Hadiah awal Hari Malaysia! Harimau Malaya julang trofi Pestabola Merdeka 2024! Jinakkan Lebanon 1-0!

Published by
KitaReporters

PAU Marti Vicente (empat dari kiri) meraikan kejayaan Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43. - Kredit foto: FAM


KINI masanya untuk berseronok dan meraikan kejayaan Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43! 

Pau Marti Vicente meluahkan kepuasan hatinya itu dengan trofi sulung tersebut selepas pernah membantu skuad negara mara ke dua final, Pestabola Merdeka 2023 dan Piala Raja Thailand 2022.

"Kami kalah (kedua-duanya dengan Tajikistan) menerusi penentuan penalti (3-0 pada Piala Raja Thailand di Chiang Mai) dan Pestabola 2023 (2-0) walaupun menguasai perlawanannya," kata warga Sepanyol dalam video sidang media pascaperlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.   

Pau, 41, ketika itu sebagai penolong ketua jurulatih pasukan negara kendalian Kim Pan-gon yang sudah pun meletakkan jawatan pada 16 Julai 2024 lalu untuk melatih Ulsan Hyundai FC di tanah airnya, Korea Selatan. 


SEGELINTIR penyokong Harimau Malaya yang setia menyaksikan kejayaan pasukan menjulang trofi Pestabola Merdeka. - Kredit foto: FAM


Malah biarpun tiba lapan hari lebih awal, apa lagi yang lebih manis sebagai hadiah untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2024 ini kalau bukan trofi Pestabola Merdeka?

Tim kendalian Pau melakukannya bagi kejuaraan ke-13 Malaysia dengan menumpaskan Lebanon 1-0 hasil jaringan Romel Morales pada minit ke-33 yang mengatasi penjaga gol, Mehdi Khalil.

Jaringan ini berpunca daripada lontaran ke dalam La’Vere Corbin-Ong dan ditanduk dengan rebutan Safawi Rasid sebelum dikuis Endrick Dos Santos untuk dirembat penyerang naturalisasi kelahiran Colombia itu.


HARIMAU Malaya dan beberapa ahli keluarga pemain meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas menumpaskan Lebanon 1-0. - Kredit foto: FAM


Kejayaan skuad negara menumbangkan The Cedars (Si Pohon) yang di ranking ke-116 dunia, pasti memperbaiki ranking ke-134 kita apabila dikemaskinikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 19 September 2024.

Malaysia juga melepasi separuh akhir 4 September 2024 dengan mengalahkan Filipina 2-1, penghuni ranking ke-147 dunia.

Azkals pula ditewaskan Tajikistan yang di ranking ke-106 dunia, 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti perlawanan tempat ketiga sebelah petang 8 September 2024.

Malaysia atau sebelumnya Tanah Melayu/Malaya telah menjuarai kejohanan antara tertua di Asia ilham Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bagi meraikan kemerdekaan ini pada 1958, 1959, 1960, 1968, 1973, 1974, 1976, 1979, 1986, 1993, 2007 dan 2013.


ROMEL Morales, penjaring gol tunggal (kanan) saling menerjah bola di udara dengan pemain Lebanon. - Kredit foto: FAM 


Kata Pau, "Lebanon bertahan dengan mantap namun pasukan kita tetap mampu mencipta beberapa peluang dan bertuah dapat menjaringkan satu gol. 

"Babak perlawanannya amat positif bagi kami tetapi babak kedua, kami bergelut untuk mengekalkan rentak seperti itu," katanya.

Enam pertukaran pemain dilakukannya pada kesebelasan utama berbanding ketika menewaskan Filipina. 

Mereka ialah bek kiri, La'Vere Corbin-Ong, bek tengah Dominic Tan, perantara Endrick Dos Santos, sayap kanan dan kiri Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad serta Nooa Laine yang diumumkan Pemain Terbaik Final.

"Pertukaran itu berupa pesanan kepada pasukan bahawa sesiapa pun atau semuanya mesti bersedia untuk bermain. 

"Kumpulan ini bukan hanya ada tiga, lima atau 10 pemain tetapi 26 orang. Saya gembira apabila hampir semuanya (yang diturunkan menentang Filipina dan Lebanon) berasa diri mereka sebahagian daripada pasukan," katanya. - KitaReporters


BARISAN MALAYSIA: 

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Dion Cools, Dominic Tan (Feroz Baharudin), La’Vere Corbin-Ong, Nooa Laine (Paulo Josue), Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos, Safawi Rasid (Arif Aiman Hanapi), Syafiq Ahmad (Akhyar Rashid), Romel Morales (Darren Lok).  


NOOA Laine (15) dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Pestabola Merdeka 2024 biarpun tidak menghabiskan perlawanan sepenuhnya kerana digantikan Paulo Josue pada minit ke-89. - Kredit foto: FAM

10
9
0
9
0

Copy Link: