Sambutan hebat, Cabaran Memancing Pantai DCZ akan jadi acara bulanan! Usaha kumpulkan pemancing!
Published bySAMBUTAN hangat yang diberikan oleh kaki pancing untuk Cabaran Memancing Pantai DCZ yang berlangsung pada Sabtu , 25 Jun 2022 lalu amat di luar jangkaan.
Aktiviti yang pertama kali diadakan di pesisiran Pantai Cahaya Bulan (PCB) anjuran DCZ Seaview Seafood Perdana Resort dengan kerjasama Eddie Hamid Fan’s Club (EHFC) disertai kira-kira 500 orang peserta.
Menariknya, peserta bukan sahaja penduduk Kelantan tapi ada juga pemancing dari Terengganu, Kuantan, Negeri Sembilan dan Perak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti memancing
Zulkarnain Che Osman (kanan) bersama juara memancing, Roslan Hamzah dan Eddie Hamid.
Dek sambutan yang di luar jangkaan itu, pemilik restoran DCZ, Datuk Zulkarnain Che Osman yang juga penaung EHFC, berkata, acara Cabaran Memancing Pantai DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB itu akan diadakan sebulan sekali.
Zulkarnain adalah orang yang bertanggungjawab mencetuskan idea untuk aktiviti memancing tersebut, apabila sering melihat orang ramai memancing di pesisiran pantai berdekatan restoran miliknya.
Tidak menang memancing, peserta ini menang Cabutan Bonanza, sebuah motosikal.
"Peserta untuk hari ini 500 orang dan memang di luar jangkaan kerana ini adalah kali pertama kita buat. Mungkin disebabkan hadiah yang ditawarkan agaknya, sebab juara dapat RM10,000 dan Cabutan Bonanza yang ditawarkan adalah sebuah motosikal dan itu mungkin menjadi tarikan. Lagipun di kawasan PCB ni pun dah ramai pemancing.
"Idea untuk buat cabaran memancing ini sebab saya tertarik melihat ramai pemancing setiap pagi di pantai, itu yang terlintas untuk buat pertandingan memancing.
"Saya cadangkan kepada Eddie Hamid dan M. Rozie, maka jadilah pertandingan memancing seperti hari ini,” katanya ketika ditemui selepas acara memancing.
Penganjuran memancing turut mendapat kerjasama daripada Kelab Memancing Kelantan.
Zulkarnain yang memang gemar memancing itu gembira kerana selain penduduk tempatan, kaki pancing dari luar Kelantan juga turut serta apabila mengetahui berita tersebut melalui media sosial.
“Insya-Allah,
melihat sambutan baik daripada kaki pancing, kita akan buat setiap bulan. Bab
hadiah tak perlu risau kerana kita ada sponsor-sponsor daripada syarikat lain
juga untuk memberi sumbangan.
“Selain itu, saya juga mendapat kerjasama daripada Kelab Memancing Kelantan kerana mereka lebih berpengalaman dan difahamkan ada lebih 200 ahli Kelab Memancing Kelantan.
“Walaupun, program ini akan dijadikan acara bulanan, biasanya kalau kat Kelantan ni kita boleh buat aktiviti memancing sebelum Oktober kerana bulan berikutnya laut mula bergelora,” katanya.
Selepas ini aktiviti cabaran memancing akan diadakan setiap bulan di tempat yang sama.
Tambah
Zulkarnian, objektif penganjuran aktiviti memancing adalah untuk kumpulkan
pemancing-pemancing dan merapatkan silaturahim sesama insan.
“Bila kita buat acara begini pada hari cuti, ramai orang akan datang dan bukan peserta saja tapi juga keluarga mereka. Secara tak langsung dapat mengenali antara satu sama lain. Macam kita tengok tadi happy semua,” jelasnya tentang maksud di sebalik penganjuran tersebut.
Pemenang memancing mendapat hadiah wang tunai, sementara cabutan bonanza pula menawarkan motosikal.
Tatkala ditanya tentang bayaran yang ditetapkan iaitu RM80 untuk satu penyertaan, Zulkarnain berkata, harga tersebut adalah biasa untuk mana-mana acara memancing.
“Bayaran pendaftaran sebanyak RM80 adalah standard. Selalunya bayaran di dalam RM80 hingga RM120 kerana ia bergantung kepada tengok jumlah hadiah utama.
“Lagipun kelab memancing dah ada harganya tersendiri. Mereka yang tetapkan harga tu. Kalau ada hadiah bernilai RM20,000, mereka yang akan beritahu berapa yuran yang patut dikenakan.
“Pertandingan memancing ini pun permintaan daripada kelab memancing juga. Saya pun happy tengok peserta gembira dapat sertai pertandingan memancing begini,” katanya yang menjadikan pertandingan memancing tersebut sebagai salah satu promosi untuk orang ramai datang ke resort berkenaan.
Pagi memancing, malam disajikan dengan persembahan daripada Kumpulan Dikir, Telaga Bata, Tumpat, Kelantan.
Jelasnya, Restoran DCZ Seaview Seafood yang beroperasi di Perdana Resort itu, baru dua bulan beroperasi kerana sebelum ini resort tersebut ditutup.
“Saya pun baru dua bulan buka restoran di sini sebab sebelum ini resort ditutup lama. Kita beroperasi balik dan untuk menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa resort ni dah buka balik. Untuk menarik perhatian orang ramai kita kena buat pelbagai promosi.
“Selain promosi menerusi media sosial, penganjuran memancing juga salah satu cara untuk memberitahu orang ramai bahawa resort ini akan mula beroperasi untuk bilik penginapan sebanyak 40 bilik selepas Aidiladha ini.
Pada acara yang sama juga, sumbangan diberikan oleh pihak penaja kepada golongan ibu tunggal, anak-anak yatim dan warga emas.
“Bila restoran dah dibuka sekarang, sesiapa pun boleh datang makan kat sini. Walaupun di sini adalah resort tapi harga makanan di sini macam di restoran biasa di luar sana.
“Macam semalam dan malam ini kita ada persembahan dikir barat. Bila orang ramai datang tengok dikir barat secara tak langsung mereka tahu di sini ada restoran yang memulakan perniagaan pada pukul 3 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.
Selain menikmati makanan enak di Seaview Seafood Perdana Resort, pelanggan juga akan dihiburkan dengan dendangan lagu daripada Roy Kapilla dan Shaq Mentor setiap malam kecuali Khamis, bermula selepas isyak hingga 12 tengah malam.
Eddie Hamid menghiburkan hadirin
Sementara itu, juara memancing Roslan Hamzah, 37, dari Jerteh yang berhasil mendapat ikan pari seberat enam kilo lebih itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.
“Saya memang suka memancing dan kerap menyertai pertandingan memancing dan selalu juga menang. Untuk hari ini pada pukul 12.30 tengah hari baru saya dapat ikan.
“Umpan yang saya gunakan adalah udang hidup sebab tarikannya kuat terhadap ikan berbanding umpan lain. Wang kemenangan ini akan saya berikan kepada isteri,” katanya yang banyak berdoa sebelum mula memancing. - KitaReporters
Man Khan (kiri) dan Aris Kapilla, antara penyanyi terkenal di Kelantan turut menghibur penonton yang hadir.