MAT Over, seorang pelakon serta pelawak yang tersohor dari Pantai Timur mengakui dia tetap merindukan dunia lakonannya malah menganggap pentas hiburan adalah sebahagian kehidupannya. Namun sehingga kini, pelakon itu menyepi diri dan tidak muncul di kaca television sejak tahun lalu selepas kali terakhir dia berlakon dalam drama bersiri Rindu Yang Terlarang. : KitaReporters


MAT Over (tengah) menerima bantuan makanan di bawah program FINAS Prihatin 2.0 daripada Zakaria Abdul Hamid (dua dari Kanan) di Klang, Selangor, baru-baru ini. - Kredit Foto: FINAS


Lagi kisah-kisah berkaitan pelawak:

https://kitareporters.com/search?search=pelawak


 Beliau yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata, selepas itu dia tidak menerima apa-apa tawaran berlakon daripada penerbit drama kecuali dia menerima jemputan program-program lain.


MAT OVER (SULAIMAN MAT YASIN)


``Kalaulah ada tawaran yang sesuai dengan watak saya ini, saya sudi menerimanya kerana dunia seni sudah sebati dalam kehidupan saya sejak 1990 lagi. 

``Sungguh pun begitu, saya memahami dengan situasi sekarang Covid-19 yang sedang melanda negara kita kemungkinan penerbit drama berkurangan menerbitkan drama mereka dan Insya-Allah selepas itu saya harap ada rezeki untuk saya,’’ katanya yang nama asalnya, Sulaiman Mat Yasin, di Klang, Selangor pada 13 November 2020.


MAT Over (tengah) ketika bersama program Sambutan Bulan Kemerdekaan 2019


Mat Over yang juga pernah berlakon drama Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata demikian ketika ditemui pada Program Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Prihatin 2.0 yang dihadiri Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid.

Dalam kunjungan tersebut, Zakaria memberi bantuan makanan dan sedikit wang kepada Mat Over selain di program yang sama itu, FINAS turut memberi sumbangan kepada empat pelakon lain iaitu pelawak Wazata Zain di Rawang; pelakon Rames Thanapal di Shah Alam; penulis skrip, Sharbani Yusof di Puncak Alam; dan pelakon Salman JKK di Batu Caves. 

Zakaria berkata program Prihatin 2.0 itu akan membabitkan 50 penggiat seni veteran dan setiap seorang akan mendapat bantuan makanan serta wang tunai untuk menampung perbelanjaan mereka. 

``Dengan bantuan seperti itu, FINAS juga tidak meminggirkan nasib golongan penggiat seni veteran kerana kita tidak pernah lupa  jasa mereka dalam industri hiburan  di negara kita,’’ ujarnya. 



Sementara itu, Mat Over pula memberitahu kunjungan pengerusi FINAS itu amat bermakna buatnya kerana pihaknya masih cakna terhadap pelawak serta pelakon yang sudah berumur sepertinya. 

``Saya amat terharu dengan sumbangan ini walaupun tidak besar tetapi ia tetap bermakna buat saya kerana pemberian itu sebagai tanda FINAS sentiasa menghargai artis veteran yang sebaya dengan saya,’’ katanya yang berumur 68 tahun. 

Selain pelakon, pelawak serta penghibur Mat Over juga seorang penyanyi tradisional terutama lagu loghat Terengganu yang sentiasa diminati oleh peminatnya di negeri itu disamping beliau juga sering berduet dengan artis Noraniza Idris. - KitaReporters

0
3
0
0
0

Copy Link: