KPI ialah pingat emas Olimpik LA 2028! Punca Herry IP dilantik! Ketua jurulatih beregu pilihan BAM!
Published byHERRY Iman Pierngadi pasti diletakkan harapan tinggi oleh BAM dan para peminat badminton Malaysia dengan rekod pencapaian silamnya di pentas Olimpik dan Kejohanan Dunia. - Kredit foto: BAM
MUNCUL juara beregu lelaki dunia, memenangi pingat emas Sukan Olimpik dan Sukan Asia serta menaiki podium Kejuaraan Se-England.
Bisakah koleksi pencapaian hebat Herry Iman Pierngadi dengan pelbagai pasangan lelaki Indonesia ini berpindah
kepada kumpulan beregu Malaysia dalam tempoh empat tahun?
Mulai 1 Februari 2025 di bawah kontrak selama itu, Herry, 63, akan mengisi peninggalan Tan Bin Shen sebagai ketua
jurulatih beregu negara dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekali gus
memikul harapan tinggi dan impian besar para peminat kita.
Jurulatih Terbaik Anugerah Sukan Indonesia 2018 ini disahkan sebagai penyandang terbaharu barisan jurulatih skuad senior kebangsaan BAM menerusi mesyuarat Majlis persatuan yang dipengerusikan Pemangku Presiden, Datuk V. Subramaniam di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 11 Januari 2025.
REXY Mainaky mempunyai hubungan baik sekian lama dengan Herry Iman Pierngadi sejak kariernya sebagai pemain era 90-an. - Kredit foto: BAM
“Ada tiga atau empat lagi calon jawatan itu. Dalam jangka panjangnya (indeks prestasi utama – KPI buat Herry) memanglah pingat emas (beregu lelaki) Sukan Olimpik (Los Angeles - LA 2028) yang juga impian saya sejak datang (Malaysia).
“Kita sudah ada juara dunia (Aaron Chia/Soh Wooi Yik). Kalau boleh orang (beregu) lain juga (mengulanginya seperti 2022),” kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky dalam sidang media selepas mesyuarat bersempena Terbuka Malaysia 2025.
Herry kata Rexy, dikenalinya sejak dia bermain sebagai perseorangan dan menjadi orang yang sering ditanya atas pengalaman dan pencapaiannya sebagai beregu yang menguasai kebanyakan kejohanan di Indonesia.
“Saya juga mengenalinya
sejak dia masih pemain kelab Bimantara Tangkas. Dia hanya main beregu dan menguasai
semua sirkit kejohanan di Indonesia. Itu sebabnya kami selalu tanya pendapat
dan pengalamannya bagaimana mahu jadi pemain bagus,” katanya.
Antara ‘air tangan’ Herry ialah Chandra Wijaya/Tony Gunawan yang menjuarai Se-England 1999 dan meraih pingat emas Olimpik Sydney 2000 dan Chandra/Sigit Budiarto (Kejohanan Dunia 1997 dan Se-England 2003) serta Flandy Limpele/Eng Hian (pingat gangsa Olimpik Athens 2004).
Lain-lain termasuk Hendra
Setiawan/Mohammad Ahsan (Se-England 2014 dan 2019, pingat emas Sukan Asia
Incheon 2014 dan Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo (Se-England 2017
dan 2018 serta pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018).
“Herry tidak ragu-ragu menyatakan
minatnya (menyertai BAM). Penglamannya juga tidak disangkal.
“Setelah sekian lama
dengan PBSI (Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia), inilah kesempatan untuk membuktikan
dia masih punya magis dan sentuhannya.
“Dia juga mendapati Malaysia mempunyai pemain beregu yang lebih ramai berbanding negara-negara lain,” jelas Rexy, juara dunia empat kali dan pemenang Olimpik Atlanta 1996.
AARON Chia (belakang) dan Soh Wooi Yik menjuarai Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo dan dua kali mengalungi Malaysia, pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan Paris 2024. - Kredit foto: BAM
Sementara itu, Subramaniam berkata, pelantikan
Herry dicapai secara muafakat persatuan dan bukan keputusan seorang sahaja
walaupun mereka tidak mengambil banyak masa untuk memutuskannya malah setelah
menilai semua aspek dan sudut.
“Majlis BAM juga memutuskan perubahan nama Jawatankuasa Prestasi Tinggi atau sebelumnya Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) menjadi Jawatankuasa Prestasi sahaja,” katanya. - KitaReporters
STRUKTUR KEJURULATIHAN BEREGU LELAKI NEGARA BAM:
Ketua jurulatih: Herry Iman Pierngadi
Jurulatih (skuad senior): Muhammad Miftakh, Poh Chai Boon
Jurulatih utama (skuad remaja): Pang Cheh Chang
Jurulatih (skuad remaja): Hoon Thien How
Senarai pemain: Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Man Wei Chong/Tee Kai Wun, Choong Hon Jian/Haikal Nazri, Wan Arif Junaidi/Yap Roy King, Goh Boon Zhe/Wong Vin Shean, Fazriq Razif/Bryan Jeremy Goonting, Aaron Tai/Kang Khai Xing.
V. Subramaniam menganggap tiba masanya untuk para pemain negara membuktikan keputusan positif dengan kehadiran barisan jurulatih antara terbaik dunia dengan BAM. - Kredit foto: BAM