Berkelah, motorcross, naik gunung? Semua ada di Ulu Cheka!!
Published byKAMPUNG Ulu Cheka, yang terletak sejauh 30 km dari bandar Jerantut telah dianggap sebagai kawasan pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan lanjut. Apa tidaknya walaupun sekali imbas ianya hanyalah sebuah kampung biasa-biasa, namun dalam persekitaran kampung ini rupa-rupa nya terdapat beberapa tempat yang wajib dikunjungi oleh para pengunjung. : KitaReporters
Di kawasan perkampungan tradisional ini, ada beberapa sungai yang berjeram, berlata, serta merupakan sumber air yang penting untuk wujudnya, air terjun, tapak perkhemahan, juga tempat "base camp" untuk pencinta alam semula jadi bahkan juga sebagai permulaan untuk mendaki Gunung Benum, dengan ketinggian 2,107 meter (6,913 kaki) dari aras laut.
Adalah merupakan suatu keseronokan dan pengalaman yang indah kepada para pengunjung bila mereka menikmati kesejukan semula jadi air sungai yang di antara enam hingga 10 selsius, sejernih kristal, di sungai mana pun di kawasan ini.
Dikhabarkan, Gunung Benum, gunung kedua tertinggi di Negeri Pahang selepas Gunung Tahan juga gunung ke sepuluh tertinggi di Semanjung Malaysia, terletak di dalam Mukim Ulu Cheka sebagai sebahagian daripada sempadan tiga buah daerah iaitu Jerantut, Temerloh dan Raub.
Seorang pendaki memberitahu, kalau mahu mendaki gunung ini sampai ke puncak, hendaklah seseorang pendaki itu mengandar atau membawa naik sekurang kurang 10 liter air bersih untuk kegunaan sebagai air minum dan masak memasak.
Ini disebabkan oleh ketiadaan sumber air semula jadi seperti sungai atau anak sungai, atau alur sungai di sepanjang pendakian.
Apa pun, itulah cabaran getir yang perlu dihadapi pendaki yang akan mengharungi atau meredah hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan hutan Ericaceous atau hutan gunung sebelum tiba di puncak.
NAZRI HUSIN
Semasa berbual dengan orang tempatan di Kampung Ulu Cheka ini, mereka akan menyebut nama Pawang Nong (1874-1977) atau nama penuh beliau Haji Nong bin Santan - seorang pahlawan tempatan yang membuka atau meneroka dan memajukan kawasan ini.
Menurut, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kampung (JKK), Kampung Ulu Cheka, Nazri Husin, nama Pawang Nong telah diabadikan di sebuah sekolah kebangaan, Sekolah Kebangsaan Pawang Nong dan sebuah galeri di kampung ini.
Di samping, pusara Allahyarham berada dalam pekarangan Masjid Ulu Cheka.
Nama Allahyarham adalah sebaris dengan nama-nama tersohor dalam sejarah tanah air, seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Ahmad Kotot, Mat Salleh, Khairuddin Mohd Kawi dan Dato Maharaja Lela.
PAWANG NONG atau Haji Nong Santan (1874-1977)
Kampung Ulu Cheka juga terkenal dengan kawasan "family outings" seperti di Lata Lang, Lata Sungai Rengat, tapak perlumbaan "motorcross", juga dusun durian yang telah dikomersialkan oleh penduduk tempatan dengan menyediakan "homestay" atau rumah penginapan untuk pencinta alam semula jadi, di samping menikmati buah buahan di kawasan dusun mereka.
"Homestay" yang kita kenali adalah sebagai alternatif penginapan di samping hotel, resort dan "chalet" adalah usaha kreativiti orang kampung yang tidak mahu membiarkan rumah tinggalan mereka tidak berpenghuni atau keluasan tanah milik mereka, tidak diusahakan, lalu dibinakan rumah untuk di sewakan..
ISHAK BIDIN
Di "homestay" pesara renjer pejabat hutan, Ishak Bidin, 62, dia menyediakan sebuah rumah kayu tradisional dalam dusun durian, dikelilingi oleh kolam ikan air tawar.
Seronoknya, penginap dibenarkan menjamu selera, menikmati kelazatan durian kampung dalam dusunnya juga ikan lampam dan tilapia yang diternak dalam kolam dengan sumber air nya adalah dari kawasan perbukitan.
Sementara di Lata Lang, ada lebih daripada dua buah rumah untuk diinap sekiranya pengunjung tak cukup puas dengan nikmat bermandi manda di Lata Lang, dan bermalam di situ.
RAZALI ISA
Manakala ketua kampung Kampung Koi, Razali Isa berkata di lata Sungai Rengat, hanya dengan kenderaan pacuan empat roda yang membolehkan pengunjung sampai di kawasan ini untuk bermalam di tepi sungai yang penuh dengan batu batu sungai.
Bagaimanapun penduduk sekitar ada menyediakan kenderaan pacuan empat roda untuk membantu dengan mengenakan sedikit bayaran.
Di kawasan litar "motorcross" dalam Ulu Cheka ini, akan dikerumuni orang kampung apabila adanya pertandingan atau perlumbaan anjuran penduduk tempatan, selalunya pada setiap hujung minggu manakala pada hari-hari, ianya merupakan tempat untuk latihan ber"motorcross". - KitaReporters