LOKASINYA di pinggir Taman Puncak Selatan (berhampiran PICC), pusat ekuestrian bertaraf dunia Putrajaya yang dikenali sebagai ‘Taman Ekuestrian Putrajaya’ (TEP) menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan ekuestrian untuk tunggangan awam, pertandingan, lawatan ke kandang kuda dan pelajaran menunggang.

Kedudukan TEP yang jauh daripada kesibukan bandar dan lalu lintas mengimbau kita kepada suasana desa yang tenang, rimbunan pokok, air sungai yang mengalir tenang dan persekitaran yang sesuai jika sesiapa yang mahu healing atau melarikan diri daripada tekanan kerja di pejabat.

Orang ramai terutama kanak-kanak antara pengunjung paling seronok memberi makan kepada kuda.


TEP pernah menganjurkan acara ekuestrian dan dressage seperti Pertunjukan Kuda Siri Piala Perdana pada 2006 yang menarik lebih daripada 30 kelab antarabangsa dan tempatan ke Putrajaya selain kelayakan Piala World Asia FEI, SUKMA dan  Sukan SEA. Ia menawarkan persekitaran dan kemudahan untuk pertandingan tunggangan awam, ekuestrian dan polo.

Tapi sukan berkuda di Malaysia agak kurang diminati kerana ia selalu dikaitkan dengan aktiviti rekreasi yang eksklusif dan hanya untuk golongan elit sahaja kerana ia membabitkan kos yang tinggi terutama memiliki kuda dan peralatan lain.

Justeru, bagi menangkis stigma itu dan mendekatkan orang ramai dengan sukan berkenaan, Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama Oh!Ria Fest Management menganjurkan Festival Equine Putrajaya di Taman Ekuestrian Putrajaya bermula 2 hingga 4 Ogos 2024. 


Festival Equine Putrajaya turut memberi peluang pengunjung mendekati pelbagai jenis haiwan termasuk kambing secara dekat.


Burung kakak tua antara haiwan yang menjadi tarikan di Festival Equine Putrajaya kerana ia jinak dan mesra pengunjung.  


Festival selama tiga hari ini memberi peluang kepada orang ramai terutama yang tinggal berhampiran pusat pentadbiran negara ini mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang diadakan dari jam 8 pagi hingga 10 malam, antaranya pertandingan ekuestrian selain berpeluang mengenali lebih dekat dengan kuda.

Jika terasa lapar atau dahaga, penganjur menyediakan lebih 80 vendor jualan yang menyediakan pelbagai makanan tempatan, Asia Barat dan Barat dengan harga berpatutan. 

Ini memberi peluang ibu bapa yang membawa anak-anak menikmati makanan secara santai di kawasan sekitar sambil melihat pertandingan ekuestrian.   


Selain melihat lebih dekat pelbagai jenis kuda yang cantik, festival itu turut mengadakan pertandingan ekuestrian di gelanggang khas untuk tontonan orang ramai.


Aktiviti lain yang diadakan termasuk zumba, pound, pony-ride, sesi mengenal dan carrot time bersama kuda, demo lukisan abstrak, demo yoga dan persembahan selebriti tempatan.

Antara selebriti tempatan yang mengambil bahagian ialah Cat Farish, Ezi Shah, Pauf Yusuf, Lelon Line, Nazeera Sardi, Nur Amirah, Intan Shafinaz, AGV, Nad Zainal, Dani Kurama, Aizat Saha dan Reen Rahim. 

Penganjur turut mengadakan pertandingan dressage dan show jumping kuda. Paling penting festival ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, ia adalah percuma. 


Zahari Senin


Sementara itu, Presiden UNIK, Zahari Senin berkata, festival yang julung kali diadakan itu memberi peluang kelab berkenaan mengutip dana untuk membantu menjalankan pelbagai aktiviti khususnya membabitkan anak-anak istimewa selain memberi peluang orang ramai terutama mereka yang meminati tapi tidak mampu mengambil bahagian datang bagi melihatnya secara dekat.

Beliau berkata, kelab itu yang ditubuhkan pada Oktober 2023 mempunyai objektif utama untuk menyediakan perkhidmatan terapi berkuda secara percuma khususnya kepada golongan awam yang kurang berkemampuan.

"Kami mempunyai keahlian ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme dan orang kurang upaya (OKU). Ini adalah antara kaedah rawatan selain elemen perubatan moden dengan membabitkan haiwan seperti kuda bagi tujuan terapi mental dan fizikal. 


Pengunjung juga berpeluang untuk menunggang kuda di sekitar kawasan tapak festival dengan bayaran berpatutan.


“Kami berharap melalui penganjuran Oh!Ria Fest ini, UNIK dapat membuat penjenamaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penubuhan dan fungsi UNIK selain kesedaran mengenai sukan berkuda dalam kalangan masyarakat negara ini," katanya.

Pihaknya turut menyediakan jurulatih berkelayakan termasuk kepada golongan OKU selain menawarkan pengajaran dan perkongsian mengenai sukan berkuda secara percuma kepada orang awam yang berminat.

“Ia termasuk pengetahuan asas seperti cara mengendalikan kuda, teknik menunggang yang betul dan penjagaan kuda. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan keterampilan sukan berkuda dalam kalangan masyarakat,” kata Zahari lagi. 


Pengunjung Festival Equine Putrajaya bersantai, makan makan sambil menikmati pemandangan malam yang indah.


Bagi Timbalan Presiden UNIK, Datin Nor Ainon Wan Mohd Fadzil, pihaknya bersama Oh!Ria Fest Management berhasrat menganjurkan acara sukan berkuda berskala nasional pada masa akan datang.

“Kami lihat sukan berkuda atau ekuestrian berpotensi untuk dimajukan dan menjadi sebahagian sukan popular di Malaysia. Acara sukan berkuda berskala nasional sesuai diadakan di Malaysia kerana negara kita mempunyai banyak fasiliti sukan berkuda.

“Ia juga dapat memberi banyak pendedahan kepada orang awam dan mereka yang terlibat dalam industri sukan berkuda di Malaysia.

"Melalui acara ini, kami berharap dapat menarik minat lebih ramai individu terhadap sukan berkuda dan memperkenalkan keunikan sukan ini kepada masyarakat," katanya. 


Sebanyak 80 gerai jualan disediakan di Festival Equine Putrajaya, jadi tiada masalah untuk makan atau minum. 

16
13
0
12
0

Copy Link: