Rita Sosilawati terharu dilantik Duta ESH Raya 2022! Anak Allahyarham Sosilawati Lawiya bantu CSR!
Published byGOLONGAN selebriti sering kali menjadi pilihan syarikat-syarikat sebagai ‘duta’ sesebuah produk atau jenama yang ingin dipromosikan tetapi kali ini anak sulung Allahyarham jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Datin Rita Sosilawati dilantik sebagai Duta ESH Raya 2022.
Pemilik nama sebenar Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 37, melahirkan rasa terkejut apabila ditawarkan pelantikan tersebut memandangkan belum pernah memainkan peranan sebagai duta sesebuah produk.
“Mula mula terfikir juga adakah saya ini tergolong dalam selebriti?" ujarnya dalam ketawa kecil ketika ditemui pada Program CSR ‘Bersama Menyemarakkan Keikhlasan di Hari Raya, ESH Electrical X Datin Rita Sosilawati' bertempat di sebuah restoren di Bangsar Shopping Centre pada 5 April 2022.
Lagi cerita-cerita menarik
Program terbabit diwujudkan selaras dengan semangat Ramadan untuk menyebarkan kebaikan dan membantu golongan yang memerlukan.
“Ini pertama kali saya dilantik sebagai duta sesebuah produk dan memang masa mula-mula ditawarkan pelantikan, saya tak sangka sebab saya bukannya artis,” tambah Rita sambil memberitahu kesudiannya untuk menerima tawaran disebabkan tujuan program lebih kepada amal kebajikan.
Menurutnya, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda baru-baru ini di mana ESH Electrical Sdn Bhd bersetuju untuk menderma barangan elektrik kepada kira-kira 200 keluarga yang terjejas.
Manakala, Rita pula akan melengkapkannya dan menyediakan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, dan bekalan makanan lain untuk membantu keluarga-keluarga terbabit di samping menyediakan masakan untuk bersahur dan berbuka puasa.
Rita (tengah) bersama wakil dari ESH memperlihatkan banner tanda sumbangan barangan elektrik dan keperluan asas kepada Persatuan Anak Niaga Dan Aktiviti Nirmala. - Kredit foto: FAS.
“Selain itu saya tidak pernah menjual barangan elektrik dan kesempatan bekerjasama dengan ESH barulah saya tahu bahawa pembekal utama produk eletrik, rumah dan peralatan dapur ini sudah wujud 40 tahun lalu,” tambah Rita yang antara tugasannya selama dua bulan sempena Ramadan dan Raya adalah mempromosikan barangan jualan ESH.
Rita yang wajahnya persis arwah ibunya bagaimana pun tidak mahu menjanjikan ‘langit dan bintang’ untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai 'duta raya' memandangkan tugasan hakikinya mengendalikan syarikat-syarikatnya sendiri membuatkan beliau tidak menang tangan dan sebuk apatah lagi memikul tugasan isteri kepada Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah dan ibu kepada empat orang cahaya mata.
“Buat masa ini kontrak saya dengan ESH hanya untuk dua bulan sahaja. Saya cuba dahulu dan jika ada kelapangan baharulah boleh saya fikirkan untuk melanjutkan program sebegini selepas raya,” kata Rita apabila ditanya apakah kolaborasi bersama ESH akan diteruskan selepas tamat kontrak.
Kredit foto: IG @rita_sosilawati.
Berkongsi lanjut Rita berpendapat, tiada keluarga yang harus kelaparan dan menderita pada bulan yang mulia ini dan sehubungan itulah beliau berharap melalui program CSR bersama ESH ini dapatlah meringankan beban dan kesulitan mangsa banjir.
Sebagai sebahagian daripada Program CSR ‘Bersama Menyemarakkan Keikhlasan Pada Hari Raya’, mewakili kedua-dua pihak Rita membuat lawatan ke Kampung Kemat dan Kuala Menjing di Kuala Berang, Terengganu untuk bertemu sendiri dengan keluarga-keluarga yang terlibat dan mengagihkan barangan tersebut kepada mereka dengan bantuan Persatuan Anak Niaga dan Aktiviti Nirmala (PANDAN).
Rita selanjutnya memberitahu, orang ramai boleh menyemak maklumat lanjut tentang kempen ini di kedai ESH dan mereka yang ingin mengetahui dengan lebih terperinci tentang kampung masing-masing yang terlibat dan cara untuk terus membantu boleh menghubungi kaunter khidmat pelanggan ESH. - KitaReporters
Rita (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir di hadapan kedai ESH di Bangsar Shopping Centre.