JAWATANKUASA Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Selangor dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Selangor perlu mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai perkara demi membantu memajukan koperasi di negeri itu.

Pengarah SKM Negeri Selangor, Rozdeen Mohd Jaafar, berkata sekarang ada 1,800 koperasi yang berdaftar di Selangor dan  memerlukan bimbangan serta bantuan bagi bergerak maju ke depan supaya mampu berdaya saing.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan koperasi

Ahli JPAN dan SKM Selangor mendengar taklimat daripada Mohiadin  mengenai sejarah pembukaan PJMM.


Menurutnya, koperasi yang aktif dan mampu berdaya saing wajar diberikan insentif, manakala yang kurang aktif atau sebaliknya wajar diberi perhatian untuk dibimbing supaya berupaya untuk bangkit serta bergerak maju demi menzahirkan manfaat kepada ahli.  

Aset hampir dua bilion dimiliki koperasi di Selangor wajar dipertingkatkan lagi supaya dapat memberi faedah serta manfaat dalam semua segi selain mampu memastikan sesebuah koperasi terus beroperasi,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 16 April 2022.

Turut hadir pada majlis anjuran JPAN Selangor itu, Pengerusi JPAN Selangor, Dato’ Mohd Alias Hamzah; Pengurus JPAN Selangor, Khalilluddin Md Yatim; Penasihat (2) PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JPAN  dan SKM Selangor.


Penghuni di JPMM menerima sumbangan pada majlis berbuka puasa anjuran JPAN Selangor.


Pada majlis itu Rozdeen melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan JPAN Selangor yang menyantuni warga emas di pusat jagaan berkenaan kerana mereka rata-rata sudah uzur serta tersisih daripada ahli keluarga atau tiada waris sudah pasti gembira diziarahi.

Menurutnya, dia juga berasa bangga apabila JPAN Selangor turut merancang menjadikan PJMM itu sebagai anak angkat yang sudah pasti dapat menjamin bantuan serta perhatian untuk membela nasib warga emas di situ akan diutamakan.

“Ahli koperasi yang berjaya serta mampu berdaya saing wajar juga mencontohi JPAN Selangor menyantuni warga emas di pusat jagaan supaya mereka mampu beroperasi terutama yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuninya,” kata beliau.


Rozdeen (tengah) bersama-sama ahli JPAN dan SKM Selangor melihat penghuni yang menghadapi masalah kesihatan pada majlis berbuka puasa bersama penghuni PJMM, di Semenyih, Selangor pada 16 April 2022 lalu.


Sementara itu, Mohd Alias dalam ucapannya pula berkata, usaha PJMM itu suatu yang murni menjaga serta mengurus warga emas tiada waris dan tersisih meneruskan kelangsungan hidup tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Jelasnya, warga emas terbabit bukan mengharapkan wang tetapi mereka lebih kepada naluri menagih kasih sayang dan tidak sewajarnya bagi waris yang masih ada khasnya tidak memberi perhatian atau datang menziarah mereka di situ.

“Sebagai sokongan dan menghargai PJMM yang begitu komitmen menjaga warga emas ini JPAN Selangor dalam proses menjadikannya anak angkat supaya dapat turut serta menyantuni penghuni di situ.

“Jika diadakan aktiviti di sini sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati dan menjadi pengubat rindu warga emas terbabit kepada ahli keluarga selepas tidak dipedulikan,” katanya. - KitaReporters


Rozdeen (duduk tiga dari kiri) bersama-sama ahli JPAN dan SKM Selangor merakamkan kenangan di PJMM sebelum berbuka puasa.

23
14
0
10
0

Copy Link: