ZAINI Redzuan (kanan) dan rakan seregu melakukan blocking kembar untuk menangkis rejaman gulung pemain Thailand. - Kredit foto TW


SEKALIPUN sudah hampir tiga minggu kembalinya Allahyarham Mohd. Zaini Redzuan ke rahmatullah, kehebatan rejaman guntingnya masih kukuh terpahat dalam ingatan bekas rakan seregunya, Mohd. Nizam Yassin.

Dari celah mana pun, perejam negara dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu masih mampu meloloskan bola dengan penangan yang digelar ‘Maniam’ ini kerana kakinya ibarat ‘bermata’ yang melihat sasaran di belakang kepalanya.

“Rejamannya cukup mengelirukan dan padat walau siapa pun apit regu lawan dan handalan yang cuba blocking (mengadang),” kenang Nizam terhadap Zaini yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 31 Mei 2024 dalam usia 58 tahun.


ZAINI Redzuan (dua dari kanan) dan Mohd. Nizam Yassin (kiri). - Kredit foto: MNY 


Enam hari sebelum tragedi tersebut, pesara PDRM berpangkat terakhir sarjan dan pernah beraksi pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thailand 1989 dan 1990 ini menyambut ulang tahun hari kelahirannya.

Apit kanan yang juga anak jati Ipoh, Perak dan sering digelar ‘Zaini Kalih’ terutama dalam era Grand Prix Kebangsaan Perilly’s meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Keistimewaan itu menurut Nizam, kerap meletakkan Zaini setanding perejam handalan negara era akhir 80-an hingga pertengahan 90-an seperti Sha’ari Hashim, Zabidi Shariff, Iskandar Arshad dan Rehan Mohamad Din (Allahyarham).


AKSI rejaman gunting Zaini Redzuan dipilih sebagai penghias muka depan akhbar sukan pertama Malaysia, Mingguan Sukan pada 1995. - Kredit foto: MS


“Saya sebagai apit kiri atau pengumpan, Allahyarham dan tekong Baharudin Bahaudin mewakili PDRM ke Sukan Arafura 1997 di Australia yang memenangi pingat perak antara regu setelah kalah kepada Thailand.

“Memori indah kami ialah mara ke final Piala Isa 1992 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah menewaskan kelab Indonesia dan Singapura serta Kuala Lumpur,” kata Nizam yang turut digelar 'Black'.


ZAINI Redzuan (duduk, kiri) dan Mohd. Nizam Yassin (berdiri, kiri) yang membantu PDRM menjuarai Grand Prix Kebangsaan Perilly's 1992. - Kredit foto: MNY


Zaini juga membantu PDRM menjulang buat kali pertama Piala Emas Khir Johari pada 1990 setelah mereka menewaskan juara bertahan, Perak 2-0 dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan itu.

Tanpa Rehan yang mahu mendirikan rumah tangga dan menarik diri pada 1989, skuad negara menamakannya sebagai perejam gantian untuk bergandingan dengan Nordin Sabarudin dan Abd. Malik Samsudin dalam Piala Raja Thailand.

Malaysia tewas 2-1 kepada Thailand ‘A’ dan ‘B’ serta menewaskan Singapura dan Brunei 3-0 untuk meraih tempat ketiga dalam kejohanan berformat regu berpasukan di Bangkok itu.  


MOHD. Zaini Redzuan yang turut mendapat julukan, 'Zaini Kalih' kerana sering mampu membolosi blocking lawan dengan rejaman berhelahnya. - Kredit foto: MNY


Regu Zaini yang bermain giliran kedua, mengheret Sanpol Taptim, Wirat Pomouang dan Visut Boonsuya sehingga set penentuan sebelum tumpas 12-15, 15-9, 7-15 (Thailand ‘A’) dan menentang Thailand ‘B’, mereka juga tetap liat untuk ditewaskan Pisit Pattanamas, Chatchai Jantaramanee dan Jakkrit Korchakul 11-15, 18-15, 8-15.  

Selaku juara Kejohanan Kebangsaan 1990, Zaini dan PDRM dipertaruh Malaysia untuk merampas Piala Raja Thailand tahun tersebut dan hanya ditemani Rehan dan Rosli Rahman daripada skuad pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing.

Namun kali ini bersama-sama tekong Abdul Ghani Ahmad dan pengumpan/perejam kembar Yusof Chik dalam regu penentuan, mereka tetap dihampakan Si Gajah Putih 7-15, 10-15 ketika final di Stadium Huamark, Bangkok pada 9 Disember 1990. - KitaReporters


AKSI adangan penuh dan tinggi Zaini Redzuan terhadap rejaman gulung pemain Thailand pada satu kejohanan antarabangsa. - Kredit foto: TW

15
5
0
11
0

Copy Link: