Video| Taktik licik ah long! Peminjam gagal bayar dipaksa lakukan jenayah! Untuk langsaikan hutang!
Published byPELBAGAI taktik terus digunakan oleh ah long untuk menjerat mangsa malah pada masa yang sama, ada yang menjerumuskan mereka yang gagal membayar hutang ke dalam kancah jenayah.
Perkara itu didedahkan oleh polis Kedah baru-baru ini tentang kelicikan pemberi pinjaman tanpa lesen ini daripada modus operandi mereka untuk mendapatkan mangsa sehingga ke ‘hukuman’ jika individu terlibat gagal melangsaikan hutang mereka.
Sudahlah pinjaman berkenaan dikenakan bunga sehingga empat kali ganda, mangsa juga dipaksa untuk melakukan jenayah lagi sebagai salah satu cara untuk membayar balik hutang itu jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan jenayah ah long
“Ah long ini juga semakin licik untuk mencari mangsa. Mereka kini aktif menawarkan pinjaman melalui media sosial termasuk Facebook. Ah long siber ini adalah merupakan ah long yang menawarkan pinjaman melalui iklan dalam media sosial dengan niat melakukan pemerasan dan ugutan.
“Pada awalnya peminjam perlu mengisi maklumat pada pautan yang diberikan, pinjaman akan diluluskan seberapa segera. Begitu mudah pinjaman diberikan namun bunga sangat tinggi kerana pemimpin perlu membayar balik empat kali ganda,” kata Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan agar orang ramai jangan sekali-kali membuat pinjaman wang melalui tawaran dalam laman sosial yang dikongsi berleluasa oleh sindiket itu yang dikatakan meniru taktik ah long siber dari negara jiran.
“Jangan mengisi pautan (link) yang diberikan kerana semua untuk membuat pinjaman wang kerana pihak sindiket berkeupayaan untuk mengakses segala maklumat dalam telefon bimbit anda.
“Sejumlah 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke dalam akaun bank mangsa sama ada mangsa bersetuju atau tidak, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda dan jika peminjam gagal, ah long siber akan mengupah orang untuk menampal notis ugutan, rantai pagar, dan membaling cat,” dedahnya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar pada Rabu, 14 September 2022.
Tambahnya, peminjam juga jangan sesekali bersubahat dengan 'ah long siber' dalam talian untuk menyelesaikan hutang dengan mengambil upah tampal notis ugutan, merantai pagar dan membaling cat ke rumah peminjam.
Kegiatan licik ah long itu katanya, terbongkar susulan daripada penangkapan dua orang suruhan ah long siber berkenaan yang aktif melakukan ugutan serta khianat ke atas peminjam yang gagal membayar kembali hutang mereka.
Kata beliau, pihaknya berjaya memberkas lelaki berusia 38 dan 41 tahun itu ketika mereka dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan ugutan dan khianat ke atas peminjam di sekitar Alor Setar.
“Kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan ini bermula pada Ogos (2022) lepas sehingga kini, kejadian dilakukan sekitar daerah Alor Setar, Kubang Pas dan Pendang. Kita menerima 20 laporan berkaitan kegiatan mereka.
“Suspek juga merupakan peminjam kepada ah long siber ini, kerana gagal membuat bayaran, ini kaedahnya untuk membayar balik. Ah long Siber menawarkan pekerjaan dengan upah mengikut pakej seperti RM350 untuk baling cat, RM150 (merantai pagar) dan RM50 (menampal notis ugutan). Suspek terpaksa melakukan kerja itu untuk melangsaikan hutang mereka,” katanya.
Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi melakukan khianat selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk dadah. - KitaReporters