Video| Yo! Yo! 16 Baris kembali musim ketiga! Cari bakat baharu hip hop! Penyertaan rentasi rantau!

Published by
KitaReporters


Tak lapuk dek hujan, tak kering dek panas, muzik hip hop ternyata terus bernyawa dan mekar setanding dengan muzik arus perdana apatah lagi kemunculan banyak bakat baharu yang menggemari genre muzik tersebut semakin ramai bilangannya.

“Dengan begitu banyak bakat baharu, setiap peserta mempunyai potensi untuk menjadi bintang hip hop terkenal, “ ujar  tokoh hip hip negara, Joe Flizzow.

Sehubungan itu, setelah sekian lama ditunggu-tunggu, rancangan pencarian bakat hip hop yang paling diraikan di Asia, 16 Baris kembali dengan lebih hebat pada musim yang ketiga.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu-lagu hip hop



Memperkenalkan bakat-bakat terbaharu dalam dunia hip hop, rancangan ini menjanjikan lebih banyak aksi luar biasa berbanding musim-musim yang lalu, itu janji pencetus idea rancangan tersebut, Joe Flizzow.

“Musim ini menampilkan lebih banyak rentak dan muzik hip hop hasil sumbangan para penerbit yang turut serta bersaing. Pastikan anda mengikuti perkembangan bakat-bakat serantau dari negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina, Singapura, dan Indonesia. Kami sangat gembira dengan penyertaan yang merentasi rantau,” jelas Joe tentang rancangan tersebut. 

Masih mengekalkan format yang sama seperti sebelumnya, ia menampilkan sutradara hip hop tersohor, Shahrin Bahar yang pernah menghasilkan video muzik hebat seperti Ciao, Veto dan terbaharu lagu tular, 'Swipe'.



Bakal disertai ramai bakat serantau dan antarabangsa, generasi baru penyanyi rap ini membuktikan kebolehan mereka dengan menyampaikan lirik hip hop dalam aneka bahasa serta dialek.

“Itulah naratif sebenar 16 Baris, ia lebih besar daripada hip hop sendiri. Ia sebenarnya bertujuan menyatukan dan menghidupkan lagi komuniti ini, serta pada waktu yang sama memperkenalkan bakat-bakat baharu yang ada,” tambah Joe.

Beliau menegaskan, rancangan ini memberi peluang kepada semua tanpa mengira jantina, bangsa dan warna kulit kerana setiap orang berhak dihormati secara saksama.

“Sebagai contoh, sejarah muzik telah membuktikan bahawa wanita merupakan antara penyanyi rap paling hebat dalam industri seperti ikon-ikon agung, bak Lauryn Hill, Missy Elliot, dan ramai lagi,” tambah Joe sambil berharap 16 Baris akan terus memberi inspirasi kepada semua yang menyimpan harapan untuk terus berusaha dan memperhebat bakat mereka.



Menurutnya, pihaknya menerima banyak penyertaan daripada ramai orang namun memohon maaf kerana tidak dapat menyelitkan semuanya.

“Tapi saya harap anda terus berusaha kerana musim keempat bakal muncul tak lama lagi. Kami gembira dapat kembali setelah berehat seketika gara-gara pandemik dan sebagainya,” akhiri Joe dalam  nada gembira.

Syarikat telco Tune Talk turut teruja untuk bekerjasama sekali lagi pada musim baharu ini. 

"Kami sentiasa berusaha untuk memperkasa golongan belia dan menyokong persada muzik tempatan. 16 Baris adalah platform terbaik dalam mengetengahkan bakat baharu yang dipilih sendiri oleh para 'OG hip hop' bagi mempamerkan bakat dan potensi mereka." kata Joseph Lim, Ketua Pegawai Pemasaran Tune Talk

Musim ketiga 16 Baris kini sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube dan untuk rekod pada Konsert 16 Baris 2018, acara ini telah menempa nama sebagai konsert hip hop terbesar di Malaysia dengan kehadiran 5.000 peminat hip hop. - KitaReporters


16
6
0
16
0

Copy Link: