Video| Isu remeh, jangan rosakkan mood! Rai kejayaan layak ke Piala Asia di kelab malam! - Zulakbal
Published byIsu pemain meraikan kejayaan di kelab malam kini menjadi perbincangan netizen.
PENYOKONG bola sepak negara diminta agar tidak merosakkan kegembiraan yang sedang diraikan rakyat Malaysia ekoran kejayaan skuad bola sepak kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 dengan memperbesarkan isu beberapa pemain meraikannya di kelab malam sebagaimana ditularkan melalui media sosial.
Malah, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, menganggap perkara itu terlalu remeh untuk dijadikan polemik sehingga hangat dibincangkan dalam kalangan netizen.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelayakan Piala Asia 2023
"Kita sedang bergembira dengan kejayaan Malaysia layak ke Piala Asia selepas 42 tahun gagal melakukannya, jadi janganlah kita rosakkkan mood itu dengan isu yang tak membawa sebarang faedah.
“Pada saya, soal beberapa pemain meraikan kejayaan itu di kelab malam bukan satu isu yang perlu diperbesarkan. Tak ada apa salahpun mereka berbuat begitu apatah lagi jika mereka bukan beragama Islam.
“Malah, jika pemain Islam pun, bukan satu kesalahan jika mereka tidak terbabit dengan perkara haram seperti meminum arak dan sebagainya. Tapi, bagi masyarakat kita, tempat sebegitu memang tidak manis untuk dikunjungi oleh orang Islam kerana kita memang sudah pasang dalam kepala bahawa kelab malam adalah tempat tidak elok.
“Tapi, jika yang berkunjung itu pemain bukan Islam, ia tidak perlu dijadikan isu kerana itu adalah hak mereka yang perlu kita hormati. Budaya meraikan kejayaan di kelab hiburan terutama di Eropah adalah perkara biasa.
“Di sana kelab malam ibarat kafe atau kedai kopi di tempat kita, yang menjadi tempat lepak, berjumpa kawan-kawan, melepaskan penat atau meraikan sesuatu dengan berhibur,” ujar Zulakbal.
Zulakbal menganggap pemain mempunyai hak untuk meraikan kejayaan di mana sahaja asalkan tidak melanggar disiplin dan etika.
Menerusi satu video berdurasi lapan saat yang tersebar menerusi media sosial serta WhatsApp, beberapa pemain seperti Junior Eldstal, La'Vere Corbin-Ong, Dominic Tan dan Darren Lok dilihat sedang meraikan kejayaan di sebuah kelab malam.
Namun, apa yang menjadi perhatian dan dipersoalkan netizen adalah mereka mendakwa terdapat seorang pemain beragama Islam turut kelihatan dalam video itu dan sedang memegang sesuatu dipercayai rokok.
Bagi Zulakbal, pemain sudah memberi segala-galanya kepada pasukan negara sehingga kita berjaya ke Piala Asia, justeru selepas kejayaan itu berilah mereka peluang meraikannya dengan cara mereka asalkan tidak melanggar disiplin dan etika sebagai pemain bola sepak.
“Ada pemain yang mungkin meraikan dengan mengadakan majlis kesyukuran atau mungkin ada yang bercuti bersama keluarga. Itu cara masing-masing selepas bertungkus-lumus dalam latihan serta perlawanan. Berilah mereka ruang,” katanya.
“Menularkan video itu tidak membawa apa-apa faedah kepada kemajuan bola sepak kita pun sebaliknya hanya mencemarkan imej pasukan kebangsaan. Lebih baik kita fikir dan cari jalan dari sekarang bagaimana Harimau Malaya boleh mantapkan pasukan agar mampu memberi cabaran pada Piala Asia nanti,” katanya.
Skuad Harimau Malaya meraikan kejayaan layak ke Piala Asia 2023 selepas menduduki tempat kedua Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 14 Jun, 2022. Kredit foto: FAM
Zulakbal yang merupakan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga menegaskan apa yang dilakukan oleh pemain-pemain itu tidak melanggar sebarang disiplin atau etika, kecuali jika ia dilakukan semasa mereka dalam kem latihan atau masih terbabit dengan pertandingan.
“Jika mereka curi-curi keluar malam dari asrama untuk bersuka ria di kelab hiburan atau kes pemain keluar makan sambil merokok di restoran mamak sebagaimana pernah berlaku, ia adalah salah kerana mereka terikat dengan peraturan dalam kem latihan.
“Tapi, jika mereka sudah tamat tugasan bersama pasukan kebangsaan, mereka sudah tidak terikat lagi dengan sebarang peraturan yang dikenakan sebelum ini,” kata Zulakbal.
Junior Eldstar tampil memberi penjelasan mengenai isu raikan kejayaan di kelab malam.
Sementara itu salah seorang pemain yang terpalit dengan isu itu, Junior Eldstar menjelaskan kepada portal Harimau Malaya: "Saya tahu ramai salah faham dengan video tersebut terutamanya di sini (Malaysia) yang boleh memperlihatkan tidak baik.
"Saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut mengenai video itu, tetapi terdapat pemain-pemain bukan Muslim bersama.
"Apabila sesuatu yang berlaku seperti ini iaitu berjauhan dengan keluarga dan rakan selama sebulan dan kemudian berjaya mengecapi kejayaan ia satu momen yang cukup bahagia untuk kami keluar dan meraikannya," kata Eldstar.
Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 pada perlawanan terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 14 Jun, 2022. - KitaReporters