Rumah Klasik Kuantan yang dibuka sejak 2017 juga dikenali sebagai Galeri Rakyat
Kredit foto-foto: Rumah Klasik Kuantan
Barang antik biasanya menjadi pilihan pengumpul barang lama kerana beranggapan ia adalah satu dalam seribu.
Jika tidak disimpan, pasti hilang ditelan zaman. Tiada lagi kenangan untuk dilihat anak cucu.
Barang antik bukan sampah ye!
Jika anda tidak berminat untuk menyimpan kerana beranggapan tidak berfaedah apa kata, serahkan kepada Rumah Klasik Kuantan (RKK).
Mereka tahu untuk menguruskannya. Hantar saja barang yang anda tak perlukan ke RKK.
Terletak di Jalan Galing Besar di tepi Jalan Beserah, Kuantan, Pahang lokasi ini juga dikenali sebagai Galeri Rakyat.
Diusahakan oleh kumpulan peminat barangan antik, rumah kayu lama itu menempatkan pelbagai koleksi barangan yang mendokumentasikan sejarah-sejarah di Kuantan dan negeri Pahang.
Berkunjunglah ke sini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sejarah Pahang.
Ruangan dapur yang penuh nostalgia. - Kredit foto: BernamaKedai gunting rambut
RKK bagai mencerminkan semula suasana zaman dulu kala bertemakan konsep kedai jahit, kedai runcit, balai polis, kedai gunting rambut, kedai basikal, bilik tidur, ruang tamu, dapur dan kelas darjah.
Memang awesome!
Selain itu, banyak bahan bacaan bertulis seperti buku dan surat lama turut dijadikan koleksi. Ia adalah bentuk pembelajaran yang bernilai tinggi kepada generasi sekarang dan akan datang.
RKK diusahakan oleh Ahmad Shirmi Tamsil bersama dua rakannya, Faizal Izwa Nawi dan Muhammad Khairuddin Rosli yang juga peminat barangan antik bermula 2016.
Pingat-pingat lama tersusun kemas di RKK
Katanya lagi, rumah itu pada asalnya dijadikan lokasi peminat barangan antik berhimpun sebelum mereka membuat keputusan menukarkannya sebagai lokasi menghimpun dan mempamer barangan lama, sekali gus membawa kepada penubuhan RKK tiga tahun lalu.
Ahmad Shirmi berkata, rumah yang disewa daripada seorang penduduk tempatan dibina sekitar 50-an dan hanya diubah suai sekali sahaja iaitu pada 70-an menjadikan ia ‘keputusan paling tepat’ untuk mereka menghimpunkan barangan klasik di situ.
RKK kini menjadi 'Pusat Sehenti Pelancongan Warisan dan Budaya' di Kuantan yang mempamerkan serba sedikit barang dan bahan sejarah tinggalan orang Kuantan dari era 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an.
Galeri yang menyimpan pelbagai khazanah lama
Menurutnya, rumah itu dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan tema berbeza bagi menghidupkan kenangan lama, seperti ruangan dapur yang dilengkapi pinggan mangkuk dan koleksi mangkuk tingkat lama yang sering digunakan nenek moyang zaman dulu.
Wanita dan dapur memang tidak dapat dipisahkan.
Antara koleksi gambar lama bandar Kuantan yang tersimpan kemas di RKK
Gambaran ruang tamu rumah era 60-an dan 70-an
RKK dibuka setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.
Harga tiket yang adalah RM4 untuk dewasa, RM2 untuk kanak-kanak dan warga emas, manakala bagi pelajar sekolah beruniform dikenakan tiket masuk dengan kadar hanya RM1.00 sahaja.
Tempahan lawatan boleh dibuat jika mahu berkunjung pada hari lain dengan menghubungi talian 0196199045.
Pendapat penulis mengenai RKK tidak lain ialah ia mempamerkan bukan barangan seperti di muzium yang selaku kita lawati tetapi mengenai barangan yang kita, ibu bapa kita dan datuk nenek kita guna setiap hari. '
RKK memilih untuk berbeza!
Yang menjadikan galeri rakyat ini lagi best ialah ia juga ada dokumen seperti sijil nikah, bil api (elektrik), sijil akedemik, surat pajak, saman majlis perbandaran dan lain-lain, di samping buku-buku dan majalah lama.
Itu yang membezakan RKK dengan muzium yang biasa kita lawati.
Simpan untuk dilihat generasi akan datang.
RKK adalah satu satu destinasi unik dan sewajarnya dikunjungi jika ke Kuantan.
Inilah lokasi yang boleh memberi kefahaman kepada generasi baharu mengenai kehidupan masyarakat zaman dahulu.
Jemputlah berkunjung ke galeri seni satu dalam seribu ini. Bakal memberi kenangan indah dan mengimbau memori lama. - KitaReporters