Video| Wawancara khas! Bakal psikologis dan tauke hot pot! Berganding demi nenek dalam Redemption!
Published by.
CHERRY Cheng dan Quinna (dua dan tiga dari kiri) serta Tian Long diperkenal oleh pengacara kepada orang ramai di sebuah pusat beli-belah sebelum Gala Tayangan Perdana "Redemption" bersama-sama (mulai dua dari kanan), Zizan Razak, Mimi Chu, Datuk Kamil Othman (Pengerusi Finas) dan Michael Chuah.
CHERRY Cheng dan Quinna boleh dianggap bakat yang masih baharu dalam seni lakonan terutama filem berbahasa Cina tempatan apabila ditampilkan dengan watak utama dan tambahan “Redemption” yang akan ‘memecah panggung’ seluruh negara mulai 29 Januari 2025 ini.
Cherry, 23, mendukung watak utama wanita jelita, Xiao
Qi yang terpikat dengan rakan sekerja di sebuah hotel dan cuba diselamatkan oleh Jie, hero
filem aksi jenayah usaha sama Malaysia-Hong Kong-China, dan lakonan serta arahan Michael
Chuah ini.
Quinna, 30, pula berperanan sebagai Yuen Hui dengan
dua beradik ini terbabit dengan pinjaman ceti haram, ah long bagi melangsaikan hutang
kos perubatan nenek mereka sehingga kakak Xiao Qi ini dibunuh oleh sindiket jenayah pemerdagangan manusia
yang berbahaya.
Filem yang memakan kos pembikinan RM2.8 juta ini turut mengundang bintang komedi filem Melayu, Zizan Razak yang mendukung satu watak kecil, Zaf, rakan karib Jie – bekas pembunuh upahan dan pengawal peribadi yang cuba hidup aman sebagai orang normal serta meninggalkan dunia jenayah itu.
KitaReporters berkesempatan menemu bual Cherry dan Quinna yang masing-masing kelahiran Ipoh, Perak dan Johor Bahru, Johor sempena Gala Tayangan Perdana “Redemption” di sebuah pawagam di pusat beli-belah Bukit Jalil pada 13 Januari 2025 lalu.
POSTER filem aksi jenayah, "Redemption". - Kredit foto: R-MC
KR: Boleh ceritakan watak yang saudari mainkan dan latar
belakangnya dalam “Redemption”?
Cherry: Saya sebagai Xiao Qi. Saya berkawan dengan watak
utama, Jie yang saling mengenali kerana bekerja di syarikat (hotel) sama. Saya dan
kakak (Yuen Hui) sangat miskin. Kami memerlukan wang dan bekerja keras demi membiayai kos perubatan nenek mereka yang menghidap penyakit.
Yuen Hui telah meminjam wang dengan Ah Long yang kemudian
datang dan tangkap kami serta membunuhnya. Jie cuba selamatkan Xiao Qi
daripada kumpulan Ah Long itu. Kami tidak berlakon sebagai pakar seni bela diri (kung fu atau wusyu). Hanya diselamatkan
hero. Seorang yang amat lemah tetapi mempunyai impian dan semangat untuk
mengubati dan menyelamatkan nenek dan kakak saya.
Latar tempatnya di Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan
Port Dickson (Negeri Sembilan). Tiga tahun diambil untuk menyiapkan filem ini sejak
2022 yang menggunakan bahasa Mandarin dan Kantonis, Inggeris dan Melayu (Zizan).
Kadangkala kami menjalani penggambaran sehingga pukul 2 atau 3 pagi tetapi
tiada siapa yang merungut, kami bersatu hati.
Quinna: Ini pengalaman yang sangat segar dan paling dikenangi. Sangat gembira dapat bekerjasama dengan pasukan penerbit dan petugas filem ini.
CHERRY Cheng (kiri) dan Quinna benar-benar menagih sambutan hebat terhadap "Redemption" sempena musim cuti panjang persekolahan dan Tahun Baharu Cina apabila ditayangkan mulai 29 Januari 2025 ini.
KR: Ini filem pertama saudari?
Cherry: Ya, yang pertama dan akan dapat ditayangkan di pawagam. Sebelum ini saya berlakon drama dan reel (selingan video) pendek di Malaysia, semuanya juga dalam bahasa Cina. “Redemption” agak menyentuh hati dan perasaan, aksi juga komedi.
Quinna: Ini lakonan saya yang kedua selepas mendukung watak kecil dalam filem
mengenai bola keranjang, juga berbahasa Cina yang berjudul, “Our Crazy Adventures” (terbitan 2024).
KR: Tidakkah saudari mengidami watak yang lebih berat dan mencabar jika mendapat tawaran berlakon akan datang?
Cherry: Sudah tentu saya mahukan dan mencuba watak dan
cabarannya yang berlainan. Tidak semestinya secocok personaliti saya, apa
sahaja wataknya (namun) yang paling saya gemari sebenarnya aksi. Tetapi yang
ini (“Redemption”) saya tidak benar-benar dapat aksi. Saya hanya diselamatkan.
Mungkin lain kali saya dapat cuba watak aksi.
Quinna: Saya mahu cuba movie seram dan sedikit aksi. Sangat syok dan sangat sedikit genre sebegini di Malaysia (berbahasa Cina) yang mahu saya cuba.
CHERRY Cheng bercita-cita menjadi psikologis selain berlakon filem dan drama.
KR: Siapa aktor dan aktres yang saudari minati?
Cherry: Pelakon wanita kegemaran saya ialah Michelle Yeoh. Dia ada tarikan dalaman dan luaran. Personaliti dan perwatakannya amat gagah, dia pun dari Ipoh macam saya. Kami sebandar halaman. Pelakon lelaki yang saya minati, Jacky Chan, dia sangat kelakar dan padat dengan aksi.
Quinna: Donnie Yen dan Yang Mi (aktres China).
KR: Saudari mahu lebih lama bersama industri filem ini atau ada perancangan karier lain dalam jangka panjang?
Cherry: Saya berhasrat untuk lebih lama menyertai industri
hiburan ini. Saya baru lulusan ijazah psikologi Universiti Taylor's (di Bandar Sunway,
Selangor). Saya kini mengikat kontrak empat tahun dengan
sebuah syarikat penerbitan filem.
Kami saling membantu dan maju bersama. Saya juga mahu jadi psikologis kerana mahu membantu
menyelesaikan masalah dan keperluan mental orang ramai.
Quinna: Saya memiliki sebuah restoran ‘hot pot’ Cina di Seremban, Negeri Sembilan. Saya masih
mahu menerima tawaran berlakon ini sambil mengendalikan restoran yang saya miliki sejak
2024. Bisnesnya cukup baik sekarang. Apabila dapat berlakon filem, saya fokus karier itu. Jika
tiada, saya fokus semula ke restoran itu di sebuah lot kedai dengan bantuan pekerja.
Saya juga akan fokus restoran ini sepenuhnya jika berhenti dalam industri hiburan ini.
QUINNA juga merupakan seorang pengusaha restoran 'hot pot' Cina di Seremban.
KR: Bagaimana saudari melihat Zizan dengan wataknya dalam “Redemption”?
Cherry: Saya kenali Zizan lama sejak filem Cicak-Man
3 lagi. Dia sentiasa terkenal dan hanya pelakon Melayu yang saya sentiasa tontoni sehingga
sekarang. Dia amat profesional dan bagus berlakon. Semua orang menggemarinya.
Saya tidak sabar untuk berlakon dengannya (tetapi) kami tiada adegan bersama dalam
“Redemption”. Wataknya hanya dengan Jie.
Quinna: Zizan sangat bagus. Saya rasa saya boleh meminta nasihatnya
dalam lakonan.
KR: Serba ringkas mengenai latar belakang diri saudari?
Cherry: Saya anak yang sulung dalam keluarga. Saya ada
adik lelaki yang usianya tiga tahun lebih muda. Ibu dan bapa saya terbabit dalam industri makanan dan
minuman.
Quinna: Saya kelima daripada tujuh beradik. Kami amat
rapat, semuanya menetap di Johor Bahru. Saya satu-satunya ahli keluarga kami yang menceburi karier
lakonan. Saya harapkan lebih banyak peluang berlakon pada masa hadapan.
KR: Harapan saudari terhadap “Redemption” yang ditayangkan di pawagam sempena Tahun Baharu Cina?
Cherry: Saya mengalu-alukan sambutan hebatnya dengan ketibaan Tahun Baharu 2025 ini. Harap-harapnya ramai orang yang akan datang menyokong filem ini. Kami (pelakon dan kru) bekerja keras dan berharapkan hasil yang baik sempena Tahun Baharu Cina (29 Januari 2025). Saya rasa filem ini menepati cita rasa semua bangsa, Melayu, Cina, India. Tidak hanya kepada kaum Cina tetapi sebuah movie yang 'mesra bangsa'.
Movie ini juga boleh setanding terbitan negara lain. Kualiti, gajet yang digunakan, kemahiran dan suntingannya bertaraf antarabangsa serta amat bagus malah menarik. Jangan tengok wajah cantik kami sahaja (berseloroh) walaupun kami harap elemennya turut membantu (kutipan tiket panggung). Tengok jugalah apa yang kami buat di sebaliknya, jalan cerita dan segala-galanya.
Quinna: Semoga semakin ramai orang yang mendatangi pawagam dan lebih menyokong pelakon tempatan. “Redemption” masih sebuah filem buatan orang Malaysia (sebahagiannya).
CHERRY Cheng (kanan) dan Quinna mengapit Zizan Razak, seorang lagi pelakon "Redemption" yang mampu memancing kehadiran audiens Melayu ke pawagam selain majoritinya yang berbangsa Cina.
QUINNA (kiri) mengidamkan watak filem seram manakala Cherry Cheng menggemari karakter aksi pada masa akan datang.