Bagi mereka yang meminati lagu-lagu Hindustan khususnya lagu-lagu OST (lagu runut bunyi) dalam filem-filem Bollywood, nama Lata Mangeshkar bukan nama yang asing. Lata dan lagu Hindustan ibarat lagu dan irama. Sukar bagi sesuatu lagu itu menjadi popular kalau tidak dinyanyikan oleh mendiang.

Dunia seni kehilangan salah satu legenda seni dunia iaitu Lata yang meninggal dunia pada usia 92 tahun pada pagi Ahad, 6 Februari 2022 di Madras, India akibat komplisasi Covid-19.  

Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Breach Candy, Mumbai  pada 11 Januari 2022 lalu selepas dijangkiti Covid-19 dan beberapa organ dalamannya tidak berfungsi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bollywood

Lata Mangeshkar ketika muda. - Kredit foto: wikipedia


Bintang seni ini yang juga pengarah muzik yang tidak pernah berkahwin ini cukup dihormati dan dikagumi di India dan menjadi penerima kedua anugerah Bharat Ratna, iaitu penghargaan awam tertinggi India.

Lata adalah antara sejumlah bintang seni yang mengharumkan India pada peringkat dunia. Dia mempunyai suara merdu, seperti suara wanita remaja atau awal 20-an walaupun usianya sudah lanjut.



Lata Mangeshkar dilahirkan pada 28 September 1929, di pusat bandar Indore, adalah anak sulung, mempunyai empat adik dan menjadi penyanyi pada usia 13 tahun bagi membantu keluarga, ibu dan empat adik-beradiknya, setelah kematian bapanya, Deenanath. 

Lima tahun kemudian, dia mendapat peluang pertama menyanyikan lagu untuk filem ‘Aapki Sewa Mein’.   

Mula serius menyanyi sejak 1942, Lata atau (Latte) yang nama asalnya Hema Mangeshkar, berkebolehan menyanyi dalam 36 bahasa di India, kebanyakannya dalam Bahasa Marathi, Hindi dan Bengali. Dia dikatakan telah merakam lebih 15,000 lagu dalam pelbagai bahasa.

Antara gambar terakhir Lata Mangeshkar sebelum dirawat di hospital. - Kredit foto: India Times



Namun masyarakat dunia lebih mengenali Lata dengan lagu-lagu bahasa Hindinya yang menjadi latar lebih seribu lagu Hindi yang dimuatkan dalam filem dan ratusan albumnya pelbagai genre.

Begitu banyak lagu bahasa Hindinya yang menjadi ingatan dan ikutan peminat lagu Hindi seluruh dunia. Antara pasangan duetnya yang lebih awal meninggal dunia ialah Mohd Rafi, Kishore Kumar dan Mukesh



Salah seorang adiknya yang juga merupakan penyanyi latar popular ialah Asha Bhosle, 88, yang pernah berkahwin dengan pemuzik terkenal Hindi. RD Burman.

Lata adalah penerima tiga Anugerah Filem Kebangsaan, 15 Anugerah Persatuan Wartawan Filem Bengal, empat Anugerah Penyanyi Latar Wanita Terbaik Filmfare, dua Anugerah Khas Filmfare, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Filmfare dan banyak lagi.

Pada tahun 1974, dia menjadi rakyat India pertama yang beraksi di Royal Albert Hall. Dia menjadi penyanyi lebih 70 tahun.

Mendiang menerima istiadat pengebumian negara dan kerajaan berkabung dengan bendera dikibarkan separuh tiang selama dua hari sehingga Isnin, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. - KitaReporters

16
12
0
17
0

Copy Link: