Kilauan Emas kembali! Cungkil bakat 12 peserta otai! Berusia di antara 46 tahun sehingga 68 tahun!
Published byAda bakat menyanyi tetapi rasa diri dah ‘otai’ dan menyesal kerana tidak mencuba nasib dalam mana-mana pertandingan ketika usia muda dan baru kini terbuka hati untuk kembali mengasah bakat terpendam itu?
Usah khuatir kerana ada platformnya apabila setelah hampir 7 tahun menyepi, Astro kembali menampilkan program realiti legenda, ‘Kilauan Emas 2024' yang bakal memberi peluang kepada ‘otai-otai’ daripada usia 45 tahun ke atas untuk menyerlahkan bakat menyanyi mereka bagi merebut hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Musim terbaharu ini mencungkil seramai 12 peserta menerusi sesi uji bakat yang telah dijalankan pada 3 & 4 Ogos di SACC Mall, Shah Alam, terdiri daripada warga Malaysia, dari seluruh negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu, berusia di antara 46 tahun sehingga 68 tahun, iaitu peserta paling senior pada musim ini.
Dari kiri: Joey Daud, Firdaus Mahadi selaku Penerbit Eksekutif 'Kilauan Emas', Norzeha Mohd Salleh, Erra Fazira, Hattan dan Roy Azman pada sesi sidang media.
“Istimewanya pada musim terbaharu ini, peserta-peserta ini adalah “unsung hero” dalam penceritaan mereka tersendiri dan ingin menceburi bidang nyanyian dalam peringkat yang lebih tinggi.
"Kami percaya pertandingan seumpama ini akan meletakkan perhatian terhadap generasi ini dengan menampilkan mereka sebagai individu yang masih berbakat, selain mempunyai pencapaian yang hebat dalam kehidupan,” ujar Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh pada majlis pelancaran ‘Kilauan Emas 2024’ bertempat di sebuah hotel terkemuka di Midvalley Kuala Lumpur pada 27 Ogos 2024.
‘Kilauan Emas 2024’ yang akan bersiaran langsung dari Royal Theater Shah Alam selama lapan minggu akan bermula dari 14 September 2024, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro.
Berkongsi lanjut, kata Norzeha, ‘Kilauan Emas’ dikembalikan selepas menyedari ramai rakyat Malaysia berusia 45 tahun ke atas yang berbakat di luar sana memerlukan sebuah pentas untuk menonjolkan bakat mereka,
“Oleh itu, kami berikan platform tersebut untuk mereka bersinar, selari dengan matlamat kami untuk sentiasa mencipta peluang menerusi program realiti,” tambahnya pada majlis yang turut memperkenal 12 peserta terpilih serta barisan juri yang dikekalkan iaitu Erra Fazira dan Dato’ Hattan, bersama pelawak terkenal, Roy Azman yang bakal menyerikan lagi episod-episodnya.
Menurut Norzeha seterusnya, Kilauan Emas kali ini membawakan nafas baharu dengan tema ‘Otai Kembali Berbisa’, membuka ruang dan peluang kepada otai-otaui tempatan untuk mempamerkan bakat terpendam mereka dalam bidang nyanyian.
“Bakat-bakat yang dipilih juga bukan sahaja berkebolehan dalam bidang nyanyian, namun mempunyai pencapaian dan latar belakang unik masing-masing yang memberikan pelbagai corak warna dalam konsert,” jelasnya sambil yakin pertandingan seumpama ini akan meletakkan perhatian terhadap generasi ini dengan menampilkan mereka sebagai individu yang masih berbakat, selain mempunyai pencapaian yang hebat dalam kehidupan.
Daripada seorang seniman jalanan hinggalah kepada seorang bekas anggota tentera, setiap daripada mereka mempunyai kehebatan tersendiri, dan kali ini mereka ingin menunjukkan bakat nyanyian mereka ke seluruh dunia.
“Kami berharap program Kilauan Emas akan membantu meningkatkan keyakinan dan semangat setiap peserta sekaligus memberi inspirasi dan motivasi kepada bakat-bakat tempatan otai yang lain untuk terus mengejar impian mereka,” akhiri Norzeha.
Bakal digegarkan dengan penampilan Kak Lina Pom Pom (Elly Mazlein) sebagai pengacara program utama, serta pelawak dan pelakon Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan diari Kilauan Emas, pemarkahan persembahan setiap peserta akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.
Dalam pada itu, para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.
Sementara itu, persiapan persembahan setiap peserta akan dipaparkan menerusi Diari Kilauan Emas 2024 selama 30 minit setiap jumaat bermula 13 September 2024 dan segala telatah di sebalik tabir, perbincangan, latihan di pentas utama dapat disaksikan menerusi Kapsul Kilauan Emas 2024 selama 5 minit setiap minggu dari Selasa hingga Khamis, dibawakan istimewa kepada para penonton dan peminat.
Para penonton juga boleh mengikuti perkembangan para peserta dengan lebih lanjut dengan menonton Kapsul Uji Bakat Kilauan Emas 2024 pada 27 hingga 31 Ogos, serta Profil Kilauan Emas 2024 pada 9 dan 10 September menerusi Astro.
Selain itu, Thinker Studio turut membawakan kandungan digital seperti Inspirasi Mini Kilauan Emas, Nostalgia Kilauan Emas dan juga HLive sebagai tontonan tambahan buat para penonton untuk mengimbau kembali sorotan perjalanan program Kilauan Emas musim lalu dan juga perkembangan terkini mengenai peserta musim terbaharu ini. - KitaReporters