SUDAH lama kita tidak kedengaran lagu-lagu raya dinyanyikan oleh penyanyi bukan Melayu sebagaimana Andre Goh mahu pun DJ Dave (kini kedua-dua sudah bergelar Dato) yang popular melalui lagu cover ‘Dendang Perantau’ dan ‘Menjelang Hari Raya’ yang sehingga kini masih malar segar.

Terbaharu, penyanyi wanita bersuara lantang yang pernah dipuji bakatnya oleh artis antarabangsa, Michael Bolton, iaitu Poova atau nama sebenarnya Poovanesvary Sri Rama,  tidak mahu ketinggalan memeriahkan suasana raya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Poova


Memilih lagu ‘Bersama di Hari Raya’ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan adik beradik terkenal 80-an, Helen dan Irene Savari iaitu Cenderawasih, Pooja mahu mengembalikan nostalgia zaman dahulu di mana penyanyi bukan Melayu turut menyanyikan lagu raya. 

Menurut pemenang trofi Artis Baharu Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Industri Musik ke-21 (AIM21) pada 2014, ini merupakan kali pertama beliau menyanyikan lagu raya.

“Sebenarnya sudah lama Poova teringin menyanyikan lagu sebegini bagi memeriahkan bulan puasa dan sebagai persediaan menyambut hari raya yang bakal diraikan kelak,” katanya sambil berterima kasih kepada pihak pengurusannya  Joe PRC International kerana mencadangkan lagu tersebut.

“Saya nampak kekuatan vokal yang ada pada Poova sebagai seorang penyanyi yang versatil, jadi saya cadangkan mengapa tidak beliau menyanyikan lagu 'Bersama Di Hari Raya' nyanyian Cenderawasih,  di samping mengimbau kenangan lalu di mana ramai penyanyi bukan Melayu yang menyanyikan lagu-lagu raya,” akui Joe Saiful selaku Pengasas Joe PRC International.




Menyanyikan lagu tersebut dengan cara yang tersendiri namun masih mengekalkan identiti asalnya, Poova yang popular sebagai penyanyi R&B berharap pendengar terhibur dengan dendangan ‘Bersama Di Hari Raya’.

Mahu pendengar menghargai penyanyi bukan Melayu sepertinya yang boleh menyanyikan lagu Melayu, Poova mengakui kehadirannya dalam industri bukan untuk populariti tetapi disebabkan jiwa dan minatnya dalam nyanyian. 

“Populariti akan datang pada waktunya,” jelas penyanyi berusia 39 tahun ini yang terdahulu mempunyai single lagu Melayu pertamanya ‘Karya’ ciptaan dan gubahan komposer terkenal, Omar K, Shazee Ishak dan Firdaus Ishak.

Untuk rekod, tahun lalu, Poova turut menghasilkan lagu cover ‘Warisan’ nyanyian asal Datuk Sudirman Arshad ciptaan Syed Haron Syed Arshad sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang dimuat naik melalui Youtube. - KitaReporters




0
1
0
0
0

Copy Link: