Keputusan undian semula: 47-46! Majoriti 1 undi, rosak 1 undi! Norismadi Presiden baharu SAM!
Published byEXCO baharu SAM pimpinan Norismadi Abd. Manap (empat dari kanan) bersedia menggalas amanah dan tanggungjawab para ahli bagi penggal 2020 (2021)-2023. - Kredit foto SAM.
MEROMBAK dan menyusun semula perlembagaan menjadi langkah pertama yang akan dilakukan oleh Norismadi Abd. Manap sebaik sahaja dipilih dengan majoriti tipis satu undi sebagai Presiden baharu Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).
Ikrar anak jati Bentong, Pahang ini selepas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif SAM bagi penggal 2020 (2021)-2023 itu: “Ahli-ahli SAM telah membawa usul untuk mengkaji semula perlembagaan persatuan sejak penubuhannya pada 21 Februari 1969.
“Justeru dengan mandat yang diberi ini, sudah sampai masanya untuk kami barisan Exco baharu menunaikan hasrat mereka,” kata Penolong Pengarah Media Digital Interaktif Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan SAM
JASNI Shafie (kiri) dan Norismadi Abd. Manap. - Kredit foto SAM.
Beliau menewaskan penyandang, Datuk Jasni Shafie daripada Northern Corridor Promotion (NCP), 47 berbalas 46 undi di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin, 12 April 2021.
Satu undi rosak turut diterima daripada sebanyak 94 pengundi kalangan ahli SAM yang kembali tampil untuk menjalankan tanggungjawab mereka berbanding 106 ahli SAM yang layak namun 12 daripadanya tidak hadir.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Jasni yang banyak bekerja keras sepanjang penggal khidmatnya selaku Presiden untuk memastikan keteguhan SAM. Bersama Exco baharu ini, saya berjanji untuk memastikan kesinambungannya,” katanya.
Jasni yang juga pengulas sambilan RTM, menerajui SAM sejak 9 Jun 2018 dengan kemenangan tanpa bertanding bagi penggal 2018-2020 apabila Ahmad Khawari Isa daripada Astro Arena, menolak pencalonan semula selepas memimpin selama lima penggal berturut-turut.
Norismadi, 42, bermula sebagai ahli biasa pada 2008 seterusnya Ahli Exco sejak 2012 dan melonjak sebagai Naib Presiden SAM mulai 2012.
Dia merupakan Presiden SAM yang ke-12 malah mencatat satu sejarah selaku wakil RTM pertama yang berjaya menerajuinya apatah lagi memenanginya menerusi dua proses pengundian yang cukup sengit - juga satu lagi sejarah bagi persatuan ini.
Selain Jasni, Presiden-presiden terdahulu terdiri daripada Norman Siebel (1969), Datuk Rahim Razali (1969), GS Kler (1978), Zainuddin Bendahara (1980), Datuk Fauzi Omar (1990), Zainuddin Bendahara (1998), Shaukei Kahar (2000), Mustakim Aminuddin (2002), Abu Bakar Atan (2004), Khawari (2009).
AJITPAL Singh Dhaliwal (tengah) muncul Ahli Exco baharu SAM dengan penarikan diri seorang lagi pencabar jawatan itu. - Kredit foto SAM.
Pemilihan semula ini terpaksa dijalankan setelah mesyuarat agung tritahunan di Kelana Jaya, Selangor pada 3 April 2021 lalu menyaksikan kedua-dua calon kerusi No. 1 itu berkeputusan seri 51 undi, manakala satu kerusi Exco terikat 57 undi.
Penarikan diri saat akhir Vikneswaran Raman (Bernama) daripada persaingan ulangan, membolehkan Ajitpal Singh Dhaliwal (New Straits Times - NST) menang percuma dan melengkapkan kuota lima kerusi Exco SAM.
Terdapat seorang pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang turut hadir sebagai pemantau bebas, manakala pengulas terkenal Astro Arena, Zainal Abidin Rawop dilantik selaku Ketua Pengira Undi, sekali gus mengumumkan keputusannya secara rasmi. - KitaReporters
JAWATANKUASA EKSEKUTIF (EXCO) SAM 2020 (2021)-2023:
Presiden: Norismadi Abd. Manap (RTM)
Timbalan Presiden: Ahmed Faisal Jamal (RTM)
Naib Presiden: Mohd. Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena).
Setiausaha Agung: Asan Ahmad (hubmedia)
Bendahari: Azhari Mohd. Yusop (Sports Images Malaysia)
Ahli Exco: Zuriati Zulmi (Bernama), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247), Mohammad Rozaidi Zulkifli (Utusan Malaysia) dan Ajitpal Singh Dhaliwal (NST).
MENGADAKAN perlawanan bola sepak persahabatan menentang pasukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (berdiri, lapan dari kanan) antara agenda menarik ahli-ahli SAM. - Kredit foto SAM.
ANTARA bekas Presiden SAM yang lain, Fauzi Omar (dua dari kiri), Rahim Razali (tiga dari kanan), Abu Bakar Atan (kanan) dan Ahmad Khawari Isa (empat dari kanan) serta Mustakim Aminuddin (lima dari kiri). - Kredit foto SAM.