“LEBIH 70% daripada golongan artis tempatan berasal dari Johor dan mereka layak menyertai Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) dengan syarat membayar yuran pendaftaran dan tahunan," ujar penyanyi rock legenda, Datuk Nashrudin Elias, 62,  atau lebih mesra disapa Dato Nash.

Bekas vokalis kumpulan Lefhanded itu mengajak rakan-rakan artis yang berasal Johor menyertai PABJ yang ditubuhkan pada 30 Mei 2021 lalu dengan visi dan misi menyatukan perpaduan dan memperkasakan Anak Bangsa Johor yang berbilang kaum walau di mana mereka berada, di segenap pelosok Malaysia atau di luar negara tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa.

Nash merupakan artis kelahiran Muar, Johor yang pertama menerima watikah sebagai ahli biasa PABJ, sekali gus dilantik sebagai ‘duta’ persatuan bagi menarik rakan-rakan artisnya menyertai PABJ.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bangsa Johor


“Insya-Allah, sebagai ‘duta’ saya terima pelantikan ini dengan rasa penuh hormat dan akan bekerjasama dalam memperkasakan Anak Bangsa Johor ke arah mengukuhkan hubungan Kemanusiaan, Perpaduan & Persaudaraan.” tambah Nash ketika ditemui pada majlis prapelancaran PABJ dan perasmian 'Kempen Pemacu Keahlian Sasaran 1,000 Ahli PABJ' di Sri Bayu Lounge, Bukit Jalil Golf & Country Resort, Kuala Lumpur, pada 30 Disember 2021. 

Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran adalah Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta Presiden PABJ, Dato Mohsen Hasbollah; Naib Presiden, Sharifah Rafiza Al-Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Lady Rose; serta Ahli-ahli Jawatankuasa PABJ.


Dari kiri: Lady Rose, Oserman Chik, Mohsen, Musa, Nash dan Abdullah. Pix: Fas.


Dan selain Nash, PABJ tidak ketinggalan menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi PABJ, Datuk Abdullah Md Ali; Penasihat PABJ, Mej Jen. Dato Oserman Chik (B) dan Musa sebagai Ahli Bersekutu.

Menyambung seruannya membantu kempen menyasarkan keahlian mencapai 1,000 dalam tempoh tiga bulan menjelang Mac 2022, Nash memberitahu, para artis yang berminat boleh menyertainya dengan yuran pendaftaran ahli biasa/individu sebanyak RM50 dan yuran tahunan juga RM50.

Di samping ahli biasa, PABJ turut membuka keahliannya kepada Ahli Bersekutu, dan Ahli Korporat (RM250 + RM250 tahunan) dan Ahli Pelajar  dengan yuran pendaftaran RM25 dan RM25 tahunan.

“Namun sepanjang tempoh kempen ini, tiada bayaran yuran dikenakan ke atas Ahli Pelajar dari usia 18 tahun ke atas,” ujar Mohsen.



Menurut Presiden PABJ itu lagi, persatuan yang ditubuhkan sejak Mei lalu kini telah mempunyai 217 orang ahli dan berharap mampu menarik anak-anak Johor berbilang kaum termasuk dari luar negara seperti contohnya, penyanyi Datuk Shake yang kini menetap di California, Amerika Syarikat serta pelajar-pelajar lain.

Bersandarkan kepada tagline ‘Bersatu Ke Mercu Dunia’, PABJ yang berada di bawah Penaung Diraja, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama Menteri Besar Johor sebagai Penaung, Persatuan mempunyai tujuh biro yang akan menjalankan pelbagai aktiviti meliputi Pendidikan; Pelancongan, Seni dan Budaya; Ekonomi & Keusahawanan; Keahlian, Multimedia & Komunikasi; Sosial, Kebajikan & Keagamaan; Keselamatan & Kesihatan serta Sukan & Rekreasi.

“PABJ merangkakan sebanyak RM19 juta diperlukan untuk menggerakkan pelagai aktiviti melalui ketujuh-tujuh biro yang ditubuhkan,” ujar Mohsen sambil menyifatkan situasi pandemik yang melanda negara sejak lebih dua tahun lampau tidak mematahkan semangat PABJ untuk memartabatkan Warisan Negeri Johor.

Sementara itu, Musa dalam ucapan perasmiannya memberi keyakinan dengan kerjasama bersama PABJ, sektor pelancongan khususnya negeri Johor boleh dibangunkan semula selepas negeri Darul Ta’zim itu turut terkesan dengan penularan COVID-19.



“Johor mempunyai 10 daerah dengan kepelbagaian tarikan pelancongan dari sudut etnik, budaya dan bahasa untuk diketengahkan. 

Dengan kerjasama bersama PABJ, saya yakin Johor yang bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Kepulauan Indonesia mampu menjadi antara destinasi pelancongan utama Malaysia,” akhiri Musa sambil yakin dalam tempoh 5 tahun, Johor mampu menduduki tangga teratas dalam sektor ekonomi sebagaimana harapan PABJ.

Mereka yang ingin menjadi ahli dan mendapatkan informasi lanjut boleh berhubung dengan PABJ melalui laman web www.pabj,my atau ikuti laman sosial facebook dan instagram  serta saluran YouTube PABJ. 

Untuk rekod, selain Nash, antara selebriti dan artis terkenal berasal Johor terdiri daripada Dato AC MIzal, Datuk Zainal Abidin, Dato Hans Isaac, Mawi, Ramlah Ram, Amy Search, Mamat Exists, Tam Spider, Que Haidar, Adibah Noor, Liza Abdullah dan ramai lagi. - KitaReporters


12
12
0
6
0

Copy Link: