Video| Umpama jejak kasih! Pertemuan yang dinantikan! Rindu terlerai! Bergson teruja jumpa Hayder!
Published by
.
BERGSON Da Silva mendokong Mohd Hayder Qhalish Muhammad Haziq pada pertemuan di Stadium Sutan Ibrahim, 24 Februari 2025 lalu.
IBARAT seorang ayah merindui anaknya yang lama terpisah! Begitulah gelagat penyerang pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Bergson Da Silva apabila ternampak kelibat Mohd Hayder Qhalish Muhammad Haziq di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 Februari, 2025 lalu.
Dia terus mendokong Hayder dan mencium pipi kanak-kanak itu berulang kali, seolah-olah melepaskan rindu yang sekian lama dipendam. Hayder sendiri kelihatan sangat gembira dapat bertemu pemain import JDT FC itu.
Hayder, 4, adalah anak sulung penjaga gol Perak FC, Muhammad Haziq Nadzli dan pasangannya, pelakon, Hazirah Qasdina Hazali atau lebih dikenali sebagai Eyra Hazali. Selain Hayder, pasangan itu mempunyai dua orang lagi anak iaitu Mohd Endra Haqimie,2 dan Mohd Hud Ezqandar, 5 bulan.
BERGSON melayan Hayder bermain bola.
Hubungan akrab antara Bergson dan Hayder terjalin semasa Haziq mewakili JDT FC sebelum berpindah ke pasukan Perak sFC ecara pinjaman pada awal musim 2024-2025.
Menurut datuk kepada Hayder, Hazali Ramli, walaupun belum berumah tangga, Bergson seorang yang sukakan kanak-kanak serta pandai melayan mereka.
“Sejak Hayder bayi lagi, Bergson rajin melayannya. Setiap kali berjumpa, dia akan mendokong, mencium dan bermain-main dengan cucu saya itu.
“Kebetulan Hyder suka bermain bola, jadi, bila jumpa di padang latihan atau di rumah, Bergson akan melayannya bermain bola.
“Saya perhatikan Bergson memiliki sifat penyayang yang tinggi terutama terhadap kanak-kanak, sebab itu Hayder pun selesa bersamanya,” katanya.
Menurut Hazali, kalau tidak berkesempatan berjumpa, Bergson akan menelefon atau membuat panggilan video untuk bertanya khabar dan berbual-bual dengan Hayder. Pemain berkenaan juga kerap memberi hadiah kepada Hayder terutama pada hari ulang tahun kelahiran kanak-kanak itu.
BERGSON tidak lupa memberi hadiah bila Hayder meraikan ulang tahun kelahiran.
Walau bagaimanapun sejak Haziq berpindah ke Perak, Bergson dan Hayder jarang bertemu. Justeru, pertemuan semasa JDT menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari, 2025 lalu itu umpama pertemuan jejak kasih antara mereka.
“Hayder sendiri terlalu ingin bertemu Bergson kerana sudah lama mereka terpisah. Dia begitu teruja melihat kelibat pemain berkenaan di padang sentiasa mulutnya tidak berhenti-henti menyebut ‘Uncle Bergson’ sepanjang permainan JDT dengan Perak itu.
“Bila dah jumpa Bergson selepas perlawanan, Hayder seolah-olah lupa pada ibu, ayahnya dan kami yang berada di grandstand.
“Saya dapat menyaksikan betapa kedua-dua insan itu saling melepaskan rindu. Walaupun sekejap namun ia amat bermakna,” kata Hazali.
Menurut Hazali, walaupun Haziq kini bukan lagi sebahagian daripada pasukan JDT FC, namun hubungan yang terbina bersama pemain-pemain pasukan itu sejak dia menyertai mereka pada 2017 kekal akrab.
“Itulah istimewanya JDT. Mereka ibarat satu keluarga,” ujar Hazali. - KitaReporters
KEAKRABAN antara Bergson dengan Hayder terjalin sejak Hayder masih bayi.