Video| Selepas terima LOD saman fitnah! Individu fitnah Puteri Sarah mohon maaf secara terbuka!
Published byEKORAN tindakan pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, memfailkan notis saman fitnah terhadap seorang pengguna media sosial, individu terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada malam hari Isnin, 18 Julai 2022.
Individu terbabit dalam kenyataan terbukanya memohon maaf kepada Puteri Sarah disebabkan perkongsian dalam Instagramnya pada 17 Julai 2022 yang memberi komen negatif tentang rumah tangga selebriti itu dengan pengarah Syamsul Yusof.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan saman fitnah
Dia menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam yang mewakili Puteri Sarah iaitu Natasha Basheer and Associate pada Isnin, 18 Julai 2022.
"Di sini saya dengan ikhlas hati ingin memohon maaf secara terbuka kepada Puteri Sarah disebabkan perkongsian Instagram saya pada 17 Julai 2022 yang memberi pendapat mengenai isu rumah tangga beliau.
"Saya telah menerima LOD (Letter of Demand) yang meminta saya untuk meminta maaf secara terbuka dan tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Puteri Sarah atau pun keluarganya," katanya.
Dalam permohonan maaf itu, individu itu turut mendoakan agar pelakon itu diberikan ketenangan dan kebahagiaan serta dipermudahkan semua urusan.
Sarah yang mengulang siar kenyataan berkenaan dalam Instagram Storynya dan mengucapkan terima kasih atas permohonan maaf yang dibuat individu tersebut.
Pada 30 Jun 2022, Puteri Sarah memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung gangguan serta pemerasan yang diterimanya daripada individu bernama Ira Kazar.
Rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga. Puteri Sarah juga mengakui dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul.
Puteri Sarah, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah. - KitaReporters