Berita Terkini| Dr Amalina selamat disatukan! Dengan jejaka Inggeris di Masjid Pusat London
Published byDr Amalina Che Bakri sah menjadi isteri pengarah syarikat perisian, Alexander Charles di Masjid Central London,31 Mac 2021. Kredit Foto Instagram @dramalinabakri
PAKAR bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri selamat disatukan dengan kekasih hatinya jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Pusat London, Rabu 31 Mac 2021 lalu.
Pengumuman mengenai hari bahagia itu dikongsikan sendiri
oleh bekas pelajar pintar menerusi Instagram miliknya beberapa jam lalu pada Sabtu 3 April 2021.
Doktor muda itu menzahirkan rasa syukur dapat disatukan dan bergelar isteri selepas terpaksa menangguhkan perkahwinan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di London.
"Alhamdulillah, majlis pernikahan kami selesai
diadakan di Masjid Pusat London pada 31 Mac 2021 lalu. Meskipun tiga kali
tertangguh berikutan perintah kawalan pergerakan, kami lega apabila berjaya
mengadakan majlis ringkas dengan dihadiri teman rapat dan anggota keluarga.
Hanya enam tetamu dibenarkan mengikut peraturan ditetapkan,” kongsinya.
Sementara itu, memetik laporan New Straits Times, Dr
Amalina meluahkan perasan sedih apabila ibunya, Sabariah Hassan yang kini
berada di tanah air tidak dapat hadir menyaksikan hari bahagianya kerana syarat
ketat untuk ke luar negara.
Menurut Dr Amalina perancangan asalnya mahu mengadakan
majlis di Malaysia pada Mac 2021 lalu, manakala resepsi di London pula pada Jun 2021. Namun, terpaksa menunda majlis resepsi ke satu tarikh lain bagi memastikan
ramai tetamu dapat hadir.
"Kami tidak sabar meraikan hari yang cukup
istimewa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan," tulisnya.
Dr. Amalina dan suaminya, seorang pengarah syarikat perisian bertunang Ogos 2020 lalu selepas berkenalan dan jatuh cinta dalam satu majlis sekitar 2019. - KitaReporters