Rob bakal tahu tinggi rendah langit FAM! Berdepan kelab tak rela lepaskan pemain sarung jersi negara!
Published byROBERT Douglas Friend (kiri) dan Craig Duncan setibanya di Wisma FAM untuk melapor diri sebagai CEO dan Pengarah Prestasi Tinggi Harimau Malaya pada 15 Januari 2025 lalu. - Kredit foto: FAM
“SAYA berasa terhormat mewakili negara saya (Kanada) hampir 15 tahun serta tahu apa ertinya mewakili negara saya. (Malaysia) ini sebuah negara yang bermaruah.
"Sebagai seorang pemain, apabila menyarung jersi pasukan negara, satu penghormatan dan pemain-pemain perlu datang sini dan menyedari satu penghormatan untuk mewakili negara.”
Inilah ulasan Robert Douglas Friend pada 15 Januari 2025 lalu setibanya bekas penyerang kebangsaan Kanada dari 2003 hingga 2011 itu untuk melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan negara, Harimau Malaya bersama-sama Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Craig Duncan dari Australia.
AGAK janggal apabila ketibaan Robert Friend dan Craig Duncan (tiga dari kanan dan kanan) hanya disambut dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram. Di mana pula Hamidin Amin selaku Presiden? - Kredit foto: FAM
Sebenarnya Friend yang akan menyambut ulang tahun
kelahirannya yang ke-44, 23 Januari 2025 ini perlu menelaah sejarah terbaharu
bagaimana ada kelab-kelab Liga Malaysia yang tidak rela melepaskan para pemain
untuk dua tugasan terbaharu negara, perlawanan antarabangsa tahap 1 menentang
India di Hyderabad dan Kejohanan ASEAN pada November dan Disember 2024 lalu.
Ada juga yang kejap melepaskan pemain, kemudian
memanggil balik demi Liga Juara AFC (walaupun ada lambakan pemain handalan
lain), Liga Super dan Piala Malaysia serta seperti tidak prihatin langsung
dengan keutamaan panggilan negara atau menghormati Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) sebagai badan induk yang mentadbir bola sepak negara.
Para pemain yang dipanggil memang kalau boleh memang meronta-ronta
mahu menyertai kem negara kendalian Pau Marti Vicente ketika itu walaupun
kedua-dua misi itu tidaklah seprestij Piala Asia atau Kelayakan Piala Dunia
serta Kejohanan ASEAN bukan dalam kalendar pertandingan Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA).
Soalnya ialah sikap dan pendirian majikan mereka atau bos kelabnya!
SEKADAR Harimau Malaya Kelas 2 pada Kejohanan ASEAN yang menggalas harapan tinggi Malaysia, hendak lepas peringkat Kumpulan A pun hampir diaibkan Timor-Leste dan Kemboja. - Kredit foto: FAM
Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Romel Morales, La’Vere Corbin-Ong dan Feroz Baharudin yang hampir sepanjang 2024 dipanggil dan berada dalam perancangan Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente dan sebelumnya, Kim Pan-gon, tidak mendapat pelepasan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.
Malah Selangor FC rela diberi muka oleh FAM hanya
kerana bukan satu kewajiban melepaskan Nooa Hamzah Laine, begitu juga Azam Azmi
Murad, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dari Terengganu FC, manakala Syamer Kutty
Abba dilepaskan oleh Penang FC seperti secara pinjaman sorong tarik.
Akibat hanya berbekalkan 'Harimau Malaya Kelas 2' ini, kita gagal mengekori Thailand (kemudiannya naib juara Kejohanan ASEAN) ke separuh akhir setelah diikat Singapura 0-0 dalam perlawanan penamat Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 20 Disember 2024 lalu selain hampir diaibkan oleh Timor-Leste dan Kemboja.
Itu belum dikira buat pasukan bawah 23 tahun jika
memanggil para pemain negara yang masih berusia begitu sebagai persediaan
berdepan Sukan SEA dan Sukan Asia yang jelas sekali bukan dalam kalendar FIFA.
Sambung Friend dalam wawancara yang dipetik daripada FAMTV it: “Apabila anda menamatkan karier anda seperti saya yang menoleh semula, itulah detik terbaik dalam hidup saya dan anda hanya mendapatnya sekali seumur hidup anda untuk mewakili negara anda. Anda perlu membawa semula maruah dan penghormatan itu untuk mewakili lencananya.”
ROBERT Friend ketika beraksi sebagai penyerang The Canucks (julukan pasukan kebangsaan Kanada).
Mungkin mantan pemain The Canucks ini juga perlu merujuk dan membuat kerja rumah dengan Pan-gon dan Pau sebelum menyahut tawaran seseorang sebagai CEO skuad negara yang seolah-olah tidak melalui proses penilaian Jawatankuasa Eksekutif FAM malah kenyataan berhubung pelantikannya bukan pula diumumkan oleh Tan Sri Hamidin Amin yang akan melepaskan jawatan Presiden persatuan secara rasmi menerusi Kongres Ke-61 di Subang, Selangor pada 15 Februari 2025 ini.
Friend yang berpengalaman menjadi CEO dan pengasas sebuah kelab Liga Perdana Kanada, Pacific FC, dilaporkan seperti penasaran kenapa pasukan belia kita (kendalian Juan Torres Garrido, rakan senegara Sepanyol dengan Pau) gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 Tahun selain mahu mencari tahu sebab Harimau Malaya di ranking ke-130 dunia sekarang.
“Sekarang (ketibaan saya) ialah fasa penemuan, kita perlu benar-benar faham sebab mengapa pasukan negara di ranking ke-130 dunia. Mengapa pasukan belia tidak layak ke Piala Asia, kemudian barulah kita membina rancangan, strategi dan mencari tahu bagaimana kita boleh membawa kejayaan jangka panjang,” kata anak jati Saskatchewan, Kanada ini.
Friend yang pernah berkelana ke kelab Norway, Moss FC dan Molde FK, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich (Jerman) serta LA Galaxy (Amerika Syarikat), akan mudah mendapat jawapan gagal layak itu daripada pengurus pasukan berkenaan, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub yang akan mengambil alih teraju FAM secara menang tanpa bertanding pada Kongres FAM itu.
JOEHARI Ayub, bekas pengurus pasukan yang bakal memimpin FAM pasti lebih arif untuk menjawab persoalan Robert Friend kenapa pasukan belia kita gagal layak ke Piala Asia B-20 menerusi kelayakan di Dushanbe pada September 2024 lalu. - Kredit foto: FAM
Pada Kelayakan Piala Asia B-20 di Dushanbe, Tajikistan dari 21 hingga 29 September 2024 lalu, skuad Torres hanya terdaya di tempat kedua corot Kumpulan E dengan lima mata setelah menewaskan Oman 2-1, mengikat Korea Utara 0-0, ditewaskan tuan rumah 1-0 dan diikat Sri Lanka 1-1.
Kata Friend lagi, “saya bukan di sini bagi kejayaan jangka pendek. Saya di sini untuk membina sebuah model jangka panjang, yang lestari dan memerlukan masa seperti membina sebuah rumah.
"Jadi kita perlukan sebuah asas terlebih dulu yang jika tanpanya, tidak akan bertahan lama. Semoga satu hari nanti melihat Malaysia dalam Piala Dunia, itulah impian saya.”
Wow! Besar sungguh impiannya sedangkan yang terbaik Harimau Malaya raih pun hanyalah layak tiga kali ke Piala Asia (1976, 1980 dan 2023/2024) serta dua kali mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 selain menjuarai Piala AFF (nama terdahulu Kejohanan ASEAN) 2010.
PERTEMBUNGAN Jiran Tambak dalam Kejohanan ASEAN 2024-2025 dengan Singapura pada 20 Disember 2024 yang berkesudahan Harimau Malaya (jersi kuning) gagal ke separuh akhir dengan sekadar bekalan lima mata. - Kredit foto: FAM
“Ada pelan jangka pendek, pertengahan dan panjang. (Yang pendeknya,) 25 Mac 2025 (Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F) menentang Nepal (di gelanggang lawan).
“Saya tahu kita sudah menghimpunkan sekumpulan tenaga bertaraf dunia. Kita ada Dr. Craig dan Peter Cklamovski yang saya fikir seorang jurulatih pasukan kebangsaan terbaik dunia (bekas penolong pengurus Australia juara Piala Asia 2015). Mereka boleh membuat perubahan yang ketara dalam jangka pendek,” ujar Friend penuh yakin. - KitaReporters
TURUT meraikan kehadiran Craig Duncan (kiri) dan Robert Friend ialah Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell juga warga Australia. - Kredit foto: FAM