Video| Cinta dalam kehidupan! Loque hasilkan single Lagu Cinta untuk MonoloQue! Buat arwah adiknya!

Published by
KitaReporters


DALAM kesulitan pasti ada kesenangan dan dalam kehidupan perlunya cinta. Ketika waktu susah dan perih, cinta adalah penguat malah ketika waktu senang dan tenang, cinta adalah penyeri. 

Adakah anda setuju dengan kenyataan tersebut?

Begitulah pandangan penyanyi kumpulan MonoloQue, Loque, 45, dalam mencipta lagu terbaharunya, ‘Lagu Cinta’ secara ringkas, mudah dan bermakna. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan MonoloQue


Situasi ini diceritakan bukan sahaja menerusi lirik, tetapi turut digambarkan menerusi gubahan lagu. 

Malah lebih bermakna bagi pemilik nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar ini apabila ‘Lagu Cinta’ mempunyai maksud ‘simbolik’, kemungkinan terhadap tragedi dua dekad yang lepas, di mana arwah adik Loque meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. 

Kemalangan tersebut menyebabkan Loque sedar bahawa kematian itu adalah sebahagian daripada kehidupan yang pasti dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, pada masa yang sama, kematian adalah sesuatu yang mistik dan misteri. 

Walaupun tiada bukti saintifik, Loque percaya bahawa setiap bait kata dan bunyian akan sampai kepada adiknya yang sudah pergi. 

"Saya harap lagu ini dapat merentas dimensi," kata Loque, dengan harapan ia akan sampai ke tempat adiknya sedang bersemadi.

Apa pun yang pasti, setelah bereksperimen dengan bunyi, ruang dan alat muzuk baharu dan lama dari serata dunia sebelum ini, MonoloQue telah membuat keputusan untuk kembali ke pangkal jalan, yakni memberi tumpuan kepada lagu dan irama. 



Tidak seperti lagu-lagu MonoloQue dari album keduanya, ‘Jangan Puja Sampai Kecewa’, yang dilihat agak berat dan secara jujurnya, sukar diterima oleh masyarakat sejagat, ‘Lagu Cinta’ lebih mesra rakyat. 

Seperti yang dikatakan tadi, Loque ingin kembali kepada asas penciptaan lagu, meraikan “irama” atau “melodi”.

Jika diperhalus, korus dan verse ‘Lagu Cinta’ dimainkan dalam irama minor bagi menggambarkan kegelapan, kesedihan dan kesusahan. 

Namun, pada waktu bahagian ‘bridge’, kata Loque, lagu bertukar kepada major, sesuatu yang bertentangan. 

“Secara tidak langsung Lagu Cinta memberitahu pendengar yang hidup perlukan keseimbangan. Dalam kesulitan, pasti ada kesenangan,” tambah beliau seolah memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada arah tuju album ketiga yang bakal tiba kelak. 



Gubahan dan lirik 'Lagu Cinta' merupakan hasil ciptaan Loque yang dirakamkan di Makmal Kampung Batu dan di Kilang Menjahit Bunyi (studio-studio milik Loque). 

Dikawal selia oleh jurutera rakaman Ammar “Lautan”, Parameswara, Lut, dan LoQue sendiri, turut terlibat adalah juruteknik Eri Ambia, Pengiran PG dan Mujahid.

Disempurnakan menerusi berpuluh-puluh adunan oleh Loque sendiri ia  kemudian disempurnakan keseluruhannya (mastering) oleh  Felix Voon

'Lagu Cinta' akan ke udara secara dalam talian, di segenap landasan digital pada 16 Disember 2022.  Nantikan! - KitaReporters


LoQue (tengah) bersama team rakamannya.

15
15
0
13
0

Copy Link: