PUTARAN suatu objek yang bersalut dengan timah atau tembaga akan berpusing begitu lama sehingga ia mampu bertahan dengan megahnya di satu tapak (gelangang)  selama lebih dua jam ia sudah pasti amat mempersonakan serta memberi pengalaman dan kepuasan yang begitu mengasyikkan apabila kita menyaksikannya. : KitaReporters

TIGA pemain sedang menunjukan demonstrasi gasing terbang.


Sebelum itu, seorang pemain dengan aksinya yang bergaya menbaling objek berupa kayu yang dililit dengan talinya, kemudian seorang lagi pemain lain (penyokop) yang berada tidak jauh sedang menunggu untuk  menyambut alat permainan berbentuk bulat seberat empat kilogram dengan lilitannya 24 inci itu dan kemudian ia diletakkan di tapak berkenaan. 

Itulah sedikit sebanyak gambaran  dilakukan oleh seorang pemain gasing terbang yang juga dipanggil gasing uri pada suatu ketika dahulu sememangnya menjadi kebanggaan masyarakat kampung dan ia biasanya dimainkan selepas selesai musim menuai padi

Kebiasaannya mereka menganjurkan permainan tradisional  itu dalam bentuk persembahan untuk menyeronokkan atau menghilangkan kepenatan kaum petani selepas beberapa bulan mereka mengerjakan sawah bendang. 

Ia ada juga dianjurkan untuk sesuatu pertandingan membabitkan penyertaannya yang ramai dari masyarakat setempat.  Andaikata dalam pertandingan tersebut mereka yang menang dianggap hebat serta menjadi jaguh kampung ketika itu.  

Namun itu semua, gasing terbang selain beberapa jenis gasing lain seperti gasing pangkah, jantung, piring, telur dan pinang merupakan permainan kegemaran orang-orang tua termasuk golongan muda dahulu kini semakin dilupakan hari demi hari yang sepatutnya dijagai. 

RUKMAN Mohamad bersama gasing terbangnya.


Seorang pemain gasing terbang, Rukman Mohamad, 54, mengakui permainan tradisional dari pelbagai jenis gasing kurang diterokai serta diteruskan oleh masyarakat Melayu khususnya akibat adanya permainan lain yang lebih hebat serta canggih ketika ini berbanding gasing. 

Dan katanya, jika masalah itu berterusan kemungkinan permainan gasing akan menjadi sukar dilihat  cara permainannnya di sesuatu majlis terutama bagi generasi pada masa akan datang. 

``Walaupun ada sesetengah pihak menganggap permainan gasing kurang menarik perhatian tetapi kita mesti memikirkan bahawa permainan ini adalah peninggalan orang-orang tua yang perlu kita jadikan ia sebagai warisan Melayu

``Sekarang ini, di negeri Terengganu misalnya hanya terdapat beberapa orang sahaja yang mahir dengan permainan gasing ini dan sekitar Kelantan pun tidak ramai yang melibatkan diri dengan peralatan ini,’’ katanya ketika ditemui. 

Rukman yang berasal dari Kampung Apal, Besut, Terengganu ketika ini sering mengadakan persembahan permainan tradisional itu merata tempat di Terengganu termasuk  Kelantan,  Johor, Pahang dan Kuala Lumpur. 

SEORANG peminat gasing memegang gasing terbang pada majlis persembahan gasing. 


Selain mengadakan persembahan gasing uri itu di pelbagai program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta orang persaeorangan, Lukman yang sudah terlibat dengan permainan itu sejak 25 tahun lalu  juga turut diundang untuk membuat persembahan di Thailand (2012) dan Singapura (2019). 

Menurutnya , pasukan gasingnya terdiri lebih 50 peserta di bawah naungan Majlis Kebudayaan dan Kesenian Daerah Besut pernah beberapa kali meraih johan dalam pertandingan itu peringkat Pantai Timur. 

Rukman menceritakan permainan peralatan itu bermula setelah seorang pemain melemparkan gasing itu yang berlilitan tali sebegitu kuat serta pantas setinggi kira-kira satu meter dan selepas itu seorang pemain lain (penyokop) yang sudah bersedia untuk menyambut gasing itu sebelum diletakkan di satu tapak khas. 

DUA orang pemain sedang beraksi untuk mempamerkan permainan gasing yang disaksikan oleh orang ramai



Di situlah kita akan melihat gasing berkenaan mampu berpusing dalam tempoh masa  beberapa jam sama ada dua jam ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada kemahiran kumpulan pemain yang biasanya terdiri tiga orang peserta bagi satu kumpulan. 

``Dalam pertandingan pula, para pengadil akan mengira markah tertinggi bergantung kepada gasing itu dapat berpusing lebih lama berbanding peserta lain,’’ katanya yang mampu menghasilkan putaran gasingnya berpusing selama lebih dua jam.

Pada 6 September 2020 yang lalu, Rukman bersama kumpulannya mengadakan persembahan gasingnya di program Terengganu Cultural Festival 2020 bertempat di Muzium Negeri Terengganu dan program tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memegang gasing terbang yang diberikan oleh Lukman di program  Terengganu Cultural Festival 2020 bertempat di  Mazium Negeri Terengganu


Banyak ceritanya yang berkaitan dengan gasing itu kerana mengikut cerita orang tua zaman dahulu gasing berkenaan dihasilkan bukan sekadar alat permainan untuk menghilangkan kepuasan mereka sebaliknya ia juga boleh dijadikan senjata untuk memburu binatang di hutan. 

Bagi permainan gasing pangkah pula ia bermula dengan pasukan menanti melempar gasing berkenaan di tengah (bong) sebelum pasukan lawan yang akan memangkah gasing yang sedang berpusing itu. 

Ia bertujuan untuk menjejaskan keseimbangan pergerakan gasing yang sedang berpusing itu supaya cepat berhenti daripada putarannya. 

SEORANG pemain sedang membaling gasing terbang yang akan disambut oleh pemain lain (penyokop).


Rukman yang mempunyai pengalaman serta kemahiran bermain gasing juga boleh membuat gasing tersebut serta gasing lain yang bersaiz kecil untuk dijadikan cenderahati sekiranya ada tempahan. 

Orang ramai yang berminat untuk menganjurkan permainan tradisional itu pada majlis-majlis keramaian atau program keseniaan dan kebudayaan atau tempahan cenderahati bolehlah menghubungi beliau melalui talian 011-56639936. - KitaReporters

4
1
0
0
0

Copy Link: