Indonesia ternyata gagal memberi tentangan kepada UAE apabila kalah 0-5.  - Kredit foto: Facebook rasmi PSSI.


Belum reda isu sepakan penalti diberikan oleh pengadil Jepun, Ryuji Sato kepada Vietnam ketika mengalahkan Malaysia 2-1 pada Jumaat, 11 Jun, 2021 (Sabtu, 12 Jun, 2021 waktu Malaysia) lalu, pertandingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G di Dubai dilanda satu lagi kontoversi, kali ini membabitkan perlawanan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Indonesia pada malam sama.

Insiden tersalah putar lagu kebangsaan Indonesia dengan lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ mengundang rasa tidak puas hati rakyat republik itu terhadap pihak penganjur dengan masing-masing meluahkan kekecewaan dalam media sosial sebaik sahaja video kejadian itu ditularkan pada 12 Jun 2021.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak


Pihak penganjur tersilap memainkan lagu Negaraku ketika perlawanan Indonesia menentang UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Kelayakan Piala Dunia 2022 / 2023, Jumaat, 11 Jun, 2021. - Kredit video: Twitter Hobi Balbalan.


Ketika pemain Indonesia sudah berdiri megah serta bersemangat untuk sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan mereka, 'Indonesia Raya', mereka dikejutkan apabila yang berkumandang adalah lagu 'Negaraku'.

Amat jelas ekspresi pemain-pemain Indonesia ketika itu bertukar kehairanan dan kesal sambil penolong jurulatih, Choi In-Cheoul yang berdiri di tepi padang cuba menenangkan pemain-pemainnya.

Walaupun kesilapan cepat disedari penganjur yang kemudian segera memainkan lagu kebangsaan Indonesia namun ‘kerosakan sudah berlaku’ yang mana sukar dimaafkan oleh rakyat Indonesia.




Malah, ada antara mereka yang menuduh tuan rumah, UAE,  sengaja melakukan kesilapan itu sebagai taktik kotor untuk melemahkan semangat pemain Indonesia sebelum masuk berjuang.

“Perang mental. Dari awal udah kena mental Timnas kita,” tulis Wahir-jr10.

“Psy war (perang psikologi) kah?” tulis kelvinhamad1187.

“Ternyata gak cuma bendera yg sering salah, lagu kebangsaan punbisa ketukar,” tulis sholehfirmino.

Ia mungkin sekadar kata-kata untuk melepaskan marah atau kecewa kerana hakikatnya tanpa perlu melakukan perang psikologi sebagaimana didakwa, penyokong Indonesia sudah sedia memaklumi pasukan mereka tidak mampu memberi saingan kepada UAE.

Terbukti, apabila wisel penamat ditiup pengadil, papan score menunjukkan keputusan UAE 5 Indonesia 0.


Insiden tersalah memainkan lagu kebangsaan pernah berlaku dalam perlawanan antara Korea Selatan dengan Jordan semasa Indonesia menjadi tuan rumah Piala Asia Bawah 19 Tahun pada 2018. - Kredit video: Media sosial.


Malah, rakyat Indonesia tidak seharusnya marah dengan kesilapan itu jika mereka mengenang kembali insiden serupa ketika negara itu menjadi tuan rumah Piala Asia Bawah 19 Tahun pada 2018, tepatnya ketika pasukan Korea Selatan menentang Jordan.

Pada perlawanan di Stadium Patriot Chandrabhaga pada Oktober 2018 itu, pihak penganjur tersilap memainkan lagu kebangsaan negara Korea Utara ‘Aegukka’ pada ketika pemain Korea Selatan sudah bersedia untuk sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan mereka, ‘Aegukga’.

Kesilapan itu mengundang kemarahan Korea Selatan sehingga mereka membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).

Kemarahan itu jelas bukan tanpa sebab. Bukan rahsia umum, Korea Selatan dan Korea Utara masih tidak dapat duduk semeja sejak terlibat Perang Korea pada 1950 walaupun menandatangani gencatan senjata pada 1953. - KitaReporters.


UAE mudah mengalahkan Indonesia 5-0 pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, pada 11 Jun, 2021 lalu.  - Kredit foto: Facebook rasmi PSSI.

0
0
0
0
0

Copy Link: