IMPIAN golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan untuk memiliki Rumah Penerbitan Braille yang boleh dijadikan pusat sehenti bagi memberi kemudahan kepada golongan itu bakal terlaksana tidak lama lagi.

Memandangkan kos tinggi untuk merealisasikan impian tersebut, Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PBOBM) telah memulakan ‘langkah’ pertamanya mengumpul dana melalui program-program dan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan golongan OKU


Presidennya, Muhammad Huzaifah Ahmad berkata, memahami kos tinggi membuatkan pihaknya tidak meletakkan syarat utama untuk memiliki Rumah Penerbitan Braille dalam masa terdekat namun berhasrat berjaya direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Malah program sulungnya dimulakan dengan mengumpul  dana menerusi Majlis Makan Malam dan Anugerah PPOBM yang ditaja oleh Oilyicious Healthcare Sdn Bhd bertujuan memberikan inspirasi kepada golongan muda OKU Penglihatan.



Sangat membanggakan, kata Huzaifah, program julung kali yang diadakan menerusi majlis makan malam itu berjaya mengumpul dana hampir RM400,000.

“Memang tujuan kami ke arah itu untuk kegunaan pembinaan Rumah Penerbitan Braille. Selain itu dana tersebut akan diagihkan kepada program-program membantu OKU lain khususnya buta seperti pembangunan ekonomi dan untuk sukan rekreasi. 

"Saya sendiri bercadang untuk hasilkan beberapa program pembangunan berkaitan kursus pemasaran digital untuk mengajar orang buta supaya berdaya saing dalam  dunia digital hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Anugerah PPOBM yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre pada 22 Februari 2023 lalu.




Huzaifah menambah pembinaan Rumah Penerbitan  Braille itu dirancang beroperasi di Brickfield yang juga merupakan lokasi tengah bandar selain dipenuhi kemudahan asas  sekali gus mampu memudahkan golongan tersebut mendapat akses terutama dalam pengangkutan awam.

Malah, Huzaifah berkata, apabila Rumah Percetakan Braille siap nanti ia bukan sahaja diyakini memberi manfaat kepada golongan OKU penglihatan semata-mata tetapi memperluas pengetahuan berkaitan kemudahan Braille kepada masyarakat luar.



"Melalui pengalaman saya, ramai yang mahu mendapat pendedahan mengenai kemudahan Braille terutama ibu bapa yang mempunyai anak OKU penglihatan bagi memudahkan urusan mengurus anak-anak mereka.

“Sayangnya kursus atau kelas yang mengajar Braille ini terlalu terhad jadi kita akan menggunakan kebolehan yang ada dalam kalangan kami untuk memberi manfaat ini bukan sahaja kepada OKU tetapi juga terbuka  kepada pihak luar,” kongsinya yang berhasrat menjadi rumah berkenaan sebagai pusat sehenti kepada OKU penglihatan.



Pada majlis yang julung kali diadakan itu dihadiri 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli PPOBM, tetamu jemputan khas, penderma, penaja dan tetamu istimewa. 

Malah, sebanyak tujuh kategori anugerah telah disampaikan kepada penerima anugerah yang terdiri dalam kalangan OKU penglihatan.

Antaranya adalah Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2021 yang dianugerahkan kepada Che Ku Nur Ain dari Terengganu,  pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidkan Khas Setapak yang mendapat 10A walaupun hilang 70 peratus penglihatan beberapa bulan sebelum menduduki peperiksaan.



Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2021 pula dianugerahkan kepada Niki Amirul bin Zimi. Pelajar di SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas Kelantan ini memperoleh 5A dalam STPM 2021 dengan PNGK 3.92.

Lebih menarik penyanyi kumpulan  Caliph Busker yang juga dalam kategori cacat penglihatan turut diberikan penghargaan menerusi Anugerah Pencapaian Anak Seni Cemerlang yang berjaya menaikkan kedudukan penyanyi OKU yang bermula sebagai penyanyi jalanan sebelum diangkat ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-29. 

Malah tetamu turut dihidangkan beberapa lagu ‘berhantu’ daripada pasangan duet, Adira dan Hafiz Shuib.



Tahniah PPOBM semoga impian memiliki Rumah Penerbitan Braille pertama di negara ini jadi kenyataan! 

Orang ramai, individu atau pihak korporat yang berminat untuk menyumbang turut dialu-alukan dan boleh terus ke link https://Launchgood.com/ppobm. - KitaReporters


15
11
0
12
0

Copy Link: