ANDA semua, para peminat bola sepak Malaysia atau Ultras! Sudah-sudahlah galak bertemasya dengan gergasi-gergasi Liga Perdana England seperti Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Manchester United. Kini masa untuk sokongan pasukan lokal anda!!! : KitaReporters


Bersempena kedatangan Hari Kebangsaan 31 Ogos 2020 ini, buktikan kesetiaan dan sokongan padu serta semangat patriotik kepada pasukan kesayangan anda dalam Liga Malaysia (Liga M) pula. Jom kita mengundi siapa ‘Pasukan Bola Sepak Paling Popular: Malaysia’.

Malah menjelang sambungan semula aksi Liga Super dan Perdana pada 28 Ogos 2020 ini sejak tertangguh pada 16 Mac 2020 lalu kerana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jalankan tugas anda itu dengan melayari pautan: https://www.the-afc.com/news/afcsection/the-most-popular-football-clubs-malaysia

Pengundian telah bermula pada 19 Ogos 2020 dan akan ditutup pada pukul 4 petang 26 Ogos 2020 ini.

JDT FC sudah menguasai Piala AFC dan beransur-ansur mencipta nama pada ACL. - Kredit foto AFC.


Laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini menyenaraikan enam pasukan yang dihimpun berdasarkan kekerapan mereka menjulang kejuaraan tempatan, malah sejauh mana pencapaian pada peringkat benua.

Senarai terpilih ini diketuai Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak 2014, juara Piala FA 2016 dan juara bertahan Piala Malaysia serta juara Piala AFC 2015 - pasukan pertama Asia Tenggara yang mencatat sejarah kejayaan itu.

Pada penampilan sulung dalam Liga Juara Asia (ACL) - divisyen teratas kelab-kelab benua pada 2019, JDT atau Harimau Selatan mengejutkan juara bertahan, Kashima Antlers dari Jepun 1-0 di Johor Bahru walaupun akhirnya gagal melepasi peringkat kumpulan.  

SELANGOR (kiri) dan Pahang antara lima pasukan popular dan teratas Liga Super selain beraksi dalam kejohanan AFC. - Kredit foto MFL.


Selangor merupakan pasukan paling bersejarah dan cukup sinonim dengan 33 kemenangan Piala Malaysia, lima kali menjulang Piala FA malah hanya disekat Hapoel Tel Aviv (Israel) 3-1 dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab Juara Asia pertama, 1967 selain ke suku akhir Piala AFC 2006.

Gergasi Merah wujud sejak 1921 disusuli Kedah, tiga tahun kemudian yang mencipta nama sebagai juara Piala Malaysia lima kali dan Piala FA lima kali selain muncul pasukan sulung yang mencatat trebel dua musim berturut-turut, 2006-2007 dan 2007-2008.

Lang Merah turut pernah mara sejauh suku akhir Piala AFC 2008 yang menyaksikan mereka dihampakan juara kemudiannya, Al Muharraq dari Bahrain dengan agregat 7-1 selepas kalah 5-0 dan 2-1 secara timbal balik.

KAPTEN Baddrol Bakhtiar (kanan), tonggak berpengalaman Kedah dan pernah beraksi dalam Piala AFC dan Kelayakan ACL. - Kredit foto AFC.


Pahang pula merupakan juara sulung Liga Super yang diasaskan pada 2004 selain menghimpun lima gelaran itu, mengekori rekod JDT dan Selangor. Tok Gajah turut pernah menikmati Piala Malaysia empat kali dan Piala FA tiga kali termasuk secara berganda, 2014.

Tiga kali Pahang layak ke Piala AFC namun edisi 2005 dan 2007 sekadar merakamkan mereka terkandas pada saingan kumpulan sebelum mara ke suku akhir dalam penampilan ketiga, 2015 namun disekat oleh naib juara kemudiannya, FC Istiklol dari Tajikistan.

PERAK (kanan) hampir setanding Selangor dalam liga tempatan dan kejohanan AFC selain mempunyai banyak kelab penyokong. - Kredit foto MFL 


Perak seusia Selangor dan saingan Piala Malaya (kemudian Piala Malaysia). Sudah lapan kali Si Seladang menikmati trofi teragung negara itu dengan kali terakhir pada 2018. Juga juara Liga Super 2002 dan 2003 serta Piala FA dua kali. Pernah muncul dalam Kejohanan Kelab Juara Asia 1969 dan 1971 selain  ke suku akhir Piala AFC 2004.

Kelantan turut lebih glamor digelar Si Hulubalang Merah (The Red Warriors). Kini hanya dalam Liga Perdana namun koleksi sejarah kejayaannya tidak kurang hebat antaranya juara Piala Malaysia 2010, Liga Super 2011 malah membolot trebel liga, Piala FA dan Piala Malaysia, setahun kemudian.

Piala AFC 2012 menyaksikan Kelantan menjuarai Kumpulan H mengatasi lawan-lawan serantau Asia Tenggara seperti dari Indonesia, Vietnam dan Myanmar namun kelab Iraq, Erbil jelas lebih unggul secara agregat 6-2 pada suku akhir. - KitaReporters

KELANTAN cukup handal dan popular sekitar 2010 hingga 2012 namun bagaimana dalam Liga Perdana 2020? - Kredit foto MFL.

0
0
0
0
0

Copy Link: