PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas kelewatan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bencana dan penyelamatan untuk tampil membantu mangsa-mangsa banjir sejak 18 Disember 2021.

Dalam siaran media 21 Disember 2021, PPIM turut menganggap kelewatan tersebut menyebabkan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun mengambil alih dengan membantu secara besar-besaran dan segera.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PPIM


Sukarelawan PPIM, ATMS dan NGO lain bergambar sebelum berlepas ke Shah Alam untuk menyampaikan bantuan barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir.


“Kerajaan sewajarnya sudah siap sedia dengan Pelan Pemulihan Bencana Negara sebaik sahaja bencana banjir besar berlaku empat hari lalu hampir di seluruh negara.

“Tindakan menyelamat yang terlalu lambat menyebabkan banyak NGO di seluruh negara turun membantu secara besar-besaran.

“Jika Pelan Pemulihan Bencana Negara tersedia lebih awal, banyak kesulitan dan kesengsaraan mangsa-mangsa banjir dapat diatasi secepat mungkin,” lapor siaran berkenaan.

Banjir tahun 2021 ini kata PPIM, akan memberi kesan yang lebih buruk kepada mangsa-mangsa apatah lagi berlaku dalam era pandemik Covid-19 yang turut ditambah dengan kemuculan varian baharu, Omnicron.


Sukarelawan ATMS menunjukkan sebahagian barang keperluan harian untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Shah Alam.


“Rakyat Malaysia memang sudah lazim dengan banjir setiap hujung tahun malah akan melanda lebih buruk dari tahun-tahun sebelumnya. 

"Pelan Pemulihan Bencana Negara menurut PPIM, harus dijelaskan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, orang ramai, NGO-NGO dan para mangsa supaya segala bentuk tindakan dapat diselaraskan. 

“Lazimnya, perancangan pemulihan bencana melibatkan analisis proses mengikut keperluan. 

“Sebelum menjana pelan terperinci, kerajaan mesti melakukan analisis impak dan analisis risiko selain menetapkan objektif pemulihan,” lapor siaran itu lagi.


NADZIM Johan (tengah) bercakap kepada media di pekarangan ibu pejabat PPIM, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.


PPIM selain itu menyifatkan peruntukan dana berhubung pemulihan dan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana itu sebagai terlalu kecil.

“Selain kehilangan nyawa, kerosakan dan kerugian harta benda seperti rumah yang lenyap dihanyut banjir atau korban ternakan dan kemusnahan tanaman, dijangka mencecah berbilion RM.

“Sedangkan dana pemulihannya cuma RM100 juta dan pemberian awal RM1,000 adalah terlalu kecil untuk memulihkan kediaman mahupun perniagaan.

“Mangsa-mangsa banjir di seluruh negara mungkin mencecah 62,000 orang dan untuk membersihkan, membaik pulih dan membina semula kediaman dan kerugian perniagaan memerlukan dana yang lebih besar sekurang-kurangnya RM1 bilion,” tegas PPIM.


Muhd Arashid Ramli (dua dari kiri) dan Nadzim Johan (dua dari kanan) menampal pelekat PPIM pada pacuan empat roda ATMS sebagai gimik penghantaran bantuan kepada mangsa banjir.


Sementara itu, PPIM bersama dua lagi NGO iaitu Persatuan Amal Santuni Kasih Kuala Lumpur dan Selangor serta Adventure Touring Motorsports (ATMS) melancarkan misi murni kemanusiaan buat mangsa-mangsa banjir di Shah Alam dari ibu pejabat PPIM, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 21 Disember 2021.

Majlis pelepasan konvoi bantuan NGO ini dilakukan oleh Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra digelar Toqqi.

Lebih 200 kotak barang keperluan seperti makanan dan minuman, lampin pakai buang, alat-alat mencuci dan membersih, kelengkapan rumah dan pakaian yang dianggarkan bernilai antara RM30,000 hingga RM50,000 dibawa mereka bersama tiga bot dalam penghantaran tersebut.

“Kami berkumpul dan berlepas dari Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk membantu dengan 40 pacuan empat roda dan antara 60 hingga 80 kru sukarelawan. Kami harap bekalan ini dapat menampung keperluan kelangsungan hidup mereka dalam seminggu dua ini.

“Kebanyakannya datang dari Pulau Pinang dan selebihnya dari Kedah dan Perak. Jumlah kru sukarelawan kami bertambah apabila ada yang menyertai misi bantuan ini pada saat-saat akhir,” kata ketua delegasi ATMS, Muhd. Arashid Ramli. - KitaReporters


 NADZIM (dua dari kanan) memegang antara barang-barang sumbangan NGO bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Shah Alam.


 

 

 

 

 

13
16
0
9
0

Copy Link: