Pelaburan bijak atau bazir? Rob, Peter revolusi baharu untuk Harimau Malaya! Mampukah atasi Kim, Pau?
Published byROBERT Douglas Friend diumumkan sebagai CEO Harimau Malaya tanpa penjelasan tempoh kontrak dan indeks prestasi utamanya (KPI) oleh FAM. - Kredit foto: FAM
SATU lagi langkah yang meragukan dan berisiko malah diambil dengan kesanggupan menelan kos yang bukan kepalang tingginya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sesudah
Peter Cklamovski dinobatkan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada
16 Disember 2024, badan induk kebangsaan itu mencanangkan Robert Douglas Friend
pula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan negara.
Cklamovski,
46, dan Friend, 43, datangnya dari
negara yang bukanlah antara kuasa utama bola sepak dunia pun tetapi dipertanggungjawab untuk mengangkat Harimau Malaya ke tahap yang pastinya lebih baik daripada Kim
Pan-gon (KPG) dan Pau Marti Vicente.
Jika kedua-dua pengendali Korea Selatan dan Sepanyol dari 2022 hingga 2024 itu mampu melayakkan Malaysia ke Piala Asia kali pertama sejak 1980 dan menjuarai Pestabola Merdeka, sejauh mana pula hasilnya dengan dua warga Australia dan Kanada ini?
Naikkah ranking dunia kita dari ke-132 sekarang melonjak sehingga antara 100 terbaik nanti sepanjang tempoh khidmat mereka?
Atau yang paling minimum pun Malaysia muncul juara Kejohanan ASEAN (seperti Piala AFF 2010) pun cukuplah! Kurang daripada semuanya bererti mereka gagal dan dua pelaburan yang membazir!
ROB Friend, bekas penyerang Kanada dan beberapa kelab hebat Jerman serta LA Galaxy Amerika Syarikat. - Kredit foto: CIBC
Menyorot sejarah terbaharu karier Cklamovski pun dia bukanlah begitu cemerlang dalam Liga Jepun terutama FC Tokyo (menang 15 kali dan kalah 14 kali daripada 38 perlawanan musim 2024?) malah penglibatannya dengan pasukan kebangsaan Socceroos (Australia) hanyalah sebagai penolong pengurus ketika mereka menjulang Piala Asia AFC 2015.
Friend
pula yang lebih menonjol dengan latar belakang pengurusan bola sepak Kanada
sebenarnya lebih layak ditempatkan ke Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang
menguruskan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih Sultan Ahmad
Shah dan Piala Pencabar serta Piala MFL.
Adakah
tujuan Friend dibawa masuk FAM ialah meramaikan pemain berdarah kacukan
Malaysia yang berpangkalan di luar negara atau menaturalisasikan lagi warga
asing sebagai barisan tonggak baharu Harimau Malaya?
Apakah juga sentuhannya berkesan seperti mana yang dibuat ‘Sang Garuda’ Indonesia dengan dibanjiri darah baharu Belanda dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026?
BIODATA ringkas Robert Douglas Friend dalam laman sosial FAM. - Kredit foto: FAM
Siaran media FAM pada laman sesawang dan sosialnya pada 31 Disember 2024 melaporkan, Friend yang bakal melapor diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor mulai Januari 2025, merupakan teraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi Harimau Malaya.
“Bekas
penyerang kelab Norway, Moss FC dan Molde FK, Borussia Monchengladbach, Hertha
Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich (Jerman) serta LA Galaxy (Amerika
Syarikat) ini turut mengumpul 32 penampilan bersama pasukan kebangsaan Kanada
dari 2003 hingga 2011.
“Friend,
kelahiran Rosetown, Saskatchewan, turut hadir dengan latar belakang karier
hebat pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada
Disember 2014 dengan LA Galaxy,” lapor siaran berkenaan.
Siaran
itu menambah, Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan dengan DRG
Investment Group, syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga
kini, pengasas Toca Football Canada 2017 hingga 2021 - teknologi latihan khusus
bola sepak dan berjaya mencapai peningkatan modal sehingga AS$150 juta.
“Dia juga merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan dari 2019 hingga kini.
HARIMAU Malaya dengan aksi terakhir mereka yang sekadar tempat ketiga Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024-2025 di belakang Thailand dan Singapura sekali gus gagal ke separuh akhir. - Kredit foto: FAM
“Friend
juga merupakan pengasas bersama Liga Perdana Kanada (CPL) yang berjaya meningkatkan
nilai liga profesional tersebut sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun
malah pernah menjadi CEO dan pengasas bersama Pacific FC 2019 hingga 2022 dan Presiden
dan pengasas bersama Vancouver FC 2022 hingga kini.
“Beliau menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan dan pengurusan kewangan yang meningkatkan nilai kelab terbabit,” lapor siaran itu lagi.
AKSI Rob Friend ketika menyarung jersi Kanada atau dijuluki Les Rouges (Sang Merah) menentang Peru dalam perlawanan persahabatan antarabangsa 2010. - Kredit foto: CP
FAM berharap Friend mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad utama dan Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian Nafuzi Zain pada tempoh permulaan ini.
Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap, tambah FAM. - KitaReporters
PETER CKLAMOVSKI
KIM Pan-gon (dua dari kiri) dan Pau Marti Vicente (tiga dari kanan) serta barisan penolong jurulatih dari Korea Selatan yang tidak lagi bersama Harimau Malaya selepas 31 Disember 2024. - Kredit foto: FAM