Seni kaligrafi tulisan jawi dalam batik! Usaha martabatkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa!
Published by
KitaReporters
--title--
Usaha menerapkan seni kaligrafi tulisan jawi dalam hasil karya seni batik Malaysia mampu memelihara, sekali gus memartabatkan warisan budaya yang sangat berharga itu.
sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, hasil karya tersebut, yang diperkenal oleh Indah Atelier menerusi koleksi Batik Jawi Calligraphy Collection, berpotensi menembusi pasaran global serta membantu menyokong artisan batik dan penulis khat tempatan.
"Alhamdulillah, saya sudah melihat sendiri hasil koleksi Indah Atelier yang memang sangat cantik sesuai untuk rakyat Malaysia dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.
"Kita juga berasa tertarik kerana apa yang ditampilkan bukan sahaja mengenai seni batik tetapi juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat ini dalam membantu membangunkan industri tersebut, khususnya di daerah Bachok, Kelantan, sekali gus membantu anak muda dalam industri ini,” katanya selepas melancarkan Batik Jawi Calligraphy Collection di Bachok pada 22 Februari 2025.
Zulkifli berkata, seiring Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Indah Atelier telah memainkan peranan dengan menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memperkenal produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Hari ini, saya lihat Indah Atelier telah mengambil peranan untuk menonjolkan dan mengangkat hasil kreativiti produk tempatan dan menariknya, ia memiliki konsep yang sangat unik iaitu kaligrafi jawi digabungkan dengan batik,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Indah Atelier, Guganesan Parasuraman berkata, koleksi itu adalah yang pertama seumpamanya pernah dihasilkan dan pada masa akan datang, lebih banyak kaligrafi daripada pelbagai bangsa yang terdapat di Malaysia akan diketengahkan.
"Kita mahu membawa semua warisan yang ada di Malaysia dan ia bermula dengan jawi. Tahun hadapan (2026), mungkin kita akan terapkan kaligrafi daripada pelbagai bangsa lain kerana ini penting untuk disemaikan dalam kalangan anak muda serta sebagai apresiasi terhadap batik dengan menyuntik elemen moden dalam tradisi lama,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media
8
10
0
9
0