Kumpulan Cromok dan Amuk akan bergabung buat pertama kalinya.


Siapa peminat tegar satu-satunya otai rock bertopeng, Bandi Amuk di sini? Mungkin juga ada peminat kumpulan thrash metal yang menggelarkan diri mereka Cromok?

Jika meminati kedua-duanya, anda berpeluang menyaksikan buat julung kalinya gabungan dua kumpulan ternama era 80-an dan 90-an ini di atas satu pentas di venue yang baharu menjalani penambahbaikan dan dinaik taraf iaitu di N9 Arena, Nilai.

Kiranya bukan sahaja Amuk dan Cromok melakar sejarah tersendiri apabila bergabung tetapi konsert mereka ‘Kasi Gegar: Cromok vs Amuk’ juga pembuka tirai berlangsungnya sesebuah acara hiburan di N9 Arena, Nilai pada 26 April  2025 jam 9 malam kelak.

Sebelum ini ia dikenali sebagai Stadium Tertutup Nilai yang dibina khas sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-10 pada 2004 dan kini dikenali sebagai N9 Arena, Nilai. 

Pengarah Eksekutif YNS Event Management selaku penganjur, Mohd Agmee Farouke berkata, konsert ini melakar sejarah tersendiri iaitu pertama kali menggabungkan Cromok dan Amuk, serta pertama kali berlangsung di N9 Arena, Nilai. 

"Kita belum pernah melihat dua kumpulan hebat ini digandingkan dalam satu konsert besar sebelum ini. Selain itu, Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk juga adalah persembahan pertama yang diadakan di sini selepas menjalani penambahbaikan dan dinaik taraf bukan sahaja venue untuk acara-acara sukan bahkan juga sebagai venue konsert,” ujar Mohd Agmee pada majlis sidang media konsert yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 27 Januari 2025 lalu.



Menyambung kata-kata Mohd Aqmeer, vokalis Bandi Amuk atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat, 60, memberitahu, sejak dahulu lagi gandingan Amuk dengan Cromok sudah terlintas di fikirannya. 

"Peminat dah tanya benda ini dari dulu lagi. Jadi saya rasa ini satu peluang yang baik. Sebenarnya YNS Event Management mulanya hubungi saya untuk buat konsert Amuk di sini. 

"Dan saya cadangkan mengapa tidak kita buat konsert Cromok Vs Amuk. Mereka pun terus bersetuju sebab saya rasa memang dari dulu pun banyak peminat yang bertanyakan tentang ini,” cerita Bandi. 

Menurutnya, dalam album pertama Amuk, ‘Tanpa Prejudis’, ada sekitar enam atau tujuh lagu Cromok dirakam semula dalam versi Melayu. 

“Jadi peminat tentu nak tengok kolaborasi saya dengan Sam (vokalis Cromok)," ujar Bandi penuh yakin. 

Tambahnya, banyak yang sudah dirancang dengan Karl @ Anuar (pemain gitar Cromok) dan beliau bersetuju. 

"Untuk Amuk, saya mungkin akan ambil seorang lagi pemain gitar bernama Metal Bugis yang akan bergandingan dengan anggota Amuk iaitu Metal Jawa, Din Taring dan Budu Siam. 

"Saya nak dapat satu bunyi yang agak ke depan. Bukan nak berlawan dengan Cromok. Kami nak hidangkan satu benda yang orang tak boleh lupa. Nak orang nampak gandingan kami best. 

"Akan ada lagu penutup di mana saya akan menyanyi versi Melayu dan Sam versi Inggeris lagu Cromok. Ia gabungan unik. Amuk pun jarang bermain satu band," akhiri Bandi. 


Mohd Agmee Farouke (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama kumpulan Cromok (kiri) dan Kumpulan Amuk di Hard Rock Cafe baru-baru ini.


Menyambung pandangan Bandi, Karl @ Anuar berkata, Cromok tidak pernah terfikir untuk bergandingan dengan Amuk walaupun ada permintaan peminat sebelum ini. 

"Kali ini ia menjadi sebab Bandi hubungi saya. Kami setuju kerana kami dah main dengan XPDC, dengan A.C.A.B, Hillary dan Man Kidal dan kini bersama Amuk. 

"Saya rasa kolaborasi begini menarik kepada peminat. Bayangkan Sam berduet dengan Bandi dalam satu lagu. Itu yang orang nak tengok,” tambah Karl.

Mengambil kira 'Konsert Cromok vs Amuk’ adalah kumpulan artis pertama beraksi di N9 Arena selepas dibaik pulih dan dibuka, Karl berpendapat konsert ini perlu dibuat dengan hebat dan penuh gempak. 

"Kena buat bagi gempak. Untuk yang pertama kalau tak gempak, tak bestlah. Cromok ada persembahan sendiri dan Amuk juga sama. 

"Cuma yang menariknya sama ada kita akan mainkan lagu-lagu Amuk, belum dibincangkan lagi. Gandingan ini takkan berulang. Cromok takkan ulangi konsep yang sama untuk yang seterusnya," katanya lagi. 


Bandi (tengah) bersama kumpulannya Amuk.


Karl mengharapkan peminat hadir beramai-ramai kerana ada lagu Cromok yang tiada lirik, diberikan lirik di mana dia akan memainkannya. 

"Venue ini mampu memuatkan peminat dalam kapasiti besar. Dua band beraksi dengan harga tiket pun dikira murah. Kalau di KL memang susah nak dapat harga bawah RM120. 

"Harga begini boleh memberikan peluang ramai datang menonton termasuk dari Johor dan Melaka. Lokasi yang bagus dan tidak jauh dari Kuala Lumpur. Tiada masalah pun, cuma orang nak pergi atau tidak," katanya. - KitaReporters


Karl @Anuar (kanan) bersama kumpulannya, Cromok.

11
20
0
13
0

Copy Link: