.


Rasanya tidak terbilang berapa banyak pengeluaran lagu raya oleh para artis lama dan baharu tahun ini bagi memeriahkan suasana Syawal.

Dan yang ini lagi meriah apabila lima daripada artis Top 5 kelahiran rancangan ‘Calpis Soda One In A Milliom (CSOIAM)  digabungkan dalam sebuah lagu raya yang diberi judul ‘Kemas Kemas Raya’.

Mempunyai karakter yang tersendiri, setiap anggota Top 5 CSOIAM, iaitu juaranya, Marygrace bersama Naib Juara, Kai Deva disusuli Jimi, Zazzleen dan Mariam, masing-masing amat teruja dengan projek 'Kemas Kemas Raya' ini.

'Kemas Kemas Raya' menampilkan gabungan elemen muzik tradisional dan moden dalam genre pop, malah ia  bukan sekadar hiburan tetapi juga membawa perspektif segar yang berbeza daripada kebiasaan lagu raya.

Keunikan lagu ini terletak pada vibe dan lirik yang segar, diiringi muzik catchy mengikuti trend semasa kini, dibawa secara berkumpulan dengan korus yang mudah diikuti menjadikannya lebih menarik serta sesuai dengan selera Gen Z hari ini.

Dan bila sebut ‘kemas kemas’ sudah tentu membawa anda ke persoalan, sudahkah anda menyiapkan persekitaran rumah atau masih dalam keadaan huru hara tambahan jika ada anak-anak kecil waima Raya dah nak dekat?


Top 5 Calpis Soda One In A Milliom (CSOIAM).


Jadi, bertepatan dengan menjelangnya Syawal, 'Kemas Kemas Raya' ingin menghidupkan semula tradisi mengemas rumah, mengingatkan bahawa kemeriahan Aidilfitri bukan hanya tentang duit raya, pakaian baharu, atau juadah lazat, tetapi juga suasana rumah yang nyaman dan teratur. 

“Selalu kalau lagu raya, mesti cerita tentang duit raya, lemang, dan bermaafan. Sebab itu kami bawakan lagu yang rare ini dengan mesej simple tapi penting iaitu untuk kemas rumah dulu sebelum raya,” ujar Adam Stapler, selaku komposer dan penulis lirik lagu.

Berkongsi tentang proses pembikinan lagu terbitan Alternate Records & Talents ini, Adam memaklumkan, bekerja dengan Top 5 CSOIAM sangat mudah memandangkan mereka sudah terbiasa dengan disiplin semasa pertandingan,

“Jadi apabila saya minta sesuatu, mereka cepat tangkap. Dalam masa sehari sahaja, mereka sudah menghafal dan memberi sepenuh fokus untuk memastikan lagu ini berjaya disempurnakan,” ujar Adam.

Sesi rakaman lagu ini dikatakan terpantas yang pernah mereka lakukan dengan hanya mengambil masa sekitar empat jam. 



“Setiap seorang mengambil kira-kira satu jam untuk rakam bahagian masing-masing. Kami dapat demo petang, dan pada malam yang sama terus jalani sesi rakaman. Semua orang memang beri komitmen terbaik,” Zazzleen membuka bicara.

Menurutya walau pun dalam tempoh singkat, Adam Stapler banyak membimbing untuk memastikan setiap ahli mencapai hasil yang sebaik mungkin. 

Meluahkan pandangan sama Mariam berkata, “Adam sangat membantu dalam memberi gambaran dan hala tuju untuk lagu ini. Sepanjang proses rakaman, dia banyak berkongsi idea kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik.”

Seperti rakan-rakannya, Kai Deva tidak menafikan lagu ini memberi cabaran tersendiri buat mereka berlima yang mana antaranya, mereka perlu mengawal tona dan tenaga vokal, menyesuaikan melodi dengan cepat, serta menghayati emosi sebaiknya. 

Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dirasai melalui gambaran yang ceria, bertenaga, dan penuh kemeriahan dalam setiap bait lirik yang disampaikan,” kongsi Kai Deva.

Jimi pula menambah, "Saya berharap lagu ini dapat mengeratkan silaturahim antara adik-beradik, rakan-rakan, dan orang di sekeliling kita, menjadikan sambutan raya lebih bermakna.”

“Lagu ini wajib didengari sebab ramai yang boleh  menghubungkannya dengan situasi perlu kemas rumah sebelum raya. Bolehlah pasang lagu ini sambil mengemas, tambah mood raya sekali,” akhiri Marygrace.



Pendek kata, kesemua mereka berharap lagu ‘Kemas Kemas Raya’ mendapat tempat dalam hati pendengar, lebih-lebih lagi sebagai lagu raya pertama mereka dalam industri.

Ingat! Raya lebih seronok dengan rumah kemas, badan sihat, dan hati pun tenang sambil halwa telinga diindahkan dengan lagu ‘Kemas Kemas Raya’, menjadi sebahagian daripada ‘playlist’ raya semua, pesan mereka. -KitaReporters

14
11
0
9
0

Copy Link: