SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bertitah supaya pemimpin dan rakyat mengambil pengajaran daripada kisah pahlawan Mat Kilau yang filemnya sedang 'meletup' sekarang untuk mempertahankan tamadun negara bangsa daripada runtuh jika semangat perpaduan dan pegangan agama Islam longgar.

Baginda bertitah semua bangsa khususnya orang Melayu bahawa kekuatan bangsa adalah keutuhan sesebuah negara dan seandainya renggangnya sikap bersatu padu dan bekerjasama, boleh mengancam bukan saja kestabilan politik negara malah keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum turut terjejas.


Lagi


Baginda Sultan dan Tengku Permaisuri ketika menerima mengadap Fattah Amin dan isterinya, Fazura. - Kredit gambar: FB Selangor Royal Office.


"Beta memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin parti politik dan perbalahan orang Melayu serta pemimpinnya yang begitu ketara sekarang

"Jika tidak dibendung segera akan ada pihak-pihak luar yang sentiasa menunggu peluang kembali 'menjajah' (menguasai) kita," titahnya dalam satu kenyataan yang diedarkan oleh Istana Selangor pada 4 Julai 2022.

Baginda Sultan bertitah sedemikian selepas menonton filem Mat Kilau oleh pengarah muda, Syamsul Yusof yang kini muncul sebagai filem pecah panggung. Kutipan tiket tayangan kini mencecah kutipan RM47 juta dalam tempoh 1 hari tayangan

Antara pelakon utamanya ialah Fattah Amin yang diterima mengadap ke baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. Turut sama dalam pertemuan itu, isteri Fattah, Fazura.




Baginda bertitah lagi, jika dihayati dailog dalam filem itu menyampaikan pesanan yang bertepatan, iaitu kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun adalah berbentengkan semangat perpaduan dan pegangan teguh pada agama Islam.

"Beta tidak berhasrat untuk masuk campur dalam politik dan pentadbiran negara. Tapi beta rasa bertanggungjawab menasihati dan memberi pandangan bagi membetulkan keadaan. Beta mahu supaya dihentikan segera perpecahan bangsa Melayu dan kalangan pemimpinnya.

"Ia penting sebagai jaminan kepentingan masyarakat Melayu dipelihara tanpa mengetepikan hak dan kepentingan bukan Melayu," titah baginda yang turut menggalakkan orang Melayu tidak melepaskan peluang menonton filem itu sebagai satu pengajaran dan tauladan.

Sultan Sharafuddin bertitah mengingatkan semua pihak, pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada kepimpinan yang stabil. Andai kata pemimpin Melayu gagal melaksanakan amanah dan gagal menunjukkan teladan kepimpinan  yang  baik akan membuatkan bangsa lain hilang rasa hormat.

"Sekali gus mereka tidak akan memberi sokongan padu kepada pemerintahan orang Melayu. Di samping mengamalkan sikap kepimpinan baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin Melayu juga harus bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan dan keselesaan rakyat berterusan." katanya.

Baginda turut sedar berlakunya fitnah-menfitnah yang berleluasa dan bertebaran yang diragui kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi individu yang boleh mengugat keharmonian antara kaum. 



"Semua pengkhianatan serta rasa benci yang diuar-uarkan secara terbuka ini seolah-olah satu budaya. Kita harus sedar perbuatan fitnah ini dosa besar dan mendatangkan kemurkaan daripada Allah SWT. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya berdamai, bersatu padu dan melarang perpecahan serta bermusuhan. " titah baginda lagi.

Sehubungan itu, Sultan Selangor kembali mengajak semua pemimpin politik dan rakyat mengamalkan kebaikan dan memekarkan budaya sihat, berpandukan sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai matlamat aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

"Mari kita sama-sama membina negara dan masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat. Semoga Allah SWT memelihara negara dan kita semua," demikian titah baginda lagi. - KitaReporters


Fazura dan Fattah telah berpeluang menghadiri majlis sambutan harijadi peribadi ke- DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Tema majlis ialah Bollywood yang sangat meriah

6
12
0
16
0

Copy Link: