PENYANYI Datuk Seri Rossa mohon maaf jika harga tiket mahal untuk menonton Rossa 25 Shining Years Concert (Konsert 25 Tahun Gemilang Rossa) yang akan berlangsung di Dewan Pleanary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 November 2022 ini.

Kata Rossa, ada sebab kenapa konsert solo pertamanya di Malaysia anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Inspire Production, Indonesia, MyVitalab dan Koperasi Prihatin Nasional (KOPENA) itu menawarkan harga tiket serendah RM258 sehingga RM3,000.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Rossa

Rossa teruja dapat mengadakan konsert di Malaysia demi menghibur peminat-peminatnya.


Tidak mahu mendabik dada dengan harga jualan tiket yang mahal itu, Rossa menjelaskan yang konsert tersebut bukan sekadar hiburan tapi juga merupakan platform untuk orang ramai membuat kebajikan

“Mohon maaf jika tiket konsert aku mahal dan aku bukan ingin berlagak sombong. Apa yang pasti, kita tahu ke mana jualan tiket itu akan diberikan. Itu adalah satu cara untuk kita mengumpul dana

“Tak mungkin kita hanya meminta wang daripada mereka (penonton) tanpa memberi apa-apa balasan. 

"Dengan adanya tiket yang berharga sebegitu, secara tak langsung sebenarnya mereka telah menderma. Alhamdulillah, untuk jualan tiket mahal ramai yang menyumbang dan habis dijual,” katanya tersenyum.


Dari kiri, wakil Inspire Production, Aizuddin, Rossa, Hael Husaini dan wakil MyVitalab sewaktu sidang media, baru-baru ini.


Sebagai bukti yang konsert tersebut bersifat amal, seramai 12 pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40 menerima sumbangan wang tunai, komputer riba dan barangan keperluan asas yang diberikan hasil daripada jualan tiket konsert yang terjual sepanjang September 2022.

Menurut Rossa, ini bukan kali pertama dia bekerjasama dengan Yayasan PRIHATIN, kerana konsert-konsertnya sebelum ini juga diuruskan oleh Yayasan tersebut.

Silaturahim Rossa dengan Yayasan tersebut terjalin sejak 10 tahun lalu kerana misi penyanyi itu dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Aizuddin Mohd Gahazali adalah senada.

“Bersama Datuk Aizudin kita sempat berbincang tentang pendidikan untuk anak-anak. Kita mempunyai misi yang sama iaitu memberi bantuan kepada anak-anak hebat yang tidak beruntung dan butuh bantuan daripada kita untuk meneruskan persekolahan. 

“Alhamdulillah sejak 10 tahun lalu sudah banyak yang menerima bantuan daripada Yayasan iaitu kira-kira 160,000 pelajar. Aku harap usaha ini berpanjangan, mungkin dari segi wang aku tidak miliki sebanyak itu tapi aku mampu mengajak banyak orang untuk ikut menderma. Selain mendengar aku menyanyi, mereka menderma,” katanya.


Penganjuran konsert Rossa bukan sekadar hiburan kerana sebahagian jualan tiket diguna untuk membantu pelajar kurang mampu.


Ujarnya, kira-kira 2,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada konsert yang turut menampilkan Judika sebagai penyanyi undangan dari Indonesia.

Untuk konsert yang akan melibatkan empat pengarah muzik iaitu Dandy Lasahido, Risyanda, Eka Gustiwana, Andi Rianto dan Magenta Orchestra itu, Rossa akan mendendangkan kira-kira 27 buah lagu.

“Senang sekali dapat buat konsert di sini. Aku lebih excited kerana sudah lama tidak bikin konsert di Malaysia. Sekarang jadi sedikit nervous kerana aku perlu buat sesuatu yang belum pernah aku lakukan sebelum ini.

“Insya-Allah dalam 27 lagu kerana ini adalah perayaan 25 tahun, banyak sekali lagu yang boleh dinyanyikan itupun masih banyak lagu yang tidak dinyanyikan. Ada lebih kurang 50 lagu yang disenaraikan tapi tak mungkin aku nyanyi sebanyak itu.

“Ada sesi balada, soundtrack sinetron dan filem, sesi duet dengan rakan duet dan sesi dance, lagu yang disusun menjadi EDM yang belum pernah aku lakukan di konsert sebelum ini,” jelasnya yang akan memakai busana rekaan Irish Van Herpen yang membuat baju untuk Lady Gaga, Jennifer Lopez dan Katy Perry sewaktu konsert nanti.


Setiap kali mengadakan konsert di Malaysia, Rossa akan cuba bergandingan dengan penyanyi tempatan yang berbeza dan kali ini bersama Hael Husaini.


Sementara itu, Aizuddin berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama strategik dengan Rossa untuk tujuan kebajikan yang dimulakan sejak 2012.

“Rossa adalah satu-satu artis antarabangsa yang buat konsert bukan semata-mata kerana komersial. Dia buat konsert tapi sebahagian daripada jualan tiket disalurkan terus kepada pendidikan di Malaysia. Walaupun bukan sumbangan penuh tapi dua tahun sekali kita buat konsert. 

“Bila kita cakap dengan Rossa untuk bawa konsert tour dia di Malaysia, antara perkara yang ditekan adalah soal kebajikan anak-anak di Malaysia kerana Rossa memang sering membantu dan Malaysia adalah rumah keduanya,” katanya tentang sikap prihatin Rossa.

Bagi yang berminat untuk menonton Rossa 25 Shining Years Concert, tiket boleh dibeli di laman sesawang ticket2u.com.my dan secara offline bagi jualan tiket amal dan korporat boleh ditempah menerusi talian 013-3886533 (Nelle). - KitaReporters


Rossa akan mengenakan empat persalinan termasuk baju rekaan pereka fesyen ternama.

6
8
0
8
0

Copy Link: