Lebih 131 anak gayong Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Cawangan Semenyih, Selangor menyertai Program Majlis Istiadat Mandi Perlimau Tapak peringkat cawangan itu untuk kali ke-4, di Gelanggang Al-Mukhlisin, Surau Mukhlisin Taman Pelangi Semenyih 2, pada 22 Februari 2025,

Tujuan utama istiadat mandi perlimau tapak adalah sebagai simbolik membersihkan tubuh selain ia juga merupakan acara mendekatkan ahli dengan maksud tersirat dalam istiadat itu.


Tok Guru Azrul Affandi Sobry (kiri) membuat persediaan untuk Majlis Istiadat Mandi Perlimau Tapak.


Pengerusinya, Mohd Hasni Hassan, berkata program itu membabitkan anak gayong dari Gelanggang Al-Mukhlisin, Gelanggang Putrajaya, Gelanggang SRITI serta gelanggang luar seperti dari Lenggong, Perak termasuk dalam kalangan ibu dan bapa yang bersama-sama berikrar taat setia menjadi sebahagian anak gayong.

Menurutnya, majlis istiadat yang penuh meriah dan berjalan lancar itu dirasmi dan disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Pusat, Tok Guru Tuah Jani Dato' Abdul Majid.

Selain itu, tambahnya, majlis turut dihadiri Naib Presiden 2 PSSPGM Pusat, Tok Guru Azrul Affandi Sobry; Yang Di Pertua Negeri Selangor, Tok Guru Anuar Abd Rahman; Pengerusi Majlis Gurulatih Selangor, Guru Muhammad Firdaus Ismail; wakil Surau Mukhlisin serta ibu bapa dan penjaga anak-anak gayong.


Majlis perasmian Istiadat Mandi Perlimau Tapak sedang berlangsung.


Mohd Hasni berkata, anak gayong sentiasa diingatkan untuk terus mengamalkan budi pekerti mulia dan jangan sekali-kali terjebak dengan masalah tidak diingini kerana akan memberi gambaran buruk kepada masyarakat.

Menurutnya, walaupun memiliki kemahiran ilmu mempertahan diri mereka tidak seharusnya bermegah sebaliknya gunakanlah untuk tujuan kebaikan, di samping menunjukkan contoh baik kepada remaja bahawa silat mampu membentuk disiplin dan sikap bertanggungjawab seseorang.

“Paling penting anak gayong hendaklah menjadi anak yang menghormati dan taat kepada ibu bapa atau penjaga selain patuh kepada ajaran agama Islam serta tidak meninggalkan solat di samping ibadat lain yang selalu dipesan oleh guru.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua anak gayong khusus yang terbabit dalam istiadat mandi perlimau ini supaya terus bersemangat dan istiqamah untuk belajar serta berlatih dalam apa jua pelajaran termasuk ilmu pertahanan diri pada masa akan datang,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Sebahagian ibu bapa dan penjaga hadir pada Program Majlis Istiadat Mandi Perlimau Tapak PSSPGM peringkat Cawangan Semenyih, Selangor kali ke 4, di Gelanggang Al-Mukhlisin, Surau Mukhlisin Taman Pelangi Semenyih 2 pada 22 Februari 2025.

19
13
0
9
0

Copy Link: