ADEGAN dari drama Bidaah lakonan Vanida Imran dan Faizal Hussien yang mencetuskan kontroversi.


RIUH-RENDAH satu Malaysia membincangkan kontroversi drama Bidaah yang memaparkan adegan pelakon Vanida Imran mengusap janggut Faizal Hussien dengan kaki.

Selain hangat dibincangkan oleh netizen menerusi media sosial, ia turut menarik perhatian tokoh akademik dan agamawan. Hiruk-pikuk itu turut menarik penulis untuk mengambil tahu apa yang diperkatakan.

Penulis sebenarnya sudah lama tak menonton atau mengambil tahu mengenai drama Melayu kerana daripada sipnosis yang penulis baca, drama sekarang banyak berkisar mengenai orang kaya benci orang miskin, mak mentua tak suka menantu dan suami isteri main kayu tiga.

Mungkin ada satu dua drama yang lari dari tema klise itu tapi kebanyakannya membawa tema yang hampir serupa, hanya tajuk dan pelakonnya saja berbeza.



Tapi, drama Bidaah ternyata berjaya menarik penulis untuk mengambil tahu walaupun belum menontonnya. Jika adegan usap janggut dengan kaki itu bertujuan untuk publisiti, strategi pemasaran itu nampaknya berjaya sehingga orang seperti penulis pun turut sibuk nak ambil tahu! 

Sebenarnya kelucahan dalam karya seni lakonan terutama filem kita bukan cerita baharu. Sejak filem Melayu masih pada era hitam putih lagi, kontroversi sebegini sudah berlaku.

Pada peminat filem Melayu akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an tentu masih ingat, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada penghujung kariernya pernah menerima kecaman hebat kerana menyelitkan unsur lucah dalam filem arahannya, Gelora.

Beberapa babak dalam filem itu yang membabitkan pelakon (Datuk) Sarimah dan Arman Yadi mencetuskan kemarahan terhadap P Ramlee yang dianggap sudah bankrap idea hingga terpaksa mengeksploitasi adegan ‘panas’ sebagai pelaris. 

Khabarnya filem itu akhir digam oleh stesen televisyen. Sejauh mana kebenarannya, penulis tak pasti.



P Ramlee juga turut mencetuskan kontroversi menerusi filem Dr Rushdi apabila turut menyelitkan unsur-unsur kelucahan. Malah dalam satu adegan, pelakon Sophia Ibrahim hanya memakai coli dan seluar dalam saja. 

“Kalau tengok babak dalam filem itu, ada babak saya nak kena tembak, saya hanya memakai coli dan seluar dalam sahaja. Logiknya tak kan lepas berasmara terus ada baju?

“Pengarah mahu tunjuk saya terkejut sebab tiba-tiba ada lelaki lain datang hendak menembak saya,” kata Sophia dalam satu temu bual. Menurut Sophia, adegan itu tidak dipotong dan beliau melakukannya kerana mengikut jalan cerita.

Memasuki era 1990-an, pengarah U-Wei Shaari pula tampil panas menerusi filem ‘Isteri, Perempuan dan …’  lakonan Sofea Jane. Malah, sebelum ditayangkan ia sudah mencetuskan kontroversi apabila Lembaga Penapis Filem meminta penggunaan perkataan ‘jalang’ pada tajuk filem itu dibuang dan digantikan dengan dot dot dot (….).

Selain mengetengahkan isu agak tabu pada masyarakat Melayu, filem itu mengundang perdebatan kerana terdapat babak-babak yang kurang manis ditonton membabitkan lakonan Sofea Jane.


ADEGAN usap janggut dengan kaki membabitkan Vanida Imran dan Faizal Hussien.


Justeru, soal eksploitasi babak panas dalam filem bukanlah cerita baharu. Namun, Bidaah mendapat perhatian serta mencetus perbincangan kerana drama itu berlatarkan agama Islam sebagai tunjang penceritaannya.

Erma Fatima selaku penerbit dan penulis skrip drama Bidaah mempertahan adegan usap janggut dengan kaki itu.

“Apa yang saya nak sampaikan orang tidak nampak, sebaliknya dijadikan isu oleh mereka,” katanya.

Erma menegaskan bukan niatnya memburukkan nama baik Islam sebaliknya ingin memberitahu orang ramai agar berhati-hati dalam mencari ilmu agama.

Penullis tidak kisah sangat dengan kecaman netizen terhadap drama itu namun tertarik dengan pandangan seorang tokok akademik, Dr Ahmad Sanusi Azmi yang merupakan Timbalan Dekan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Melalui status beliau menerusi akaun Facebooknya, Dr Ahmad Sanusi antara lain menulis walaupun drama itu membawa mesej agama namun hakikatnya dalam membawa mesej Islam, unsur kelucahan tidak sama sekali diperlukan malah bercanggah dengan prinsip Islam.


DR AHMAD SANUSI AZMI


“Mesej Islam akan tetap sampai tanpa elemen kelucahan. Begitu juga matlamat yang baik tidak menghalalkan cara.

“Mungkin juga babak ini merupakan elemen kontroversi terancang bagi bertujuan menarik penonton melalui konsep “bad marketing”. 

"Andai plot ini merupakan instrumen pemasarannya, maka ia lebih teruk di sisi Islam. Rasulullah mengecam pengusaha sebegini yang menggunakan elemen kejelekan dalam produksi mereka,” tulis Dr Amad Sanusi.

“Namun sekiranya elemen ini dimuatkan secara sengaja, adakah kita ingin mencari sumber pendapatan melalui jalan yang dicegah oleh Allah? Adakah makanan yang bakal menjadi darah daging kita ini, kita kaut hasilnya melalui elemen yang jelas dibenci oleh Rasulullah. Sumber yang haram akan pasti mengganggu ibadah dan doa kita,” tulisnya lagi.


  

PU SYED


Sementara itu, seorang pendakwah, PU Syed atau nama lengkapnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak turut menegur drama Bidaah yang dianggapnya melampau serta boleh memberi gambaran negatif terhadap Islam. 

“Cerita Bidaah tu sendiri dah Bidaah Dholalah, apatah lagi plot-plot cerita yang melampau ditonjolkan khasnya bila melibatkan Islam. Sudah mati idea gamaknya sutradara di Malaysia ni dalam menghasilkan cerita-cerita berkualiti dan patuh syariah,” tulis PU Syed.

Menurutnya, meskipun terdapat ajaran sesat dalam masyarakat, ia tidak semestinya dipertonton secara terbuka kepada khalayak, terutama jika membabitkan adegan yang tidak sesuai seperti babak atas katil yang kini tular dalam media sosial.

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr Sanusi dan PU Syed itu. Banyak lagi cara boleh kita tonjolkan posisi negatif sesuatu isu yang mahu diketengahkan tanpa perlu menonjolkan keaiban melampau yang akhirnya akan mencemarkan nama agama Islam.

Ingat, niat tidak menghalalkan cara! KitaReporters

17
25
0
17
0

Copy Link: